Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Friday, November 28, 2008

Penghulu Hari..

بسم الله الرحمن الرحيم


وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكاً وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى "
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". Surah Taha, Ayat 124


وَمَا هَذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). Surah Al-'Ankabuut, Ayat 64


يَعْلَمُونَ ظَاهِراً مِّنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الْآخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat. Surah Ar-Ruum, Ayat 7


يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْماً لَّا يَجْزِي وَالِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِ شَيْئاً إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah. Surah Luqman, Ayat 33


فَأَذَاقَهُمُ اللَّهُ الْخِزْيَ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Maka Allah merasakan mereka kehinaan dalam kehidupan dunia (dengan berbagai bala bencana), dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat (yang disediakan untuk mereka) lebih besar lagi. Kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini, tentulah mereka tidak mendustakan Rasul). Surah Az-Zumar, Ayat 26

هُوَ الَّذِي يُرِيكُمْ آيَاتِهِ وَيُنَزِّلُ لَكُم مِّنَ السَّمَاءِ رِزْقاً وَمَا يَتَذَكَّرُ إِلَّا مَن يُنِيبُ
Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah). Surah Ghaffir, Ayat 13



Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Thursday, November 27, 2008

Osteoporosis epidemik terpinggir

بسم الله الرحمن الرحيم

KEBANYAKAN wanita menganggap kanser payu dara sebagai penyakit paling berbahaya apabila banyak laporan mengenainya dipaparkan oleh media massa.

Namun, tidak ramai menyedari bahawa osteoporosis lebih kerap melanda kaum wanita dan lelaki berbanding penyakit berkaitan kanser atau kegagalan kardiovaskular.

Lebih membimbangkan, penyakit yang bermaksud 'tulang poros' atau tulang kurang tumpat itu tidak menimbulkan sebarang simptom dan menyerang dengan senyap sehinggalah penghidapnya mengalami keretakan tulang pinggul.

Pengarah Pusat Kajian dan Rawatan Osteoporosis Hong Kong, Prof. Dr. Edith MC Lau berkata, kes keretakan tulang pinggul, tulang belakang atau pergelangan tangan kini semakin meningkat di kalangan wanita Asia.

Osteoporosis juga dikaitkan dengan penerbalikan proses pertumbuhan, sakit belakang yang amat sangat juga kecacatan tulang.

Menurut beliau, ia merupakan satu epidemik yang semakin luas melanda kerana kurang diberi perhatian sama ada oleh masyarakat umum mahupun golongan doktor sendiri.

Mengikut kajian yang dijalankan melalui pemeriksaan sinar-X dan proses saringan berkaitan tulang, satu daripada tiga orang wanita berpotensi menghidap osteoporosis. Manakala satu daripada tiga lelaki pula mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit yang sama.

"Fakta mengejutkan adalah kadar kematian yang meningkat sebanyak 20 peratus di kalangan pesakit retak tulang pinggul selepas tiga bulan mengalami masalah itu.

"Sementara 30 peratus lagi yang hidup pula terpaksa menghabiskan sisa-sisa kehidupan dalam keadaan lumpuh dan menjadi bebanan kepada masyarakat.

"Ini kerana kebanyakan wanita warga emas turut menghidap penyakit lazim yang lain akan lebih terkesan akibat osteoporosis sehingga timbul pula komplikasi jantung, paru-paru atau dimensia,'' katanya yang juga Pengarah Lembaga Yayasan Osteoporosis Antarabangsa Hong Kong.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai Osteoporosis pada Persidangan Media Asia Tenggara anjuran GE Healthcare di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketumpatan jisim tulang akan mencapai kemuncaknya sewaktu usia 20 hingga 25 tahun. Ia bergantung kepada faktor genetik di samping pengambilan nutrisi, aktiviti fizikal dan penyakit keturunan yang lazimnya mempengaruhi pertumbuhan tulang.

Justeru, adalah penting untuk mempertingkatkan ketumpatan jisim tulang dalam usia yang muda sebagai usaha mengurangkan risiko gejala osteoporosis ketika lewat usia.

Ini disebabkan tubuh tidak lagi mampu menggantikan tisu tulang (pembentukan semua tulang) dengan pantas apabila usia semakin meningkat terutama selepas menopaus kerana pengeluaran hormon estrogen akan terhenti mengakibatkan tulang tidak lagi mendapat perlindungan yang diperlukan.

Kaum lelaki juga mengalami situasi ini namun kadar kehilangan tisu tulang lebih perlahan di kalangan wanita.

Faktor risiko penyakit osteoporosis terbahagi kepada dua iaitu risiko kekal yang sukar dielak namun boleh ditangani dengan beberapa kaedah untuk mengurangkan kehilangan mineral tulang.

Antaranya, faktor usia, jantina (lebih berisiko di kalangan wanita), sejarah keluarga, keretakan tulang terdahulu, latar belakang etnik, menopaus atau histerektomi, terapi glukokortisoid jangka panjang, artritis reumatoid dan hipogonadisma di kalangan lelaki.

Satu lagi faktor risiko pula boleh mempengaruhi impak biologi tulang secara langsung dan mengakibatkan pengurangan ketumpatan mineral tulang (BMD).

Ia melibatkan pengambilan alkohol, merokok, indeks jisim badan yang rendah, kurang pengambilan nutrisi, kekurangan Vitamin D, masalah pemakanan, tidak bersenam dan pengambilan diet kalsium yang rendah.

Jelas Lau, diagnosis awal adalah penting dalam mencegah osteoporosis memandangkan lelaki dan wanita berusia lebih 60 tahun mempunyai risiko lebih tinggi menghidap osteoporosis berbanding golongan muda.

Pun begitu, golongan berkenaan tidak terkecuali dan boleh menghidap osteoporosis, osteopenia atau jisim tulang rendah.

Sehubungan itu, adalah penting untuk berjumpa doktor dan mengubah gaya hidup ke arah lebih positif jika faktor risiko di atas turut melanda diri anda bagi mencegah kemungkinan kesan jangka panjang akibat osteoporosis.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Wednesday, November 26, 2008

Kerja secara jemaah memperkasa kemajuan ummah

بسم الله الرحمن الرحيم

ISLAM membawa satu konsep penting kepada umatnya iaitu melakukan sesuatu perkara atau kerja secara berjemaah bagi memudahkan mencari penyelesaian terutama dalam perkara berkaitan urusan agama serta kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kepada tali Allah, janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Firman Allah itu menjelaskan kepada kita bahawa Islam amat menitikberatkan semangat bersatu. Malah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dapatlah dikatakan manusia yang selalu bersengketa dan sukar untuk hidup secara berjemaah hanya mementingkan dirinya saja.

Umar Al-Khattab pernah berkata: “Sesungguhnya tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Jika disusuri perjalanan sejarah awal Islam, kemantapan iman sahabat Nabi SAW diterapkan menerusi ukhuwah yang sentiasa hidup dalam satu jemaah kukuh. Sikap tidak mementingkan diri sendiri terpapar dalam diri mereka yang diselitkan sifat mahmudah.

Percampuran hidup umat Islam terhadap ideologi barat meletakkan betapa pentingnya kehidupan ummah dalam jemaah yang sentiasa berada di atas landasan Islam yang mengamalkan gaya hidup l diredai Allah.

Selain itu, pada masa ini kebanyakan kita dilanda sindrom rendah diri serta kurang daya saing dalam pelbagai lapangan kehidupan khususnya ilmu pengetahuan dan ekonomi. Justeru, umat Islam mesti menyedari hal itu dan bertindak membentuk jemaah yang dapat membela dan memandu umat untuk maju dalam apa saja bidang kehidupan di dunia ini.

Umat Islam yang hidup dalam satu organisasi mantap pasti dapat menjana satu bentuk masyarakat maju. Sebenarnya, hilangnya pengaruh dan kewibawaan umat Islam hari ini akibat beberapa kelemahan yang dihadapi. Oleh itu, untuk jadi kuat, umat islam perlu bersatu.

Selain itu, kita harus insaf dan menyedari bahawa kalangan umat Islam kini ada yang mula merungkai ikatan Islam secara sedikit demi sedikit dengan meninggalkan beberapa amalan serta meninggalkan hukum-hakam Islam sejagat.

Kewujudan beberapa kelompok dan puak di kalangan umat Islam menyebabkan berlakunya perpecahan. Sebaliknya, dengan semangat bersatu, perpecahan dapat dielakkan dan fitnah yang dilempar terhadap umat Islam boleh ditapis dengan berkesan.

