بسم الله الرحمن الرحيم
KEBANYAKAN wanita menganggap kanser payu dara sebagai penyakit paling berbahaya apabila banyak laporan mengenainya dipaparkan oleh media massa.
Namun, tidak ramai menyedari bahawa osteoporosis lebih kerap melanda kaum wanita dan lelaki berbanding penyakit berkaitan kanser atau kegagalan kardiovaskular.
Lebih membimbangkan, penyakit yang bermaksud 'tulang poros' atau tulang kurang tumpat itu tidak menimbulkan sebarang simptom dan menyerang dengan senyap sehinggalah penghidapnya mengalami keretakan tulang pinggul.
Pengarah Pusat Kajian dan Rawatan Osteoporosis Hong Kong, Prof. Dr. Edith MC Lau berkata, kes keretakan tulang pinggul, tulang belakang atau pergelangan tangan kini semakin meningkat di kalangan wanita Asia.
Osteoporosis juga dikaitkan dengan penerbalikan proses pertumbuhan, sakit belakang yang amat sangat juga kecacatan tulang.
Menurut beliau, ia merupakan satu epidemik yang semakin luas melanda kerana kurang diberi perhatian sama ada oleh masyarakat umum mahupun golongan doktor sendiri.
Mengikut kajian yang dijalankan melalui pemeriksaan sinar-X dan proses saringan berkaitan tulang, satu daripada tiga orang wanita berpotensi menghidap osteoporosis. Manakala satu daripada tiga lelaki pula mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit yang sama.
"Fakta mengejutkan adalah kadar kematian yang meningkat sebanyak 20 peratus di kalangan pesakit retak tulang pinggul selepas tiga bulan mengalami masalah itu.
"Sementara 30 peratus lagi yang hidup pula terpaksa menghabiskan sisa-sisa kehidupan dalam keadaan lumpuh dan menjadi bebanan kepada masyarakat.
"Ini kerana kebanyakan wanita warga emas turut menghidap penyakit lazim yang lain akan lebih terkesan akibat osteoporosis sehingga timbul pula komplikasi jantung, paru-paru atau dimensia,'' katanya yang juga Pengarah Lembaga Yayasan Osteoporosis Antarabangsa Hong Kong.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai Osteoporosis pada Persidangan Media Asia Tenggara anjuran GE Healthcare di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketumpatan jisim tulang akan mencapai kemuncaknya sewaktu usia 20 hingga 25 tahun. Ia bergantung kepada faktor genetik di samping pengambilan nutrisi, aktiviti fizikal dan penyakit keturunan yang lazimnya mempengaruhi pertumbuhan tulang.
Justeru, adalah penting untuk mempertingkatkan ketumpatan jisim tulang dalam usia yang muda sebagai usaha mengurangkan risiko gejala osteoporosis ketika lewat usia.
Ini disebabkan tubuh tidak lagi mampu menggantikan tisu tulang (pembentukan semua tulang) dengan pantas apabila usia semakin meningkat terutama selepas menopaus kerana pengeluaran hormon estrogen akan terhenti mengakibatkan tulang tidak lagi mendapat perlindungan yang diperlukan.
Kaum lelaki juga mengalami situasi ini namun kadar kehilangan tisu tulang lebih perlahan di kalangan wanita.
Faktor risiko penyakit osteoporosis terbahagi kepada dua iaitu risiko kekal yang sukar dielak namun boleh ditangani dengan beberapa kaedah untuk mengurangkan kehilangan mineral tulang.
Antaranya, faktor usia, jantina (lebih berisiko di kalangan wanita), sejarah keluarga, keretakan tulang terdahulu, latar belakang etnik, menopaus atau histerektomi, terapi glukokortisoid jangka panjang, artritis reumatoid dan hipogonadisma di kalangan lelaki.
Satu lagi faktor risiko pula boleh mempengaruhi impak biologi tulang secara langsung dan mengakibatkan pengurangan ketumpatan mineral tulang (BMD).
Ia melibatkan pengambilan alkohol, merokok, indeks jisim badan yang rendah, kurang pengambilan nutrisi, kekurangan Vitamin D, masalah pemakanan, tidak bersenam dan pengambilan diet kalsium yang rendah.
Jelas Lau, diagnosis awal adalah penting dalam mencegah osteoporosis memandangkan lelaki dan wanita berusia lebih 60 tahun mempunyai risiko lebih tinggi menghidap osteoporosis berbanding golongan muda.
Pun begitu, golongan berkenaan tidak terkecuali dan boleh menghidap osteoporosis, osteopenia atau jisim tulang rendah.
Sehubungan itu, adalah penting untuk berjumpa doktor dan mengubah gaya hidup ke arah lebih positif jika faktor risiko di atas turut melanda diri anda bagi mencegah kemungkinan kesan jangka panjang akibat osteoporosis.
Sumber




No comments:
Post a Comment