Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Monday, January 12, 2009

Berita - 15 Muharam 1430. 'Israel makin buas'

بسم الله الرحمن الرحيم

PENDUDUK Palestin mengutip cebisan al-Quran yang musnah selepas Masjid al-Fadilah di Rafah dibom dalam serangan udara tentera Israel, semalam. - Foto Reuters

Pasukan perubatan jumpa mayat mangsa dimamah tikus, anjing

BANDARAYA GAZA: Tentera Zionis terus mengganas dengan pertempuran sengit berlaku antara tentera rejim itu dan pejuang Hamas di pinggir bandar raya ini semalam, ketika pasukan infantri Israel semakin hampir ke kawasan paling ramai penduduk.

Sementara itu, anggota perubatan Palestin yang sering terlewat menuju lokasi serangan berikutan bedilan yang berterusan, melaporkan dalam beberapa kes mayat mangsa yang ditemui didapati sudah dimamah tikus dan anjing.

Pesawat tempur Israel terus melancarkan serangan bom di sepanjang sempadan Mesir dan Gaza semalam, berhampiran bandar Rafah menyebabkan tingkap terminal imigresen pecah.

Saksi berkata, tentera Israel melepaskan bom fosforus di Khouza, sebuah perkampungan berhampiran sempadan, mengakibatkan sederet rumah terbakar.

Pegawai hospital, Dr Yusuf Abu Rish berkata seorang wanita terbunuh, manakala 100 lagi cedera kebanyakannya akibat terbakar dan terhidu gas bom terbabit.

Pertempuran yang masuk hari ke-16 itu setakat ini sudah mengorbankan lebih 875 orang, ketika Mesir meneruskan usaha mencari jalan penyelesaian di wilayah itu.

Saksi Palestin berkata, pertempuran di kejiranan Sheikh Ajleen bermula sebelum subuh dan berlarutan sehingga pagi, apabila angkatan darat Israel bersama kereta kebal mara ke arah Bandaraya Gaza yang mempunyai 400,000 penduduk.

Pejuang Hamas dan kumpulan lebih kecil, Jihad Islam, berkata mereka menyerang hendap askar Israel dan mengesahkan pertempuran adalah paling sengit sejak rejim Zionis menghantar angkatan daratnya ke wilayah di pesisir pantai itu, 3 Januari lalu.

Pegawai perubatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 14 orang dari kejiranan Sheikh Ajleen terbunuh, tetapi sama ada mereka pejuang Hamas atau penduduk awam belum diketahui setakat ini.

Tentera Israel mula dilihat di jalan utama kejiranan itu dan di sebuah kebun serta padang berhampiran sebelum subuh.

"Kami selamat tetapi kami tidak tahu untuk berapa lama," kata Khamis Alawi, 44, yang dikelilingi isteri dan enam anaknya, sambil menambah peluru daripada pertempuran itu mengenai dinding dan tingkap rumahnya.

Pejuang Hamas melancarkan siri serangan roket ke bandar Beersheba di Israel, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam pada itu, anggota perubatan Palestin berkata mereka turut menghadapi ancaman ketika cuba menyelamatkan mangsa serangan, malah ada yang terkorban dan tercedera ketika cuba menyelamatkan orang lain.

Anggota perubatan itu yang menjangkau seramai 400 orang termasuk anggota sukarela, bekerja untuk tempoh yang lama tanpa mendapat waktu tidur secukupnya.

Ramai sudah pun kehilangan kawan dan anggota keluarga, tetapi beban kerja yang banyak menyebabkan mereka tidak mempunyai masa memikirkan apa yang dilihat dalam kejadian itu.

Menurut anggota perubatan, penyelarasan yang terpaksa dilakukan dengan pihak Israel sering menyebabkan mereka terlewat sampai kepada mangsa yang tercedera. Sesetengah laporan menyatakan mereka menemui orang yang terkandas di rumah selama beberapa hari atau mayat bergelimpangan di jalan raya tanpa dipedulikan.

"Jijik bukan perkataan yang patut digunakan," kata Shawki Saleh, 24, seorang anggota sukarela perubatan di hospital Kamal Adwan.

"Jika bukan anjing, tikus dilihat menghurung mayat...Saya sudah terbabit dalam kerja sukarela ini selama dua tahun, tetapi tidak pernah terfikir akan melihat keadaan seperti ini.

"Siapa tahu berapa ramai orang masih tertimbus di bawah kesan runtuhan itu? Kami sendiri pun menjerit ketika membawa mereka keluar."

Seorang lagi anggota perubatan, Haitham Adgheir berkata pada satu ketika dia mengusung lima mayat, melihat enam lagi di Hospital Gaza dan pasukan perubatannya diserang oleh kereta kebal Israel, mengakibatkan pemandunya dihujani serpihan kaca.

"Otak saya seperti video yang boleh memainkan gambar bahagian tubuh badan manusia dan mangsa yang tercedera," kata Adgheir, 33.

Sejak pertempuran bermula, 21 kakitangan perubatan Palestin terkorban, 30 cedera dan 11 ambulans musnah, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Jawatankuasa Antarabangsa Persatuan Palang Merah minggu ini mengecam Israel secara terbuka dan menyatakan mereka menyebabkan kelewatan "yang tidak boleh diterima" bagi membolehkan anggota penyelamat sampai memberi bantuan kepada mangsa tercedera. Kakitangan di Gaza juga berkata askar Israel kadangkala turut menembak krew ambulans. - AP

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Sunday, January 11, 2009

Berita seterusnya - 'PBB terus misi agih bantuan di Gaza'

بسم الله الرحمن الرحيم

SEORANG wartawan Palestin lari menyelamatkan diri selepas tentera udara Israel melancarkan serangan ke sebuah rumah di Gaza, kelmarin.