Senario yang melanda golongan belia Islam hari ini menunjukkan mereka tidak bersemangat menerokai bidang baru seiring perkembangan semasa, sebaliknya banyak terbabit dalam gejala sosial negatif yang semakin merebak luas.

Hal ini memerlukan tindakan bersama di kalangan umat Islam untuk mengatasi apa juga cabaran serta masalah secara bersatu. Begitu juga dalam menghadapi serangan terhadap akidah umat Islam yang dicabar ajaran sesat.

Umat Islam tidak boleh berpecah kerana ia akan menyebabkan kelemahan sedangkan untuk menghadapi cabaran dunia semasa memerlukan kekuatan bukan saja dari segi politik, ekonomi, juga kesatuan sebagai kumpulan yang kuat menyokong satu sama lain.

Berada dalam satu kumpulan yang besar juga membolehkan semua kerja dilakukan dengan berkesan dan cepat dengan syarat masing-masing mengetahui tanggungjawab serta melaksanakannya sebaiknya.

Bersatu teguh, bercerai roboh wajar menjadi pegangan yang mengikat umat Islam supaya sentiasa berada dalam satu kumpulan kerana tanpa sokongan padu semua pihak, sukar untuk mencapai matlamat serta kejayaan diharapkan.

Perbezaan pendapat boleh tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim dan sebaiknya perbezaan itu dapat menemukan keputusan lebih baik apabila ada pandangan serta hujah berdasarkan ilmu pengetahuan demi kebaikan umat Islam sejagat.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Tuesday, November 25, 2008

Tunaikan sembahyang pada malam hari dijanjikan kedudukan terpuji di akhirat

بسم الله الرحمن الرحيم

Tunaikan sembahyang pada malam hari dijanjikan kedudukan terpuji di akhirat

AMALAN solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat tahajud seperti sabda Nabi SAW: "Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud)." Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, Nombor 1163.

Namun begitu hanya segelintir umat Islam pada masa kini yang prihatin dan mengambil peduli berkaitan pelaksanaan ibadat solat tahajud ini. Majoriti umat Islam lebih memilih untuk tidur.

Tahajud terbentuk daripada kata dasar hajada bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Jika seseorang berkata: Tahajjadtu bermaksud saya membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h berkata: "Imam al-Tobari menyatakan tahajjud berjaga selepas tidur terlebih dulu.

Menurut Ibn Faris: Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat pada malam hari. Menurut al-Kurra' pula, tahajjud adalah solat malam secara khusus." Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203

Oleh itu, solat tahajud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun, waktu paling utama dilaksanakan solat tahajud adalah satu pertiga malam terakhir iaitu bermula jam 3 pagi hingga masuk waktu Subuh.

Dalil disyariatkan solat tahajud ini adalah sebagaimana firman Allah SWT: "Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji." (Surah al-Israa': 79)

Abu Ubaidah menyatakan di dalam Kitab al-Majaz: "Maksud firman Allah kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu ialah berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat." – Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202

Dalil solat tahajud lebih utama dilakukan satu pertiga malam terakhir berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Rabb kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih ada baki satu pertiga malam yang akhir.

Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku akan memakbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampuninya."

Ternyata ibadat di dalamnya ada doa, permintaan dan permohonan ampun adalah solat.

Rasulullah SAW seorang insan dijamin Allah akan masuk syurga. Baginda juga sebaik-baik manusia, malah digelar sayyid al-Mursalin, iaitu penghulu segala Rasul. Baginda insan maksum dan bebas daripada sebarang bentuk dosa.

Walaupun dengan kedudukan sedemikian, Baginda tetap bersungguh-sungguh mengerjakan solat tahajud sehingga pecah tumit kakinya. Isterinya Aisyah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa Baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah masih ingin bersusah payah melakukan ibadat itu sedangkan dia seorang yang dijamin syurga.

Kisah ini disampaikan Aisyah r.a sendiri dalam sebuah hadis: Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Aisyah berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang? Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?" Hadis riwayat al-Bukhari.

Justeru, selepas dibandingkan amalan Rasulullah SAW ini dengan diri kita yang sentiasa bergelumang dengan dosa, mengapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh melaksanakan solat tahajud? Adakah kita menganggap diri kita setanding atau lebih baik daripada Rasulullah SAW?

Allah mengurniakan pelbagai keutamaan besar bagi mereka yang melaksanakan solat tahajud. Mereka mengerjakan ibadat pada malam hari akan dikurniakan kedudukan terpuji di sisi Allah di akhirat kelak yakni menjadi ahli syurga.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Monday, November 24, 2008

Anak derhaka diselubungi seksaan dunia, akhirat

بسم الله الرحمن الرحيم

SESUNGGUHNYA, seorang wanita bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan antara insan paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya.

Ibu insan yang bertarung nyawa ketika mengandung dan melahirkan anaknya ke dunia. Saat anak masih kecil, ibu menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.

Apabila anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih. Oleh itu, sebagai anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Daripada perspektif Islam, martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan seperti Allah mengangkat tinggi darjat golongan ibu melalui firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 14, bermaksud: ‘Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).’

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlu dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu. Sebagai misalan, cerita rakyat Si Tenggang yang disumpah menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan Allah di dunia dan akhirat.

Allah menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23, maksudnya: ‘Dan Tuhanmu perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).’

Bayangkan, untuk anak berkata ‘Ha’ pun ditegah Allah untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka.

Kita harus ingat bahawa, keredaan Allah itu terletak kepada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW memberi banyak isyarat jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: ‘Saya ingin melaksanakan jihad dan ikut berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya berbuat demikian’.

Baginda kemudian menjawab, ‘Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan mengutus ku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.’

Begitu juga cerita di mana seorang lelaki bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, ‘Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab ‘Ibumu’.

Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali ‘Siapakah selepas ibu?’ dan jawapan Rasulullah SAW tetap ‘Ibumu’. ‘Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab ‘Bapamu’.

Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan lain di dunia ini.

Sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu, maka banyak negara termasuk negara kini yang mengkhususkan satu hari istimewa dalam kalendar tahunan sebagai 'Hari Ibu'.

Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh itu. Namun, hakikatnya untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sebanyak waktu yang kita mampu.

Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan lain yang bersifat lebih realistik, bermakna serta mengikut ajaran Islam.

Sebagai anak, ibu perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Sebagai anak kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan disyariatkan Islam dan norma budaya dan masyarakat.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Sunday, November 23, 2008

Bersyukur dengan nikmat sebelum ditarik semula

بسم الله الرحمن الرحيم

SECARA umum, nikmat dikurniakan Allah kepada setiap manusia dapat dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, nikmat bersifat fitri atau asasi iaitu nikmat diterima manusia sejak dilahirkan lagi. Kedua, nikmat mendatang iaitu nikmat diterima dan dirasakan mengikut keadaan dan waktu.

Nikmat bersifat fitri itu digambarkan Allah dalam firman-Nya bermaksud, "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (Surah al-Nahl, ayat 78)

Sesungguhnya manusia dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertelanjang bulat. Namun mereka dilengkapi dengan alat diperlukan dalam perjuangan hidup ini. Dimaksudkan dengan kelengkapan itu ialah telinga, mata dan akal fikiran.

Adapun nikmat mendatang itu pula ialah segala kenikmatan, kelazatan, kebahagiaan dan sebagainya diterima manusia dalam perjalanan hidupnya. Segala sesuatu yang ada dalam dunia ini, bermula daripada tanam-tanaman sampailah kepada binatang ternakan dan hasil dari perut bumi, semuanya disediakan semata-mata untuk dimanfaatkan umat manusia.

Sedar atau tidak, hidup manusia di alam ini tidak akan terlepas daripada menerima nikmat dan rahmat Allah. Nikmat dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang sesiapapun.

Lazimnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari betapa berharganya nikmat dikurniakan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (diambil kembali oleh Allah).

Misalnya, mata menjadi rabun, telinga menjadi pekak, kaki patah dan tangan putus. Apabila perkara ini berlaku ke atas dirinya, maka ketika itu barulah amat terasa kehilangan nikmat dan kekurangan diri.

Sesungguhnya nikmat kesihatan amat dirasai apabila seseorang itu sakit. Seseorang yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat; dan akan merasa sebaliknya jika dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang disandangnya.

