Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Wednesday, December 31, 2008

Berita - 3 Muharam 1430. 'Israel tolak gencatan senjata'

بسم الله الرحمن الرحيم


SEORANG lelaki Palestin memeriksa keadaan sekitar bangunan yang rosak teruk di Bandar Raya Gaza.

Menteri akui serangan terhadap Gaza sudah lama dirancang, tolak gencatan

GAZA: Israel semalam menolak sebarang perjanjian gencatan senjata dengan pergerakan Hamas di Gaza selagi serangan roket ke kawasan mereka tidak dihentikan malah mengakui serangan udara mereka yang paling hebat sejak berdekad lalu akan berterusan selama berminggu-minggu lagi.

Tentera darat Israel memenuhi kawasan sempadan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pencerobohan masuk pejuang Palestin untuk menyerang manakala pesawat Israel melakukan serangan pada hari keempat sehingga menyebabkan 12 lagi penduduk Palestin terbunuh termasuk dua kanak-kanak perempuan yang juga adik beradik berusia 10 dan 12 tahun.

Pegawai perubatan menyatakan jumlah penduduk Palestin terbunuh sejak Israel mula melancarkan serangannya Sabtu lalu adalah 360 mangsa manakala penduduk cedera pula seramai 1,690 orang. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 62 yang terbunuh adalah orang awam.

Tiga penduduk dan seorang askar Israel turut terbunuh dalam serangan balas pejuang Palestin menggunakan pelancar roket.

Dalam tragedi terbaru, pesawat Israel melakukan lebih 40 serangan awal semalam termasuk mensasarkan bangunan Hamas sehingga menyebabkan 10 penduduk terbunuh, kata saksi dan petugas perubatan.


SEORANG wanita memegang gambar bayi cedera ketika menyertai bantahan di Berlin.

Serangan selama empat hari yang sudah mengorbankan beberapa pemimpin kanan Hamas itu bagaimanapun gagal menghentikan serangan roket pergerakan berkenaan.

Serangan Israel dilakukan beberapa jam selepas serangan roket oleh pejuang Palestin membunuh seorang askar Israel berhampiran sempadan Gaza dan seorang penduduk Israel di bandar Ashdod.

Media Israel memetik Perdana Menteri, Ehud Olmert, memaklumkan kepada Presiden, Shimon Peres bahawa operasi di Gaza itu adalah langkah pertama daripada beberapa tahap.

Dengan tinggal enam minggu lagi sebelum pilihan raya Israel diadakan dan parti berhaluan kiri Parti Likud dijangka menang, kerajaan Israel berkata serangan itu bertujuan menghentikan serangan roket pejuang Palestin.


REMAJA Palestin mengumpul harta benda selepas kediaman mereka musnah dibedil.

PBB menggesa perjanjian damai segera dicapai tetapi Menteri Dalam Negeri Israel, Meir Sheetrit, berkata 'tiada ruang untuk melakukan gencatan senjata' dengan Hamas sehinggalah ancaman serangan roket dihentikan.

"Tentera Israel mesti meneruskan operasi sehinggalah hasrat Palestin atau Hamas untuk terus menyerang Israel dihentikan," katanya kepada radio Israel.

Timbalan Menteri Pertahanan, Matan Vilnai, berkata tentera Israel sudah melakukan persediaan serangan beberapa minggu sebelum serangan dilancarkan.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum, berkata, kumpulan Palestin sepatutnya bertindak balas menggunakan apa cara untuk menentang Israel termasuk 'operasi syahid'.

Hamas menguasai Semenanjung Gaza daripada Presiden Palestin Mahmoud Abbas dari pergerakan Fatah dalam pertempuran pada Jun 2007. Mereka menolak permintaan antarabangsa untuk mengiktiraf kewujudan negara Israel kerana Yahudi itu menceroboh wilayah mereka. – Reuters


Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

No comments: