بسم الله الرحمن الرحيم
ASAP menyelubungi kawasan serangan Israel di Gaza, kelmarin.
Guna foto lama pejuang lancar roket dari sekolah PBBGAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa pegawai tentera Israel mengaku serangan kereta kebal ke atas sebuah sekolah agensi bantuannya, Agensi Kerja Bantuan PBB (UNRWA) yang mengorbankan berpuluh-puluh kanak-kanak Palestin, adalah satu kesilapan.
Jurucakap UNRWA, Chris Gunness, memberitahu akhbar Haaretz, semalam, tentera Israel mengaku ia melakukan kesilapan dalam kejadian itu.
"Dalam taklimat pegawai kanan Israel untuk diplomat asing, mereka mengaku tidak ada serangan dilakukan terhadap tentera Israel dilancarkan dari sekolah berkenaan. Mereka berkata, serangan ke atas bangunan PBB itu adalah tidak disengajakan," katanya.
Malah, katanya, paling mengejutkan ialah pengakuan pegawai itu bahawa semua gambar yang disiarkan tentera Israel mengenai serangan pejuang dari sekolah berkenaan diambil pada 2007. "Tiada gambar terbaru. Kami meninggalkan kawasan berkenaan pada 2007 dan hanya selepas itu ia diambil alih pejuang," katanya.
SEORANG aktivis hak asasi memegang sepanduk menunjukkan penindasan Israel dalam protes di Bucharest, semalam.
UNRWA menuntut siasatan terperinci sama ada pengeboman ke atas sekolah itu melanggar undang-undang kemanusiaan dan jika benar, pihak yang bertanggungjawab perlu dibicarakan.
Sementara itu, dalam satu perkembangan berkaitan, penduduk Palestin berkata, anggota tentera Israel daripada unit kereta kebalnya membiarkan anjing yang dilatih untuk mengusir penghuni tempatan di kawasan tertentu.
"Askar Israel itu tidak berani keluar dari kereta kebal. Mereka hanya datang ke rumah kami selepas mereka menghantar anjing untuk mengosongkan kawasan itu," kata rakyat Palestin yang dipaksa meninggalkan rumah mereka di kawasan utara Gaza.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali dengan abjad 'M', seorang penghuni kem pelarian Jabalya, memberitahu Haaretz, askar Israel bergerak amat lambat.
"Kereta kebal terbabit menghampiri rumah kami, kemudian mereka menghantar anjing. Jika ia rumah tiga tingkat, mereka akan menghantar tiga ekor anjing. Anjing terbabit memiliki kamera pada sebelah kaki dan alat 'walkie-talkie' pada sebelah kaki lagi.
"Begitulah caranya anjing terbabit memberi gambaran apa yang ada di dalam rumah. Kemudian kereta kebal itu menghampiri pintu masuk dengan melanggar pagar dan barulah askar terbabit keluar dari kereta kebal."
Katanya lagi, tentera Israel hanya menemui wanita, kanak-kanak dan orang tua di dalam rumah, kerana sistem panggilan umum memanggil semua lelaki berusia 50 tahun ke bawah berkumpul di sekolah.
"Orang ramai sangat takut pergi ke sekolah yang dikendalikan PBB sebagai pusat perlindungan atau berlindung di dalam masjid kerana tempat itu turut dibom askar Israel," kata M. - Agensi
Sumber




No comments:
Post a Comment