Oleh itu, peliharalah setiap nikmat yang diperoleh itu. Bersyukur dan berterima kasih kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekal-Nya.

Tanda seseorang itu bersyukur ialah akan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah untuk melakukan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Saturday, November 22, 2008

Banyak keistimewaan solat Subuh berjemaah

بسم الله الرحمن الرحيم

Halangan, godaan laksana ibadah sebelum terbit fajar uji tahap keimanan seseorang

WAKTU paling liat untuk bangun tidur ialah ketika hampir masuk waktu subuh. Jika pada masa itu hujan renyai dengan hembusan angin dingin pula, maka tambah malas hendak bangun dan semakin kuat tangan menarik selimut.

Walaupun hakikatnya kita sudah terjaga, oleh kerana telinga didendangkan syaitan bahawa tidur lebih nikmat daripada bangun, maka ada antara kita terus berlengkar macam ular sawa di tempat tidur sehingga waktu subuh berlalu.

Setiap orang pasti menempuhnya kerana waktu subuh adalah masa cukup enak melayan fikiran di tempat tidur. Justeru, hati malas dan liat untuk bangun memberi peluang syaitan berjaya menggoda.

Susahnya untuk bangun pagi bagi menunaikan solat Subuh adalah ujian melihat sejauh mana tahap keimanan kepada-Nya. Ujian seperti ini dihadapi umat manusia tanpa kecuali sejak Nabi Adam diciptakan hingga hari kiamat.

Firman Allah yang bermaksud: "Alif lam mim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (begitu saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 1-3)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (Surah al-Mulk, ayat 2) Mendirikan solat Subuh berjemaah di surau atau masjid perkara yang berat untuk dikerjakan. Ujian itu dikira berat kerana banyak godaan dan halangan sebelum berjaya melangkah kaki ke surau atau masjid.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah Isyak dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekali pun dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh mengerjakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami solat bersama orang ramai. Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu yang diikat, mendatangi suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktu subuh bermula sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Masalah itu ditegaskan sekali lagi oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang mendapatkan satu rakaat solat Subuh sebelum terbit matahari, maka dia sudah melaksanakan solat Subuh." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah)

Sesungguhnya sesiapa yang pergi ke surau atau masjid untuk mendirikan solat Subuh berjemaah akan mendapatkan banyak keistimewaan dan pahala dibandingkan orang yang melaksanakan solat fardu selain solat Subuh berjemaah.

Antaranya ialah mendapat pahala seperti orang yang solat berjemaah iaitu 27 darjat pahala, memperoleh kebaikan yang banyak, dihapuskan amal kejahatan, dinaikkan darjat dan kedudukan, dijanjikan syurga dan malaikat mendoakannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang solat dua waktu yang sejuk, maka akan masuk syurga." (Hadis riwayat Al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asya'ri)

Keistimewaan lain yang diperoleh mereka yang mendirikan solat Subuh berjemaah ialah seakan-akan melaksanakan solat malam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang mengerjakan solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia bersolat setengah malam. Barang siapa mengerjakan solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak) maka seakan-akan dia melaksanakan solat malam selama satu malam." (Hadis riwayat Muslim)

Subuh adalah sumber segala cahaya pada hari kiamat kelak. Allah akan memberi cahaya yang sangat terang pada hari kiamat kepada mereka yang mendirikan solat Subuh dengan berjemaah di surau atau masjid.

Walaupun cahaya bagi orang beriman pada hari kiamat berbeza, Allah tidak akan mencabut cahaya itu di mana saja dan tidak mengambilnya ketika melewati Sirat al-Mustaqim. Allah akan tetap bersama mereka sampai mereka masuk ke dalam syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berikanlah khabar gembira kepada orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat." (Hadis riwayat al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah) Dalam kegelapan bermaksud solat Isyak dan Subuh.

Waktu subuh amat singkat, oleh itu mereka yang ingin mendirikan solat Subuh harus bersedia awal sebelum masuknya waktu.

Solat tepat pada waktunya adalah ibadah yang disukai Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Amal yang paling dicintai Allah adalah mengerjakan solat (tepat) pada waktunya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Friday, November 21, 2008

Kehidupan Dunia

بسم الله الرحمن الرحيم


اللّهُ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقَدِرُ وَفَرِحُواْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ مَتَاعٌ
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat. Surah Ar-R'ad, Ayat 26


لَّهُمْ عَذَابٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَعَذَابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ وَمَا لَهُم مِّنَ اللّهِ مِن وَاقٍ
Mereka beroleh azab dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih menyeksakan lagi; dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat melindungi mereka dari azab Allah itu. Surah Ar-R'ad, Ayat 34


يُثَبِّتُ اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللّهُ مَا يَشَاءُ
Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Surah Ibrahim, Ayat 27


مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. Surah Al-Nahl, Ayat 97


ذَلِكَ بِأَنَّهُمُ اسْتَحَبُّواْ الْحَيَاةَ الْدُّنْيَا عَلَى الآخِرَةِ وَأَنَّ اللّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ
(Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat). Surah Al-Nahl, Ayat 107


وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاء أَنزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيماً تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُّقْتَدِراً
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Surah Al-Kahf, Ayat 45


الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعاً
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Surah Al-Kahf, Ayat 104



Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Monday, November 17, 2008

Manusia diberi hidayah akal, agama cari kebenaran

بسم الله الرحمن الرحيم

Setiap kejadian di muka bumi mempunyai peranan menunjukkan kebesaran penciptanya

HIDAYAH selalu diertikan sebagai petunjuk. Dalam solat lima waktu sehari semalam, Muslimin tidak putus-putus memohon dan berdoa kepada Allah agar sentiasa diberi hidayah ke jalan benar dan lurus.

Perkataan ini juga sebenarnya sering dibaca pada majlis doa selamat dan tahlil masyarakat Melayu, cuma persoalan yang perlu diketengahkan sekarang ialah berapa ramai yang benar-benar memahami dan menghayati apa yang mereka baca.


Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud, "Tunjuklah kami jalan yang lurus" (Surah al-Fatihah : 6). Firman-Nya lagi yang bermaksud "Alif, Laam, Miim, Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa" (Surah al-Baqarah : 1-2).

Dalam ayat seterusnya Allah berfirman maksudnya: "Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya" (Surah al-Baqarah :5).

Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa al-Quran adalah sumber utama petunjuk kehidupan manusia. Untuk mengenali Allah yang membawa kepada kedudukan takwa di sisi-Nya, manusia mesti terlebih dulu dikurniakan hidayah.


Syeikh Abu Bakr al-Jazairi dalam bukunya Akidah Mukmin membahaskan persoalan ini dengan membahagikan hidayah kepada dua bahagian iaitu hidayah akal dan agama.

Hidayah akal bermaksud petunjuk yang Allah berikan dalam bentuk kurniaan akal fikiran baik, waras dan sempurna sehingga dapat membezakan antara baik dengan buruk serta yang hak dengan batil.

Akal sempurna antara jalan yang akan membawa seseorang beriman kepada Allah dan mengetahui keesaan-Nya.

Secara logik, beberapa hukum akal berlaku di bumi. Ada hukum yang mudah diterima dan ditanggapi secara zahir dan ia secara tidak langsung adalah petanda kewujudan Allah.


Melalui konsep sebab dan musabab, apabila sesuatu sifat, jisim dan sebagainya mengalami perubahan, pasti ada sebab mengapa ia berubah dan yang pasti tidak akan berlaku secara semula jadi.

Sebagai contoh, lampu yang asalnya padam tetapi apabila ada yang memetik suisnya, secara logik lampu akan menyala dan ia menunjukkan ada sebab ia menyala. Seperti barang yang dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain, tentu ada yang mengubah dan alasan mengapa dipindahkan.

Semua orang berakal pasti meyakini tanpa pertikaian kerana ini tidak bertentangan dengan hukum akal. Zat barang berpindah pasti ada yang mengaturnya dan orang yang memindahkan itu tentu punya alasan kuat kenapa dialihkan.

Justeru, makhluk yang mendiami alam ini pasti ada penciptanya. Ia pasti tidak berlaku secara semula jadi kerana sesuatu yang terjadi tanpa alasan adalah suatu yang tidak munasabah.

Pencipta kereta tidak akan berkata ia sengaja mereka cipta kenderaan itu tanpa sebarang sebab, maka apatah lagi apabila al-Khaliq mencipta makhluk pasti punya sebab dalam penciptaan-Nya.

