Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Thursday, May 14, 2009

Solat selongkar rahsia kejayaan, keselamatan ummah

بسم الله الرحمن الرحيم

ALLAH mewajibkan solat fardu lima kali sehari semalam sebagai jadual untuk memberi peluang kepada manusia mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat-Nya.

Kekuatan solat menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur kepatuhan syariat Islam. Kelemahan menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.

Solat ialah penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal mulia. Tegak solat bermaksud tegaklah agama dan terabainya solat adalah meruntuhkan agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi ialah kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam digalak memulakan amalan solat ketika berumur tujuh tahun. Apabila 10 tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Jika ingkar, diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.

Firman Allah bermaksud: "Dan perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa." (Surah Thahaa, ayat 132)

Demikianlah tingginya kewajipan seorang Muslim terhadap ibadah solat yang menjadi amanah Allah. Jika kita memelihara solat, nescaya sentiasa dipelihara Allah, manakala jika mengabaikannya kita tergolong orang yang rugi.

Persoalan besar timbul ialah apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat? Antara faedahnya untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia sendiri. Solat ialah benteng daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Ini bermakna, Muslim yang istiqamah solatnya menjadi insan berakhlak mulia, hidup dipenuhi amal salih, bersifat amanah, berintegriti tinggi dan berjiwa tawaduk.

Mereka yang mengabai dan meringankan solat dilihat cenderung menjadi seorang yang rosak akhlak, bergelumang dengan maksiat, kejam dan mengamalkan sifat keji sehingga mengancam kesejahteraan diri serta masyarakat.

Imam Ahmad meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menjaga solat, nescaya solat itu menjadi cahaya, pembela, dan penyelamatnya pada hari kiamat. Sementara mereka yang tidak menjaganya tidak akan mendapat cahaya, pembela dan penyelamat. Bahkan mereka diletakkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubay Khalaf."

Orang meninggalkan solat disebabkan harta dihimpun bersama Qarun, jika disebabkan pangkat akan dihimpun bersama Firaun, jika disebabkan jawatan dihimpun bersama Haman dan jika disebabkan dunia korporat pula dihimpun bersama Ubay, seorang yang cintakan harta dan lupa akhirat.

Semua watak itu boleh menyumbang kepada gejala negatif seperti pecah amanah, salah guna kuasa, pelanggaran kepada perlembagaan dan undang-undang negara, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan bayi, kejadian jenayah, perceraian yang semakin meningkat, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam menghayati fungsi solat.

Melakukan dosa besar bukan saja kerana berzina, mencuri, minum arak, menderhaka ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah serta azabnya dahsyat di dunia dan akhirat. Ini dijelaskan Nabi SAW dalam salah satu gambaran azab ketika peristiwa Israk dan Mikraj, orang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang kali. Selain itu, Allah mencampakkan golongan itu ke dalam neraka Saqar.

Firman Allah bermaksud: "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat." (Surah al-Muddaththir, ayat 43)

Lupakah kita mengenai ingatan Rasulullah SAW supaya tidak mengabaikan solat pada saat akhir hayat Baginda? Begitu juga kisah Saidina Umar al-Khattab, walaupun tidak sihat akibat ditikam Abu Lu'lu'ah al-Majusi, apabila mendengar seruan solat, beliau segera bangun mendirikannya.

Sempena kempen bulan dakwah di seluruh negara, apakah peranan umat Islam sekalian dalam usaha menjadikan kekuatan solat sebagai penanda aras kekuatan kualiti beragama? Justeru, setiap kita perlu saling ingat mengingatkan supaya sentiasa menunaikan solat.

Jangan bersifat lepas tangan. Sumbangan kita menggalakkan solat atau menyediakan kemudahan tempat solat yang selesa dianggap sebagai langkah mendekati Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, melarang berbuat kejahatan; mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Tuesday, December 23, 2008

Solat pacu manusia bentuk gaya hidup sihat

بسم الله الرحمن الرحيم

Berwuduk, khusyuk dalam sembahyang amalan terbaik tingkat kemampuan fizikal, mental

ISLAM menggalakkan umatnya mengamalkan gaya hidup sihat. Allah mengingatkan manusia supaya jangan berlebihan dalam makan dan minum selari penemuan ilmu perubatan bahawa 90 peratus penyakit manusia berpunca daripada usus yang menjadi tempat menampung makanan.

Selain berhati-hati dalam pemakanan, manusia juga perlu mengamalkan riadah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda." (Hadis riwayat Muslim)

Secara umumnya, ilmu kesihatan mengesahkan bahawa manusia perlu menjalankan latihan jasmani sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit untuk satu sesi. Apa yang nyata Islam adalah agama sahih dan mementingkan gaya hidup sihat.

Allah memerintahkan umatnya melaksanakan ibadah khusus seperti berwuduk, bersolat, berpuasa, dan berzakat sebenarnya mempunyai matlamat serampang tiga mata. Pertama, untuk kesihatan jasmani, kedua bagi menjaga kesejahteraan rohani dan ketiga, menjaga kebersihan persekitaran.

Bagaimanapun, solat dianggap ibadah khusus paling penting membimbing manusia menjalani gaya hidup sihat. Persoalan besar timbul ialah solat yang bagaimana mampu memacu manusia membentuk gaya hidup sihat.

Sebelum mendirikan solat, umat Islam diwajibkan bersuci dengan cara berwuduk. Amalan berwuduk diwajibkan sekurang-kurang lima kali sehari sebenarnya mendisiplinkan umatnya menjaga kebersihan secara teratur dan tetap. Berwuduk membabitkan pembersihan anggota badan tertentu.

Dari segi zahir, berwuduk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk daripada terus melekat di badan atau dalam rongga. Di samping itu, amalan bersuci dan kaedah pembersihan najis dalam Islam adalah memastikan persekitaran dijamin bersih.

Dari segi batin pula, amalan berwuduk membersihkan hati, menghapuskan dosa, mengawal tekanan dan memberi ketenangan jiwa kepada seseorang. Betapa besar faedah berwuduk itu, maka wuduk sewajarnya diambil dengan sempurna.

Solat adalah amalan umat Islam mengadap atau menyembah Allah secara langsung tanpa ada perantaraan manusia. Solat adalah bentuk penyembahan tertinggi umat Islam kepada Allah yang bersifat Maha Kuasa, Maha Kaya dan Maha Tinggi di dunia dan akhirat.

Nilai kemuliaan seseorang manusia kepada Allah tidak hanya diukur daripada berapa kali melakukan solat dalam sehari melainkan sejauh mana umat Islam memahami makna yang terkandung dalam solat itu. Persoalan besar timbul ialah solat yang bagaimana mampu memberi kesihatan fizikal dan mental kepada manusia.

Solat membabitkan pergerakan fizikal dan tumpuan minda kepada Allah bermula daripada qiyam, takbiratulihram, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, memberi salam, bertamak-ninah dan disertai dengan bacaan. Semua pergerakan fizikal dalam solat mempunyai rahsia tersendiri.

Malah, ketika melakukan rukuk dan sujud disunatkan dipanjangkan masanya. Ini menunjukkan solat tidak boleh dibuat sambil lewa, tetapi hendaklah mengikut adab dan standard piawaian ditetapkan. Bagi mereka yang mengadap dengan tertib dan beradab, sudah tentu akan memperoleh kepuasan serta ketenangan.

Allah memberi peringatan bahawa orang mukmin yang berjaya ialah mereka yang khusyuk berhadapan dengan Allah ketika menunaikan solat.

Solat yang khusyuk boleh dicapai dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, berhati-hati, ikhlas, memahami roh pergerakan dalam solat, memahami ayat dan zikir yang dibaca, solat di awal waktu, tempat solat dan pakaian bersih daripada sebarang najis serta digalakkan berjemaah.

