بسم الله الرحمن الرحيم
LELAKI Palestin membawa seorang kanak-kanak yang cedera akibat serangan Israel ke hospital Beit Lahiya, di utara Gaza, semalam.
Pertempuran askar Yahudi, Hamas masuk minggu ketigaBANDARAYA GAZA: Israel semalam berikrar meningkatkan tindakan ketenteraannya di Gaza selepas ia melancarkan lebih banyak serangan udara, ketika pertempuran masuk minggu ketiga dan disebalik gesaan agar gencatan senjata diadakan.
Ketika angka kematian meningkat kepada 825 orang, pesawat Israel menggugurkan risalah di seluruh bandaraya Gaza memberi amaran kepada penduduk bahawa ia akan meningkatkan serangan ke atas Hamas dan kumpulan pejuang lain.
Pada pertempuran semalam, bedilan kereta kebal tentera Israel jatuh di pekarangan sebuah rumah di Jebaliya, utara Gaza, membunuh sembilan orang ketika mereka duduk di luar rumah. Dalam satu kejadian berasingan seorang wanita Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar selatan, Rafah.
Sementara itu, Mesir yang disokong Amerika Syarikat, mengetuai usaha mengakhiri pertempuran yang mencetuskan bantahan umat Islam di seluruh dunia, manakala Presidennya, Hosni Mubarak, mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, semalam.
Delegasi Hamas termasuk pegawai kanan dari Gaza yang turut sama untuk kali pertama, selain barisan pemimpin dalam buangan berpangkalan di Damsyik, dijadual mengadakan perbincangan dengan Ketua Perisikan Mesir, Omar Suleiman.
SEORANG kanak-kanak Palestin yang cedera dikejarkan ke Hospital al-Shifa, di Gaza.
Abbas menggesa Hamas menerima pelan Mesir ‘tanpa ragu’ dan selepas berbincang dengan Mubarak berkata, bahawa ‘keadaan yang berlaku tidak membolehkan kita membuang masa’.
“Sesiapa yang tidak menerima pelan itu akan bertanggungjawab terhadap keganasan dan pertumpahan darah yang berterusan,” katanya.
Pelan Mubarak yang dikemukakan Selasa lalu, menggesa gencatan senjata bagi tempoh tertentu, pembukaan semula lintasan sempadan Gaza, menghalang penyeludupan senjata dan meminta penduduk Palestin memulakan kembali rundingan damai.
Pertempuran di Gaza tidak menunjukkan tanda akan reda, apabila Israel melancarkan lebih 40 serangan ke wilayah itu sepanjang malam kelmarin hingga semalam dengan mensasarkan terowong, kawasan pengeluaran dan gudang senjata.
Tentera berkata, angkatan darat Israel yang memasuki Gaza seminggu lalu, berbalas tembak dengan pejuang Palestin di seluruh wilayah itu.
Pejuang Hamas melancarkan sekurang-kurangnya tujuh roket ke Israel dan mencederakan dua penduduknya.
Sementara itu, ketua negara Arab akan mengadakan sidang kemuncak khas mengenai krisis di Semenanjung Gaza, bersama sidang kemuncak ekonomi di Bandaraya Kuwait pada 19 dan 20 Januari, lapor media tempatan semalam.
Akhbar An-Nahar melaporkan 22 negara anggota Liga Arab menerima tawaran Kuwait untuk mengadakan perbincangan, berikutan kemarahan semakin meningkat di kalangan rakyat Arab berikutan kegagalan kerajaan Asia Barat menghalang kekejaman Israel. - AFP
Sumber




No comments:
Post a Comment