Sesungguhnya fenomena penciptaan, tujuan penyusunan, penyelarasan setiap kejadian makhluk di muka bumi adalah lambang kekuatan dan kekuasaan Allah.

Selepas dijadikan, alam dan makhluk lain terikat pula kepada konsep patuh mengikut kehendak yang menciptanya. Sebagai makhluk, manusia memikul amanah dan tanggungjawab mentadbir alam mengikut peraturan-Nya.

Sebagai tamsil mudah, jika matahari enggan terbit di sebelah timur, pasti berlaku huru-hara dan bencana, apatah lagi manusia yang dikurniakan akal lebih mudah memahami suruhan dan larangan Allah kerana dianugerahkan hidayah akal.

Petunjuk akal ini memberi gambaran wujud hukum yang memang tidak berlawanan dengan konsep adanya Allah yang mempunyai Asma (nama) yang baik dan mulia, sifat-Nya yang Maha Quddus, justeru akan beriman orang Mukmin kerana anugerah akal yang bersih, waras dan sempurna.

Hidayah agama pula dianggap lebih penting dalam usaha mengenal Allah kerana nur agama dipancarkan ke dalam diri hamba-Nya adalah faktor terbesar yang membawa manusia ke arah beramal dan penyucian diri.

Agama juga boleh memandu seseorang untuk mengubati jiwanya yang resah, fikiran yang berkecamuk, malah nilai agama juga boleh menyucikan diri berbanding anugerah akal semata-mata.

Tindakan ini yang membezakan antara pendekatan Islam dan Barat kerana pendukung fahaman sekular berpandangan, berfungsi atau tidaknya seseorang manusia bergantung kepada otak atau akal, sedang Islam melihat dalam bentuk lebih luas bukan sekadar akal semata-mata tetapi hati sebagai punca hidayah yang dianugerahkan Allah menjadi sebagai raja penentu baik atau rosaknya keseluruhan diri manusia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu itu maka baiklah keseluruhan jasad dan jika buruk, maka buruklah jasad keseluruhannya, ingatlah bahawa daging itulah hati".

Seruan beragama untuk mengenal dan melaksanakan ajaran Allah, seruan mentauhidkan-Nya, menjauhi kerosakan, membuang unsur syirik, suruhan melakukan makruf dan meninggalkan perkara mungkar adalah antara inti pati penting penyebaran dakwah yang dibawa oleh sekalian Rasul kepada kaumnya.

Penulis adalah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah (Jakim), Jelebu, Negeri Sembilan

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Sunday, November 16, 2008

Enam syarat peroleh kebahagiaan hakiki

بسم الله الرحمن الرحيم

KEBAHAGIAAN menjadi dambaan dan impian setiap insan. Oleh kerana kebahagiaan adalah satu istilah bersifat subjektif, maka tafsiran dan pemahamannya juga berbeza antara seorang dengan yang lain.

Ada yang menganggap kebahagiaan dapat dicari apabila memperoleh kekayaan melimpah ruah. Tidak kurang juga berpendapat kebahagiaan hanya diperoleh daripada suasana rumah tangga yang harmoni. Selebihnya pula berpendapat kebahagiaan sebenar terhasil daripada ketenangan jiwa dan keimanan tulus ke hadrat Allah Maha Esa.

Ringkasnya, setiap manusia mempunyai persepsi dan pemahaman berbeza mengenai kebahagiaan memandangkan penilaian perasaan bahagian itu sendiri hanya mereka saja yang boleh merasainya.

Menurut ahli falsafah Muslim terkenal, al-Farabi, kebahagiaan adalah suatu darjat kebajikan yang tertinggi yang tidak ada lagi suatu jenis kebajikan lebih tinggi atau lebih berharga daripadanya.

Justeru, sebagai kebajikan paling utama, kebahagiaan sangat dicari setiap insan untuk kebaikan dirinya. Ia adalah matlamat hidup sebenar dan keinginan terakhir dijejaki manusia kerana kejayaan menggapai kebahagiaan menjadikan mereka tidak memerlukan sesuatu yang lain daripadanya.

Ahli falsafah Yunani, Aristotles, pula menyatakan bahawa kebahagiaan adalah kebaikan tertinggi yang dibentuk dan diasaskan di bawahnya oleh himpunan kebaikan sangat banyak jumlahnya seperti kecantikan, kesihatan, kekayaan, kekuasaan, kecerdasan, ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan.

Semua nilai kebaikan itu adalah antara komponen yang dicari dan dijejaki setiap manusia sebagai wasilah menyampaikan mereka kepada kebahagiaan diimpikan.

Menurut perspektif Islam, kebahagiaan adalah lawan kepada penderitaan, kecelakaan dan kesengsaraan. Dalam konteks ini, orang yang berbahagia adalah orang yang memperoleh naungan rahmat, perlindungan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Sebaliknya, orang yang celaka dan sengsara adalah orang yang dijauhkan daripada rahmat Ilahi dan mendapat seksaan api neraka. Orang yang beriman kepada Allah sedia maklum dan meyakini bahawa Allah akan menjamin kebahagiaan kepada orang beriman serta beramal salih.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam solat, menjauhi (perbuatan dan perkataan) sia-sia, mengeluarkan zakat, menjaga kehormatan diri kecuali terhadap isteri dan hamba mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain daripadanya (isteri dan hamba), maka mereka itu orang yang melanggar batasan. Mereka yang menjaga amanah dan janji, mereka yang sentiasa mengerjakan solat, mereka itulah pewaris yang bakal mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalamnya.” - (Surah al-Mukminun, ayat 1-11)

Berdasarkan pengertian ayat suci itu, dapat disimpulkan sekurang-kurangnya ada enam syarat utama perlu dipenuhi terlebih dulu oleh setiap Muslim sebelum dapat mengecapi nikmat kebahagiaan yang dijanjikan Allah.

Enam syarat itu ialah khusyuk dalam solat, meninggalkan perkara sia-sia, mengeluarkan zakat, memelihara kehormatan diri, memelihara amanah serta menunaikan janji dan sentiasa mengerjakan solat.

Pendek kata, sesiapa yang dapat menghiasi dirinya dengan enam ciri itu, nescaya dia sudah menempah tiket kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah dan seterusnya terjamin di sisi Allah sebagai pewaris syurga Firdaus.

Berdasarkan hadis sahih, Rasulullah SAW pernah menjanjikan dua jenis kegembiraan (kebahagiaan) kepada orang berpuasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua jenis kegembiraan; iaitu kegembiraan pada waktu berbuka puasa dan kegembiraan pada waktu berjumpa dengan Allah.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut, berdasarkan hadis Rasulullah SAW, kegembiraan (kebahagiaan) yang pertama bagi seorang Muslim adalah kegembiraan kerana berjaya melaksanakan ibadat atau kewajipan agama yang diperintahkan Allah.

Kegembiraan kedua pula ditafsirkan sebagai kegembiraan kerana yakin dan optimis dengan ganjaran pahala berlipat ganda dijanjikan Allah kepadanya.

Tambah Syeikh Mahmud lagi, kedua-dua kegembiraan dicapai daripada menunaikan perintah Allah dan harapan terhadap ganjaran pahala di sisi Allah adalah dua faktor yang secara langsung akan memudahkan seseorang Muslim menjejaki kebahagiaan hidupnya dunia akhirat.

Kejayaan menunaikan perintah Allah akan mencetuskan ketenangan jiwa di sudut hatinya di samping harapan mendapatkan ganjaran pahala besar akan mempertingkatkan lagi motivasi serta kesungguhannya untuk terus beribadat dan beramal soleh selagi hayat masih dikandung badan.

Barangkali inilah antara hikmah dan kesan yang boleh dirasai setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Nilai kebahagiaan sebenarnya tidak diukur pada harta seseorang, pangkat atau kedudukannya.

Sebaliknya, kebahagiaan menurut kaca mata Islam didasarkan kepada amalan salih hamba Allah dengan penuh ikhlas sepanjang hidupnya. Itulah kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah kepada sesiapa yang beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar iman.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Saturday, November 15, 2008

Mengutamakan kesederhanaan dalam melakukan ibadah

بسم الله الرحمن الرحيم

DARIPADA Abu Hurairah katanya: “Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberatkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” - (Hadis riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan yang diniatkan kerana Allah.

Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung kepada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba’ (dilakukan sesuai dengan perintah Allah dan mencontohi apa yang dilakukan Rasulullah SAW)

Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Maksud ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan diri seperti mencari nafkah menyara ahli keluarga.

Perkara itu ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam menyuruh manusia berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat hingga melupakan dunia iaitu jambatan ke akhirat.

Oleh itu, mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Begitu juga dalam usaha mengajak ke arah ajaran Islam yang benar, dakwah hendaklah dilakukan dengan berhemah supaya apa disampaikan mudah diterima golongan yang didakwah serta diikuti dengan hati penuh ikhlas.

Pendakwah juga dilarang menimbulkan rasa sukar untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Contohnya ketika menjadi imam dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin makmun yang ada terdiri daripada mereka yang lemah dan sakit.

Abu Burdah berkata: “Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersatu padu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka merasa benci dengan ajaran yang disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara yang menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Friday, November 14, 2008

Iman kental benteng pertahan agama

بسم الله الرحمن الرحيم

SETIAP kejadian yang berlaku di dunia ini mestilah dikaitkan dengan konsep wujudnya Allah sebagai Pentadbir segala sesuatu. Peristiwa kelahiran manusia mahupun binatang yang asalnya tiada kepada ada dan pasti menempuhi detik masa dinamakan penamat kehidupan membuktikan pasti ada yang mengaturnya.

Fenomena kejadian alam yang silih berganti antara malam dan siang, penghasilan tanaman dan tumbuhan untuk kegunaan makhluk bernyawa, proses perkembangan taraf kemajuan manusia juga adalah petunjuk adanya Pentadbir alam ini.

Kitab suci al-Quran membongkar segala persoalan yang pasti hanya akan diketahui oleh pengkaji ayat-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya pada langit dan bumi ada tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang beriman. Dan pada kejadian diri kamu sendiri serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, ada juga tanda (membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang meyakininya. Dan pada pertukaran malam dan siang, silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan Allah dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin (semuanya itu mengandungi) tanda (membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran." (Surah al-Jaathiyah, ayat 3-5)

Jiwa manusia beriman sudah ditanam dalam sanubarinya perasaan yakin akan kewujudan Allah dan pastinya perasaan itu adalah fitrah yang dicampakkan ke dalam hati insan yang diberi petunjuk oleh-Nya. Hal itu dijelaskan ulama sebagai naluri ingin beragama.

Firman Allah yang bermaksud: "(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan, (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya." (Surah al-Rum, ayat 30)

Naluri manusia untuk memperakui ketuhanan Rabbul Jalil turut dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Tuhanmu melahirkan zuriat Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya), bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi, yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi pengingatan) mengenai (hakikat Tauhid) ini." (Surah al-A'raaf, ayat 172)

Al-Sunnah sebagai sumber wahyu kedua selepas al-Quran menjelaskan juga konsep kejadian manusia adalah suci dan fitrah. Ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang akan mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi."

Kisah Nabi Ibrahim mencari dan mengenal Tuhannya adalah satu contoh betapa naluri bertuhan itu adalah fitrah. Dalam surah al-An'aam ayat 76-79 merakamkan cetusan hati Nabi Ibrahim mengakui langit, bintang, bulan dan matahari sebagai tuhannya, namun semuanya itu akhirnya sirna, lantas Nabi Ibrahim mengakui bahawa Pencipta alam itu adalah Rabb dan Allah yang selayaknya disembah dan diberi pengabdian.

Pada ayat 79, Baginda pasrah dan berserah "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar Tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain" (Surah al-An'aam : 79).

Justeru, apabila orang Islam yang sudah mengecap nikmat iman ini, ia wajib dipertahankan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jatuh bangun peradaban manusia Muslim adalah bergantung sejauh mana kuat hubungannya dengan Allah. Sesuatu yang rugi dan malang apabila naluri dan fitrah ini dipalingkan kepada unsur yang syirik dan tidak mempercayai Allah.

Al-Quran dan al-Sunnah sarat dengan pelbagai contoh teladan golongan manusia yang mempertahankan iman dan akidah daripada dijual beli dengan keuntungan duniawi. Kejayaan mereka ini sewajarnya dijadikan pengajaran betapa keyakinan dan iktiqad dalam hati adalah permata yang tiada bandingan nilainya.

Mereka bukanlah seorang nabi mahupun rasul yang mempunyai kedudukan termulia di sisi Allah SWT, tetapi tahap keimanan golongan ini terlalu tinggi dan tidak dapat ditandingi oleh manusia lainnya di atas muka bumi ini.

Nama-nama seperti Habibun Najjar, Mashitah, Ashabul Kahfi, Ashabul Ukhdud dan sebagainya adalah contoh lambang kekuatan iman sebagai paksi kejayaan mengharungi pancaroba dunia. Kekuatan utama adalah dari dalam hati bukannya kekuatan fizikal semata-mata atau kerana banyaknya harta. Dalam surah al-Kahfi Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" (Surah al-Kahfi : 13).

Dalam surah Yaasin pula diceritakan pengorbanan Habibun Najjar dalam mempertahankan akidahnya dan kisah ini diceritakan dalam surah berkenaan ayat 13-27.

Maka sudah pasti Muslim yang bergelar Ulul Albab akan mengambil kisah anbiya dan golongan pendukung agama sebagai iktibar. Walaupun zaman silih berganti dan cubaannya pasti berbeza dengan zaman awal Islam, tetapi semangat dan kekentalan iman sangat diperlukan sebagai benteng dalam mempertahankan agama. Selama mana hati kuat bergantung kepada Allah, selama itulah setiap diri pasti akan tetap dalam pemeliharaan Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Ia bukanlah cerita yang diada-adakan, tetapi mengesahkan apa yang disebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskn tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang mahu beriman" (Surah Yusof : 111).

Dalam surah Hud pula, Allah SWT menjelaskan kepada Nabi Muhammad: "Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya, dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman" (Surah Hud : 120).

Inilah sebenarnya kebaikan yang amat dituntut oleh Islam kepada setiap penganutnya. Kejayaan dalam hidup bukanlah diukur dengan banyaknya harta atau hebatnya pembangunan material tetapi ia berpaksikan kepada nilai iman dan akidah serta diseiringkan dengan amal ibadah lain yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Ini dihuraikan dengan panjang lebar melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 177.

Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah (Jakim), Jelebu, Negeri Sembilan

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Thursday, November 13, 2008

Ya Rahman Ya Rahim..Alhamdullillah Aku Bersyukur padaMu Ya ALLAH diberi nafas sehingga kini..13.11....

بسم الله الرحمن الرحيم

وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئاً وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. Surah Al-Nahl, Ayat 78

ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلاً مَّا تَشْكُرُونَ
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. Surah As-Sajdah, Ayat 9

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْناً عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Surah Luqman, Ayat 14

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلاَّ بِإِذْنِ الله كِتَاباً مُّؤَجَّلاً وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ
Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. Surah A-li 'Imraan, Ayat 145


كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Surah A-li 'Imraan, Ayat 185


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". Surah Ibrahim, Ayat 7



Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Wednesday, November 12, 2008

Contoh peribadi terpuji dalam al-Quran

بسم الله الرحمن الرحيم

BAGI seorang manusia, tiada yang lebih bernilai kecuali keperibadian terpuji. Al-Quran menerangkan banyak peribadi dan ciri mulia yang boleh dicontohi, antaranya:

Takut hanya kepada Allah.
“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam.” (al-Maidah:28)

Melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” (al-Qasas:24)

Menyembunyikan perasaan marah dan sentiasa bersikap pemaaf.
“Dan orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Ali-Imran:134)

Memberi makan anak yatim yang dalam kelaparan dan kaum kerabat yang miskin.
“Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim dari kaum kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.” (al-Balad:14-16)

Suka bersedekah dengan harta yang disukainya kepada orang yang amat memerlukan bantuan.
“Dan seseorang itu suka mendermakan harta bendanya yang dia amat sukai kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang yang miskin.” (al-Baqarah:177)

Cenderung dan suka kepada perdamaian dan keharmonian.
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya.” (al-Anfal:61)

Tidak meminta-minta.
“Mereka disangka sebagai orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.

Bersabar dalam menempuh dugaan, baik ketika senang mahupun susah.
“Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil.” (al-Baqarah: 177)

Menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.
“Maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (al-Baqarah:283)

Tidak bersifat bakhil dan sanggup membelanjakan harta kepada golongan yang memerlukan.
“Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (at-Taghabuun: 16)

Bersederhana dalam semua perkara. Tidak terlalu boros ketika berbelanja dan tidak kedekut.
“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (al-Furqaan:67)

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Tuesday, November 11, 2008

Taubat bukan sekadar manis di bibir

بسم الله الرحمن الرحيم

Penyesalan ketika ajal hampir menjemput sudah tidak berguna lagi

ISLAM menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan itu, barulah individu Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang diwahyukan kepada kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus." (Surah al-Zukhruf, ayat 43)

Bagaimanapun, dalam kehidupan manusia yang sentiasa berdepan dengan pergolakan dan pancaroba menguji keimanan, ada ketikanya manusia tersungkur dan rebah kerana tergoda ajakan hawa nafsu yang bergelora.

Natijahnya, dia terbelenggu dalam kegelapan, meraba-raba mencari sinar Ilahi yang menerangi hatinya yang tercalit karat dosa. Justeru, Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan dirinya daripada dosa yang membayangi dirinya.

Taubat mempunyai peranan untuk membersihkan dosa. Oleh sebab itulah, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki pengampunan Allah.

Melalui taubat, manusia dapat memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat yang merugikan, seterusnya mempertingkatkan keazaman untuk beristiqamah penuh keikhlasan hanya kepada Allah semata-mata.

Perkara yang lebih penting mengenai taubat ini ialah betapa Allah bersifat Maha Pengasih terhadap hamba-Nya yang tersilap langkah dalam kehidupan sehariannya. Sehubungan itu, Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan dilakukan hamba-Nya kecuali dosa syirik kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar, ayat 53)

Seterusnya, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan atau terpelihara dalam kehidupannya kecuali nabi dan rasul.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah." (Hadis riwayat Darimi)

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Maksud daripada nas suci itu secara jelas mengambil kira kelemahan manusia yang kerdil lagi daif dan sentiasa menghadapi pelbagai tipu daya serta helah yang boleh menyebabkan manusia terbabas dari landasan yang benar.

Tetapi bagi insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah, dia akan segera menyedari serta menginsafi diri terhadap kesilapan dilakukannya. Maka, dia terus bertaubat kepada Allah dengan penuh penyesalan, seterusnya membulatkan keazaman mempertingkatkan amal soleh dalam kehidupannya.

Inilah antara ciri orang yang benar-benar beriman kepada Allah selari firman-Nya yang bermaksud: "Dan (antara ciri orang yang bertakwa itu) ialah apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang dilakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Orang yang demikian sifatnya), balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Surah Ali Imran, ayat 135 - 136)

Perlu diinsafi, taubat tidak memadai hanya sekadar manis di bibir dengan melafazkan ucapan taubat saja. Selepas itu, dia mengulangi semula perbuatan dosanya. Taubat yang sebenarnya menuntut seseorang melakukan lebih daripada itu.

Pertama, dia hendaklah meninggalkan terus perbuatan dosanya itu. Kedua, hendaklah menyesal dan insaf terhadap kesilapan terdahulu di samping menangis mengalirkan air mata sebagai tanda keinsafan.

Ketiga, seseorang itu hendaklah berazam dan bertekad tidak akan mengulangi lagi perbuatan terdahulu dan sebagai gantinya mempertingkatkan keimanan serta keikhlasan dalam merealisasikan segala bentuk ketaatan. Akhirnya, dia juga hendaklah mengembalikan atau memenuhi hak orang yang pernah disakiti.

Dalam erti kata lain, selepas bertaubat, dia dikehendaki meninggalkan terus perbuatan dosa dan menggantikannya dengan amalan soleh. Inilah yang tersirat di sebalik firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Aku (Allah) yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya." (Surah Taha, ayat 82)

Lanjutan itu, betapa perlunya kehidupan Muslim dihiasi dengan amalan muhasabah dan menilai diri agar, mengambil langkah berwaspada dalam menelusuri titian hidup yang penuh onak dan duri. Kemudian, disusuli pula dengan amalan salih yang bakal memperkuatkan ketahanan diri dan menggilap kemantapan jiwanya dalam menepis segala bentuk dugaan dan godaan yang mendatang.

Rasulullah SAW adalah contoh teladan terbaik dan sempurna yang menjadi ikutan umat Islam. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.

Lantas Baginda SAW menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah: "Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalaulah begitu kedudukan Rasulullah SAW yang mendapat keistimewaan pengampunan Allah terhadap segala dosanya, Baginda masih lagi beristighfar dan beramal salih, maka sewajarnya dan lebih sepatutnya bagi setiap insan yang serba kedaifan yang sentiasa terjebak dan terjerumus dalam kancah dosa dan maksiat, melaksanakan lebih daripada apa yang diamalkan Rasulullah SAW.

Menyedari akan hakikat itu, setiap Muslim sewajarnya merebut kesempatan dan peluang hidup keemasan dikurniakan Allah kepadanya di dunia yang fana ini untuk memperbaharui taubat dan seterusnya mempertingkatkan keimanan kepada Allah.

Jangan nanti apabila ajal datang menjemput, barulah mula sibuk hendak bertaubat kepada Allah. Pada masa itu, pintu taubat sudah tertutup dan akhirnya dia akan menyesal tidak berkesudahan. Sedangkan penyesalan itu tidak ada gunanya lagi di sisi Allah.

Tiada lagi alasan dan dalih yang boleh diterima Allah untuk memberikan peluang buat kali keduanya mahupun kesekian kalinya kerana Allah sudah memberikan masa kehidupan yang terlalu lama di dunia ini untuk dia kembali menginsafi diri dan bertaubat kepada-Nya.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Monday, November 10, 2008

Masa depan di tangan sendiri

بسم الله الرحمن الرحيم

HIDUP yang sementara ini, selayaknya diharungi dalam konteks yang tuntas dan berpaksi ajaran Islam dalam membina kehidupan sejahtera dan mendapat keredaan Allah. Orang bijaksana, bukan terlalu bersandarkan ilmu dunia semata-mata.

Sebaliknya, diseiringkan dengan ajaran wahyu atau agama tanpa sangsi kerana pasti kita menginginkan kehidupan tenang dan selesa. Semua itu boleh dicapai asal saja kita berusaha mencari dengan cara diizinkan agama. Ketenangan dan keselesaan hanya dapat dinikmati dengan mendekatkan diri kepada Allah serta memperbanyakkan amalan baik.

Kehidupan ini begitu menakjubkan bagi mereka yang mahu memikirkannya. Allah menjadikan kehidupan untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Namun semua itu bergantung kepada kehendak serta usaha kerana kehidupan terhampar depan mata bukan untuk dipandang sepi sebaliknya direncanakan bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, selayaknya kita menjadi hamba bijaksana mengurus kehidupan seharian. Dengan nawaitu yang tulus, kita membina kehidupan melalui usaha dan kerja yang bersungguh, tanpa mengenal erti jemu.

Tidak sukar menghadapi kehidupan dengan syarat kita bersedia menggunakan akal serta kudrat kurniaan Allah kerana Allah menyayangi hamba-Nya yang mahu berusaha dan tidak mensia-siakan peluang diberi. Selepas itu, manusia perlu bertawakal kepada ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui kerana janji Allah adalah pasti asalkan hamba-Nya tidak pernah lupa mensyukuri nikmat diberi. Firman Allah bermaksud: “Jika kamu bersyukur dengan kurniaanku, nescaya akan Kutambahkan rezeki Ku untukmu. Namun, jika kamu kufur, azab Ku amatlah pedih.”

Kehidupan tidak patut dipersiakan. Selagi ada upaya, cari kebaikan seperti disarankan agama. Orang yang kuat ( penguasaan ilmu dan kejayaan hidup) lebih baik daripada mereka yang lemah. Kita perlu mengubah kehidupan supaya menjadi lebih sempurna kerana hanya kita yang boleh menentukan arah tuju masa depan. Firman Allah yang bermaksud: “Tidak akan Ku ubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubahnya sendiri.”

Kesempatan yang masih ada ini, sebaiknya digunakan untuk menjadi manusia bijaksana mengurus kehidupan, selain terus berusaha dan bekerja. Umat Islam mesti mempunyai misi tuntas. Selain usaha dan gerak kerja berterusan, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang menjadikan Islam kuat.

Kekuatan itu bukan untuk menindas orang lain sebaliknya, meningkatkan martabat Islam dalam menyebarkan syiar dan menjelaskan keindahan agama ini kepada dunia. Kekuatan serta kejayaan membolehkan umat melakukan perubahan di bumi ini berlandaskan al-Quran dan sunnah. Islam adalah agama sempurna memberi panduan lengkap untuk manusia melalui kehidupan sempurna kerana setiap makhluk mempunyai tugas serta tanggungjawab bukan saja pada diri, juga kepada makhluk lain.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Sunday, November 9, 2008

Pemuda berakhlak pewaris bangsa tonggak kemakmuran negara

بسم الله الرحمن الرحيم

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah, orang yang jika mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang yang mereka khuatir terhadap kesejahteraannya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan supaya mereka berbicara dengan perkataan yang benar.” (Surah an-Nisa’, ayat 9)

Ayat ini mengajar kita sentiasa mempersiapkan pewaris bangsa atau generasi pemuda yang berkeperibadian tinggi, berakhlak mulia dan sihat.

Apakah ciri yang harus dimiliki generasi muda supaya tidak termasuk golongan lemah. Kriteria pemuda berkeperibadian mulia seperti digambarkan dalam lapan perkara diwasiatkan Lukman kepada anaknya diceritakan al-Quran.

Lapan perkara itu ialah larangan mempersekutukan Allah yakni keimanan yang teguh kepada Allah; berbuat baik kepada kedua orang tua; memperbanyakkan amal kebajikan walau kecil sekalipun; mendirikan solat; menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar; bersabar; tidak sombong dan angkuh serta bersikap sederhana dan lemah lembut dalam tutur kata.

Mempersekutukan Allah adalah dosa besar atau juga disebut sifat zalim yang maha besar. Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni dosa selain itu bagi siapa yang Dia kehendaki.

Pada era ini, pelajar atau mahasiswa sebagai generasi pemuda yang bakal memimpin negara perlu berwaspada terhadap penyusupan unsur pengaburan akidah melalui pelbagai pendekatan.

Paling tidak generasi yang lemah atau dangkal tafsirannya mudah terlena dengan buaian serta umpanan nafsu.

Serangan itu bukan saja melemahkan, malah menjadikan generasi muda meninggalkan kegiatan yang jelas makruf seperti solat, belajar dan perkara positif lain sebaliknya mengutamakan perkara melalaikan serta merosakkan pemikiran. Allah melarang kita tunduk kepada hawa nafsu kerana boleh membawa kepada perbuatan syirik yang akhirnya tertutup daripada hidayah Allah.

Umpan ditabur bukan hanya bertujuan memesongkan akidah dan pemikiran, malah kandangkala memberikan sedikit kekeliruan yang boleh membuatkan generasi muda mulai mempertikaikan nilai Islam, sunnah Rasulullah SAW dan hukum agama yang jelas termaktub dalam al-Quran.

Jangan kerana terpana dengan teori diperkenalkan atas nama Barat dan moden, kita tersesat secara sedar atau tidak. Paling membimbangkan ialah ini boleh menjerumuskan kita kepada syirik yang akhirnya tidak akan mendapat pengampunan Allah.

Satu perbuatan jelas makruf yang diperintahkan Allah adalah berbuat baik kepada kedua orang tua kerana pengorbanan mereka mendidik dan membesarkan kita tidak ternilai harganya.

Setinggi mana pun pencapaian serta kedudukan, kita tentu tidak terlepas daripada sokongan dan dukungan orang tua. Oleh itu, hendaklah berbuat baik, mematuhi nasihat, membahagiakan serta mendoakan ibu bapa walaupun mereka sudah tiada.

Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu memerintah supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan jangan engkau menengking mereka tetapi ucapkan kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Memperbanyakkan amal kebajikan sangat luas maknanya. Bagi remaja, amal paling pokok adalah menuntut ilmu di samping ibadah yang menjadi kewajipan semua seperti solat dan puasa.

Bagi mereka yang mampu, wajib mengeluarkan zakat dan menunaikan haji ke Baitullah. Berdasarkan keilmuan, keimanan dan ketakwaan yang kukuh dan mantap, maka baru generasi muda menjadi pewaris bermanfaat kepada masyarakat. Ditambah apabila kita berbuat sesuatu semata-mata kerana Allah bukan kerana ujub, riak dan takbur, pasti Allah mengangkat darjat seseorang beriman lagi berilmu pengetahuan beberapa darjat lebih tinggi daripada lain.

Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya kepada masjid antara golongan yang mendapat perlindungan Allah di hari kiamat kelak, pada hari itu tidak ada perlindungan kecuali perlindungan Allah. Kenapa Allah masukkan pemuda ini ke dalam golongan istimewa?

Sudah tentu apabila menjadi ahli masjid, mereka akan menjadi jemaah solat lima serta amalan lain seperti belajar agama, al-Quran dan iktikaf. Apabila mereka istiqamah dalam solat, ia mempengaruhi perilaku sekali gus mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Oleh itu, antara pendekatan berkesan membentuk keperibadian baik di kalangan pemuda adalah menjadikan mereka Muslimin dan Muslimat yang istiqamah.

Usaha paling efektif untuk mengubah akhlak pemuda tentu datang di kalangan generasi itu sendiri. Pemuda cemerlang mampu menyampaikan dakwah amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebajikan dan mencegah mungkar) dalam kelompok mereka sendiri.

Menerusi dakwah dan mengingatkan orang lain ke jalan lurus, pendakwah termasuk pemuda memberikan manfaat kepada orang lain. Apabila ini diamalkan, pemuda tergolong sebaik-baik manusia kerana selalu bermanfaat kepada manusia lain.

Generasi pemuda cemerlang juga memerlukan gandingan amalan yang dilaksanakan secara berkelompok atau berjemaah. Gerakan secara berjemaah mewujudkan kesatuan fikiran yang mampu mencorakkan perjalanan generasi muda atas nama iman dan amal.

Kesatuan fikiran bukan saja melahirkan watak dan imej, malah mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi apa juga cabaran. Allah sentiasa menguji keimanan dan ketakwaan seseorang dengan rasa takut, kelaparan dan kekurangan harta. Mereka yang sabar memperoleh rahmat, pengampunan dan petunjuk dari Allah.

Pemuda yang mengamalkan seluruh nasihat Lukman di atas, pasti menjadi tulang belakang pembangunan negara pada masa depan. Semakin banyak pemuda berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, semakin cepat negara menjadi makmur dan sentiasa dalam pengampunan serta reda Allah, insya-Allah.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Saturday, November 8, 2008

Kurniaan rahmat, nikmat tidak boleh dihitung

بسم الله الرحمن الرحيم

Syukuri setiap kelebihan dengan peningkatan amalan, membantu sesama manusia

UMUMNYA, nikmat kurniaan Allah dapat dibahagikan kepada bersifat fitri atau asasi iaitu nikmat yang diterima manusia sejak dilahirkan dan nikmat mendatang yang diterima mengikut keadaan dan waktu.

Nikmat fitri digambarkan Allah dalam firman bermaksud: "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (Surah al-Nahl, ayat 78)

Manusia dilahirkan dalam bertelanjang bulat tetapi mereka dilengkapi alat yang diperlukan untuk perjuangan hidup iaitu telinga, mata dan akal. Nikmat mendatang ialah kenikmatan, kelazatan atau kebahagiaan yang diterima manusia dalam perjalanan hidupnya. Segala dunia ini bermula daripada tanaman hingga ternakan dan hasil bumi disediakan untuk manfaat manusia.

Keadaan ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: "Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan Kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan dia serta Kami keluarkan daripadanya bijiran, maka daripada bijiran itu mereka makan. Dan Kami jadikan di bumi itu kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air. Ini supaya mereka makan daripada buah-buahannya dan dari sesuatu yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur." (Surah Yasin, ayat 33-35) Sedar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak terlepas daripada nikmat dan rahmat Allah yang tidak terhitung banyak. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang sesiapa pun.

Ini dinyatakan menerusi firman Allah bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiada akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nahl, ayat 18)

Lazimnya, seseorang hanya menyedari berharganya kurniaan Allah apabila nikmat itu hilang daripadanya (diambil kembali oleh Allah). Contohnya mata menjadi rabun, telinga menjadi pekak, kaki patah dan tangan putus. Nikmat kesihatan amat dirasai apabila sakit. Seseorang berkuasa atau berpangkat rasa kehilangan nikmat itu apabila dipecat.

Hartawan apabila miskin dan melarat akan terasa besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya. Oleh itu, pelihara setiap nikmat yang diperoleh dengan tindakan dianjurkan Islam.

