بسم الله الرحمن الرحيم
KEPULAN asap menyelubungi sekitar Gaza selepas tentera Yahudi melancarkan bom, semalam.
BANDARAYA GAZA: Pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza masuk minggu ketiga, ketika pusingan baru usaha diplomasi diteruskan bagi mengakhiri perang yang sudah mengorbankan lebih 800 nyawa setakat ini.
Pada pertempuran semalam, bedilan kereta kebal tentera Israel jatuh di pekarangan sebuah rumah di Jebaliya, utara Gaza, membunuh sembilan orang ketika mereka duduk di luar rumah. Dalam satu kejadian berasingan seorang wanita Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar selatan, Rafah.
Sementara itu, Mesir yang disokong Amerika Syarikat, mengetuai usaha mengakhiri pertempuran yang mencetuskan bantahan umat Islam di seluruh dunia, manakala Presidennya, Hosni Mubarak, mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, semalam.
Delegasi Hamas termasuk pegawai kanan dari Gaza yang turut sama untuk kali pertama, selain barisan pemimpin dalam buangan berpangkalan di Damsyik, dijadual mengadakan perbincangan dengan Ketua Perisikan Mesir, Omar Suleiman.
Abbas menggesa Hamas menerima pelan Mesir 'tanpa ragu' dan selepas berbincang dengan Mubarak berkata, bahawa 'keadaan yang berlaku tidak membolehkan kita membuang masa'.
"Sesiapa yang tidak menerima pelan berkenaan akan bertanggungjawab terhadap keganasan dan pertumpahan darah yang berterusan," katanya.
DUA pemuda Palestin membawa rakan mereka yang cedera dengan motosikal ke hospital Kamal Adwan di Beit, Lahiya.
Pelan Mubarak yang dikemukakan Selasa lalu, menggesa gencatan senjata bagi tempoh tertentu, pembukaan semula lintasan sempadan Gaza, menghalang penyeludupan senjata dan meminta penduduk Palestin memulakan kembali rundingan damai.
Pertempuran di Gaza tidak menunjukkan tanda akan reda, apabila Israel melancarkan lebih 40 serangan ke wilayah itu sepanjang malam kelmarin hingga semalam dengan mensasarkan terowong, kawasan pengeluaran dan gudang senjata.
Tentera berkata, angkatan darat Israel yang memasuki Gaza seminggu lalu, berbalas tembak dengan pejuang Palestin di seluruh wilayah itu.
Pejuang Hamas melancarkan sekurang-kurangnya tujuh roket ke Israel dan mencederakan dua penduduknya.
WARGA emas yang cedera menahan kesakitan ketika menerima rawatan di hospital Kamal Adwan, semalam.
Sementara itu, ketua negara Arab akan mengadakan sidang kemuncak khas mengenai krisis di Semenanjung Gaza, bersama sidang kemuncak ekonomi di Bandaraya Kuwait pada 19 dan 20 Januari, lapor media tempatan semalam.
Akhbar An-Nahar melaporkan 22 negara anggota Liga Arab menerima tawaran Kuwait untuk mengadakan perbincangan, berikutan kemarahan semakin meningkat di kalangan rakyat Arab berikutan kegagalan kerajaan Asia Barat melakukan sesuatu yang lebih berkesan bagi menghalang kekejaman Israel yang kini memasuki minggu ketiga. - AFP
Sumber




No comments:
Post a Comment