Selain diwajibkan solat lima waktu, umat Islam juga digalakkan mengamalkan solat sunat. Antara solat sunat yang mencabar prestasi keikhlasan umat Islam ialah solat Tahajjud (solat lewat malam).

Beberapa kajian dibuat mengenai fadilat solat kepada manusia membuktikan pergerakan dalam solat dan tumpuan khusyuk berkeupayaan membawa kerehatan kepada anggota badan, memberi kestabilan dalam pernafasan dan denyutan jantung, mengurangkan tekanan serta mengekalkan kebersihan diri pada setiap waktu.

Solat yang khusyuk bukan saja memberi kesan baik hubungan kita dengan Allah, tetapi berupaya membentuk kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan keperibadian umat Islam yang unggul.

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Tuesday, November 25, 2008

Tunaikan sembahyang pada malam hari dijanjikan kedudukan terpuji di akhirat

بسم الله الرحمن الرحيم

Tunaikan sembahyang pada malam hari dijanjikan kedudukan terpuji di akhirat

AMALAN solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat tahajud seperti sabda Nabi SAW: "Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud)." Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, Nombor 1163.

Namun begitu hanya segelintir umat Islam pada masa kini yang prihatin dan mengambil peduli berkaitan pelaksanaan ibadat solat tahajud ini. Majoriti umat Islam lebih memilih untuk tidur.

Tahajud terbentuk daripada kata dasar hajada bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Jika seseorang berkata: Tahajjadtu bermaksud saya membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h berkata: "Imam al-Tobari menyatakan tahajjud berjaga selepas tidur terlebih dulu.

Menurut Ibn Faris: Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat pada malam hari. Menurut al-Kurra' pula, tahajjud adalah solat malam secara khusus." Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203

Oleh itu, solat tahajud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun, waktu paling utama dilaksanakan solat tahajud adalah satu pertiga malam terakhir iaitu bermula jam 3 pagi hingga masuk waktu Subuh.

Dalil disyariatkan solat tahajud ini adalah sebagaimana firman Allah SWT: "Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji." (Surah al-Israa': 79)

Abu Ubaidah menyatakan di dalam Kitab al-Majaz: "Maksud firman Allah kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu ialah berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat." – Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202

Dalil solat tahajud lebih utama dilakukan satu pertiga malam terakhir berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Rabb kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih ada baki satu pertiga malam yang akhir.

Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku akan memakbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampuninya."

Ternyata ibadat di dalamnya ada doa, permintaan dan permohonan ampun adalah solat.

Rasulullah SAW seorang insan dijamin Allah akan masuk syurga. Baginda juga sebaik-baik manusia, malah digelar sayyid al-Mursalin, iaitu penghulu segala Rasul. Baginda insan maksum dan bebas daripada sebarang bentuk dosa.

Walaupun dengan kedudukan sedemikian, Baginda tetap bersungguh-sungguh mengerjakan solat tahajud sehingga pecah tumit kakinya. Isterinya Aisyah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa Baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah masih ingin bersusah payah melakukan ibadat itu sedangkan dia seorang yang dijamin syurga.

Kisah ini disampaikan Aisyah r.a sendiri dalam sebuah hadis: Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Aisyah berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang? Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?" Hadis riwayat al-Bukhari.

Justeru, selepas dibandingkan amalan Rasulullah SAW ini dengan diri kita yang sentiasa bergelumang dengan dosa, mengapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh melaksanakan solat tahajud? Adakah kita menganggap diri kita setanding atau lebih baik daripada Rasulullah SAW?

Allah mengurniakan pelbagai keutamaan besar bagi mereka yang melaksanakan solat tahajud. Mereka mengerjakan ibadat pada malam hari akan dikurniakan kedudukan terpuji di sisi Allah di akhirat kelak yakni menjadi ahli syurga.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Saturday, November 22, 2008

Banyak keistimewaan solat Subuh berjemaah

بسم الله الرحمن الرحيم

Halangan, godaan laksana ibadah sebelum terbit fajar uji tahap keimanan seseorang

WAKTU paling liat untuk bangun tidur ialah ketika hampir masuk waktu subuh. Jika pada masa itu hujan renyai dengan hembusan angin dingin pula, maka tambah malas hendak bangun dan semakin kuat tangan menarik selimut.

Walaupun hakikatnya kita sudah terjaga, oleh kerana telinga didendangkan syaitan bahawa tidur lebih nikmat daripada bangun, maka ada antara kita terus berlengkar macam ular sawa di tempat tidur sehingga waktu subuh berlalu.

Setiap orang pasti menempuhnya kerana waktu subuh adalah masa cukup enak melayan fikiran di tempat tidur. Justeru, hati malas dan liat untuk bangun memberi peluang syaitan berjaya menggoda.

Susahnya untuk bangun pagi bagi menunaikan solat Subuh adalah ujian melihat sejauh mana tahap keimanan kepada-Nya. Ujian seperti ini dihadapi umat manusia tanpa kecuali sejak Nabi Adam diciptakan hingga hari kiamat.

Firman Allah yang bermaksud: "Alif lam mim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (begitu saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 1-3)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (Surah al-Mulk, ayat 2) Mendirikan solat Subuh berjemaah di surau atau masjid perkara yang berat untuk dikerjakan. Ujian itu dikira berat kerana banyak godaan dan halangan sebelum berjaya melangkah kaki ke surau atau masjid.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah Isyak dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekali pun dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh mengerjakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami solat bersama orang ramai. Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu yang diikat, mendatangi suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktu subuh bermula sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Masalah itu ditegaskan sekali lagi oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang mendapatkan satu rakaat solat Subuh sebelum terbit matahari, maka dia sudah melaksanakan solat Subuh." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah)

Sesungguhnya sesiapa yang pergi ke surau atau masjid untuk mendirikan solat Subuh berjemaah akan mendapatkan banyak keistimewaan dan pahala dibandingkan orang yang melaksanakan solat fardu selain solat Subuh berjemaah.

Antaranya ialah mendapat pahala seperti orang yang solat berjemaah iaitu 27 darjat pahala, memperoleh kebaikan yang banyak, dihapuskan amal kejahatan, dinaikkan darjat dan kedudukan, dijanjikan syurga dan malaikat mendoakannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang solat dua waktu yang sejuk, maka akan masuk syurga." (Hadis riwayat Al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asya'ri)

Keistimewaan lain yang diperoleh mereka yang mendirikan solat Subuh berjemaah ialah seakan-akan melaksanakan solat malam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang mengerjakan solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia bersolat setengah malam. Barang siapa mengerjakan solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak) maka seakan-akan dia melaksanakan solat malam selama satu malam." (Hadis riwayat Muslim)

Subuh adalah sumber segala cahaya pada hari kiamat kelak. Allah akan memberi cahaya yang sangat terang pada hari kiamat kepada mereka yang mendirikan solat Subuh dengan berjemaah di surau atau masjid.

Walaupun cahaya bagi orang beriman pada hari kiamat berbeza, Allah tidak akan mencabut cahaya itu di mana saja dan tidak mengambilnya ketika melewati Sirat al-Mustaqim. Allah akan tetap bersama mereka sampai mereka masuk ke dalam syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berikanlah khabar gembira kepada orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat." (Hadis riwayat al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah) Dalam kegelapan bermaksud solat Isyak dan Subuh.

Waktu subuh amat singkat, oleh itu mereka yang ingin mendirikan solat Subuh harus bersedia awal sebelum masuknya waktu.

Solat tepat pada waktunya adalah ibadah yang disukai Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Amal yang paling dicintai Allah adalah mengerjakan solat (tepat) pada waktunya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com