Bersyukur kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu dikekalkan-Nya. Syukur dapat diertikan sebagai mengerti semua nikmat pada diri seseorang hamba, lahir atau batin adalah kurniaan Allah. Tanda bersyukur ialah apabila seseorang menggunakan nikmat Allah untuk melakukan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya dan sentiasa memperbanyakkan ucapan syukur. Mereka mengerjakan ketaatan kepada Allah dan membesarkan nikmat yang kecil sekalipun.

Sikap syukur semata-mata untuk keuntungan manusia, Allah tidak mendapat sedikit pun keuntungan dengan perbuatan syukur hamba-Nya. Allah juga tidak rugi sedikit pun dengan sikap kufur dan ingkar ditunjukkan manusia.

Firman Allah bermaksud: "Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukur itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah." (Surah al-An'am, ayat 40)

Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih. Dia bertambah dekat kepada Allah dan semakin sedar nikmat adalah kurniaan Ilahi yang perlu digunakan untuk kebaikan sesama manusia.

Seseorang yang memperoleh kekayaan perlu menggunakan kurniaan itu untuk menolong fakir miskin. Orang berpangkat pula perlu melakukan kebaikan kepada orang bawahannya atau masyarakat umum.

Sesungguhnya bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehnya semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Menyedari pentingnya sikap ini, maka syukuri segala nikmat kurniaan Allah besar atau kecil. Mudah-mudahan, nikmat itu kekal dan hidup diredai Allah di dunia serta akhirat. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Firman Allah bermaksud: "Oleh itu, makan (wahai orang beriman) dari sesuatu yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya." (Surah al-Nahl, ayat 114)

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Friday, November 7, 2008

Remaja Muslim perlu perkukuh semangat, berilmu

بسم الله الرحمن الرحيم


ORANG Islam yang dipandang hebat ialah yang perkasa fizikal dan minda, juga yang urusannya dengan Allah, manusia serta alam dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Lebih-lebih lagi, bagi generasi muda, mereka perlu mengambil peluang ketika usia muda untuk menjadi hebat kerana mereka masih perkasa.

Keperluan generasi muda masa kini untuk menjadi seorang yang hebat ialah mereka mesti berilmu, iaitu jika bercakap, berfikir dan bertindak, mestilah berasaskan ilmu, bukannya emosi dan ketidakstabilan jiwa menjurus kepada bicara penuh fitnah dan adu domba.

Mereka juga perlu adil, iaitu amanah dengan tanggungjawabnya kepada Allah serta manusia dan alam. Jika tidak amanah, mungkin mereka tidak ragu-ragu untuk berdusta dan memusnahkan hak orang lain.

Generasi muda juga mesti berani, kerana mereka tidak akan berjaya jika tidak memulakan sesuatu tanpa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, tentulah mereka akan memulakan langkah pertama untuk mencipta kejayaan lain dan menjadi ikutan kepada yang memerlukan model ikutan.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita, sedangkan impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh mengubah kehidupan, cita-cita juga menjadikan seseorang itu berjasa kepada agama dan negara.

Tetapi cita-cita perlukan hasrat dan tekad yang tidak terhingga, azam dan sokongan berterusan kerana jika tiada seperti yang disebutkan, orang muda akan tetap boleh berjaya atas keyakinan kepada kuasa Allah yang Maha Pengasih dan Pemurah.

Satu contoh yang boleh dijadikan ikutan golongan muda hari ini ialah Usamah bin Zaid bin Haritsah bin Syarjil bin Ka'ab bin Abdul 'Izzy al-Kilaby. Nama panggilannya ialah Abu Muhammad sementara gelarannya ialah Hibburrasul yang bermaksud 'kecintaan Rasul' atau Ibn Hibburrasul.

Beliau digelar demikian kerana Rasulullah SAW sangat menyayangi dan menyintainya seperti Baginda menyintai cucunya, Hasan dan Husain. Beliau lahir ketika Rasulullah SAW sedang dalam kesusahan kerana tindakan kaum Quraisy menyakiti Baginda dan sahabat.

Kesulitan dan kesusahan berdakwah menyebabkan Baginda SAW sentiasa harus bersabar dan dalam keadaan seperti itu, Baginda dikhabarkan dengan berita gembira, iaitu kelahiran anak kepada Zaid bin Harithah (anak angkat Baginda) dan Ummu Aiman.

Selepas Usamah bin Zaid meningkat remaja, sifat dan pekerti yang mulia kelihatan pada dirinya, menjadikannya kesayangan Rasulullah SAW. Beliau cerdik dan pintar, keberanian luar biasa, bijaksana dan pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya, tahu menjaga kehormatan, sentiasa menjauhkan diri daripada perbuatan tercela, pengasih dan dikasihi orang, takwa, warak dan mencintai Allah.

Ketika Perang Uhud, Usamah dan kawan sebayanya ingin sekali ikut berjuang di jalan Allah. Namun Rasulullah SAW tidak mengizinkannya kerana mereka masih terlalu muda. Ini menyebabkan Usamah menangis dan berasa sedih kerana tidak terpilih untuk berjuang di medan perang. Ketika Perang Khandaq, beliau bersama kawan sebayanya sekali lagi meminta izin Rasulullah SAW untuk ikut berperang dan kali ini Rasulullah memberi keizinan kerana umur mereka sudah mencapai 15 tahun.

Pernah berlaku dalam Perang Hunain, tentera Muslim sudah terdesak sehingga barisan tentera mereka menjadi kacau bilau. Tetapi Usamah bin Zaid tetap bertahan bersama 'Abbas, Sufyan bin Harits dan enam sahabat lain.

Usamah turut berperang di bawah pimpinan ayahnya, Zaid bin Haritsah dalam Perang Mut'ah di Rom pada 629 Masihi bersamaan 5 Jamadil Awal 8 hijrah ketika umurnya kira-kira 18 tahun.

Usamah menyaksikan sendiri, bapanya syahid di medan tempur tetapi beliau langsung tidak takut, malah terus bertempur dengan gigih di bawah panglima Ja'far bin Abi Thalib, sehingga Ja'far pula syahid di depan matanya.

Sehingga akhirnya, sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Baginda menyusun satu angkatan tentera untuk berhadapan dengan tentera Rom. Rasulullah SAW melantik Usamah bin Zaid sebagai pemimpin bala tentera Muslim.

Antara sahabat yang terpilih untuk menjadi tentera Muslimin untuk ke medan jihad ialah Saidina Umar Al Khattab. Namun, ketentuan Allah mendahului segala-galanya, sebelum tiba tarikh keberangkatan tentera, Allah menjemput kekasih-Nya, iaitu Rasulullah SAW kembali ke sisi-Nya.

Kewafatan Baginda Rasulullah SAW meninggalkan jutaan kenangan buat umat Baginda. Usamah pernah menceritakan bahawa pada suatu ketika, "Tatkala sakit Rasulullah SAW bertambah parah, aku bersama beberapa sahabat menghadap Rasulullah. Kemudian aku masuk kepada Baginda. Aku mendapati Baginda diam tidak berbicara sama sekali. Hal itu disebabkan sangat parahnya penyakit Rasulullah SAW. Tiba-tiba Rasulullah SAW mengangkat tangannya ke langit kemudian meletakkannya di dadaku, aku mengetahui bahawa beliau mendoakanku."

Tentera Usamah akhirnya mencapai kejayaan gemilang dalam 40 hari. Kemenangan ke atas wilayah kekuasaan Rom itu memberikan kesan politik yang penting terhadap negara Islam. Ia menyedarkan kaum yang ingin menyerang Madinah bahawa masyarakat Islam bukan mudah diugut atau digugat.

Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukan politik dan keselamatan umat Islam kerana tentera Usamah bin Zaid ditugaskan untuk menjaga keselamatan Madinah.

Justeru, orang muda perlulah mengatur langkah yang lebih gagah, usah peduli rasa rendah diri yang membantutkan usaha memajukan agama, bangsa dan negara. Mereka juga perlu setia kepada pemimpin yang tidak menzalimi rakyat.

Generasi muda perlu menjadi guru kepada diri sendiri, dengan menurut kata hati yang tidak melanggar hukum dan adat serta optimis, dengarlah kata orang lain, terutama ibu bapa yang tidak pernah berniat menjadikan anak mereka pengkhianat agama.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini penuntut Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang, Universiti Keele, United Kingdom.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com