Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Monday, November 24, 2008

Anak derhaka diselubungi seksaan dunia, akhirat

بسم الله الرحمن الرحيم

SESUNGGUHNYA, seorang wanita bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan antara insan paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya.

Ibu insan yang bertarung nyawa ketika mengandung dan melahirkan anaknya ke dunia. Saat anak masih kecil, ibu menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.

Apabila anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih. Oleh itu, sebagai anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Daripada perspektif Islam, martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan seperti Allah mengangkat tinggi darjat golongan ibu melalui firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 14, bermaksud: ‘Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).’

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlu dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu. Sebagai misalan, cerita rakyat Si Tenggang yang disumpah menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan Allah di dunia dan akhirat.

Allah menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23, maksudnya: ‘Dan Tuhanmu perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).’

Bayangkan, untuk anak berkata ‘Ha’ pun ditegah Allah untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka.

Kita harus ingat bahawa, keredaan Allah itu terletak kepada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW memberi banyak isyarat jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: ‘Saya ingin melaksanakan jihad dan ikut berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya berbuat demikian’.

Baginda kemudian menjawab, ‘Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan mengutus ku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.’

Begitu juga cerita di mana seorang lelaki bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, ‘Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab ‘Ibumu’.

Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali ‘Siapakah selepas ibu?’ dan jawapan Rasulullah SAW tetap ‘Ibumu’. ‘Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab ‘Bapamu’.

Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan lain di dunia ini.

Sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu, maka banyak negara termasuk negara kini yang mengkhususkan satu hari istimewa dalam kalendar tahunan sebagai 'Hari Ibu'.

Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh itu. Namun, hakikatnya untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sebanyak waktu yang kita mampu.

Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan lain yang bersifat lebih realistik, bermakna serta mengikut ajaran Islam.

Sebagai anak, ibu perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Sebagai anak kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan disyariatkan Islam dan norma budaya dan masyarakat.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

No comments: