PENDUDUK Palestin hanya mampu melihat kemusnahan akibat serangan Israel pada hari ke-12, semalam.
Operasi diterus di Gaza walaupun setuju gencatan senjata
BANDARAYA GAZA: Israel kelmarin memutuskan untuk memperhebatkan serangannya ke atas Gaza meskipun bersetuju pada prinsipnya dengan cadangan gencatan senjata tajaan Mesir dan Perancis.
Selepas menyekat penghantaran bekalan makanan dan minyak kepada penduduk Gaza, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak kelmarin mendapat restu kerajaan Zionis itu terus menyerang bandar Gaza untuk menghentikan serangan roket Hamas.
Serentak dengan itu, Barak turut memutuskan untuk menghantar wakil ke Kaherah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai rancangan gencatan senjata Mesir, yang disokong di peringkat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berharap perbincangan berkenaan akan membawa kepada keadaan yang boleh menamatkan serangan Israel itu, yang bermula pada 27 Disember lalu dan mengorbankan 702 rakyat Palestin dan mencederakan 3,100 orang setakat ini.
Olmert mempengerusikan mesyuarat Kabinet mengenai keselamatan yang 'meluluskan serangan berterusan dari darat, termasuk fasa ketiga yang meliputi kawasan padat penduduk," kata pegawai kanan pertahanan.
Barak memegang kata putus mengenai serangan itu, kata pegawai berkenaan.
Langkah Israel berhenti menyerang selama tiga jam disusuli dengan tindakan sama dari Hamas tidak melancarkan roket.
Dalam tempoh gencatan senjata itu, orang ramai mulai berpusu-pusu ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan. Ramai yang beratur panjang di luar kedai roti yang kehabisan stok dalam masa singkat saja.
Anggota sukarelawan turut menggunakan kesempatan itu untuk menghantar makanan dan minyak di bandar seberang sempadan berkenaan.
Namun, tidak lama selepas tempoh berkenaan berakhir, pertempuran diteruskan semula, mengakibatkan lagi kematian. – AFP/Reuters
Sumber




No comments:
Post a Comment