Rejim Zionis memberi jaminan keselamatan

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan meneruskan pengagihan bantuan bagi penduduk Palestin di Semenanjung Gaza selepas menerima jaminan keselamatan daripada Israel, kata badan dunia itu dalam kenyataan lewat kelmarin.

Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB (UNRWA) dan Penyelaras Khas PBB bagi Proses Damai Asia Barat (UNSCO) berkata dalam kenyataan bersama bahawa PBB menerima 'jaminan boleh dipercayai bahawa keselamatan kakitangan PBB, kemasukan dan operasi kemanusiaan akan dihormati sepenuhnya.'

"Berdasarkan jaminan itu, pergerakan kakitangan PBB yang tergendala kelmarin akan diteruskan secepat mungkin," kata dua organisasi terbabit.

UNRWA menangguhkan operasi di jajahan itu Khamis lalu selepas sebuah konvoinya diserang dua kereta kebal Israel yang mengorbankan seorang pemandu kontrak PBB dan mencederakan seorang lagi.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) juga mengehadkan operasi di Gaza selepas satu daripada kenderaannya terkena sasaran, jelas oleh tembakan Israel.


KANAK-KANAK Palestin mengisi bekas dengan air di daerah Zeitun di bandar Gaza semalam. PBB mengambil keputusan untuk meneruskan pengagihan bantuan kepada rakyat Palestin yang bertahan di Semenanjung Gaza selepas menerima jaminan keselamatan dari Israel.

Jaminan itu diberi kelmarin dalam mesyuarat peringkat tinggi di Kementerian Pertahanan di Tel Aviv di mana Israel 'amat menyesal' dengan insiden itu dan berkata ia tidak menggambarkan dasar rasmi kerajaan, kata pegawai PBB.

Kenyataan berkata PBB akan 'mengekalkan tahap keselamatan kakitangannya mengikut kajian berterusan.'

Bercakap menerusi rangkaian video dari Gaza, Pengarah Operasi UNRWA John Ging berkata pekerja bantuan PBB amat lega. Beliau menambah beratus ribu penduduk Gaza amat memerlukan makanan, air dan keperluan lain berikutan serangan zalim selama dua minggu oleh Israel di jajahan Palestin.

Lapan peratus daripada 1.5 juta penduduk Gaza amat memerlukan bantuan, kata pegawai PBB.

Mereka menggambarkan situasi kesihatan sebagai 'amat membimbangkan', sambil menambah kakitangan hospital sukar pergi ke tempat kerja.

Kebanyakan bahagian di Gaza tanpa bekalan elektrik, sisa pepejal sedia ada semakin bertimbun dan lebih 21,000 penduduk kini berlindung di sekolah PBB di tengah kekurangan selimut dan keperluan lain, kata pihak berkuasa.

Penolong Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Kemanusiaan John Holmes memberitahu satu taklimat situasi di Gaza adalah 'hampir sama atau semakin buruk.'

Holmes menambah keadaan di Gaza tidak selamat bagi semua rakyat dan menekankan kematian orang awam berjumlah 792 dan 3,200 yang cedera, menurut angka Palestin yang dianggap boleh dipercayai oleh PBB. - AFP

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Berita seterusnya - 'Tiada tanda reda di Gaza'

بسم الله الرحمن الرحيم

KEPULAN asap menyelubungi sekitar Gaza selepas tentera Yahudi melancarkan bom, semalam.


BANDARAYA GAZA: Pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza masuk minggu ketiga, ketika pusingan baru usaha diplomasi diteruskan bagi mengakhiri perang yang sudah mengorbankan lebih 800 nyawa setakat ini.

Pada pertempuran semalam, bedilan kereta kebal tentera Israel jatuh di pekarangan sebuah rumah di Jebaliya, utara Gaza, membunuh sembilan orang ketika mereka duduk di luar rumah. Dalam satu kejadian berasingan seorang wanita Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar selatan, Rafah.

Sementara itu, Mesir yang disokong Amerika Syarikat, mengetuai usaha mengakhiri pertempuran yang mencetuskan bantahan umat Islam di seluruh dunia, manakala Presidennya, Hosni Mubarak, mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, semalam.

Delegasi Hamas termasuk pegawai kanan dari Gaza yang turut sama untuk kali pertama, selain barisan pemimpin dalam buangan berpangkalan di Damsyik, dijadual mengadakan perbincangan dengan Ketua Perisikan Mesir, Omar Suleiman.

Abbas menggesa Hamas menerima pelan Mesir 'tanpa ragu' dan selepas berbincang dengan Mubarak berkata, bahawa 'keadaan yang berlaku tidak membolehkan kita membuang masa'.

"Sesiapa yang tidak menerima pelan berkenaan akan bertanggungjawab terhadap keganasan dan pertumpahan darah yang berterusan," katanya.


DUA pemuda Palestin membawa rakan mereka yang cedera dengan motosikal ke hospital Kamal Adwan di Beit, Lahiya.

Pelan Mubarak yang dikemukakan Selasa lalu, menggesa gencatan senjata bagi tempoh tertentu, pembukaan semula lintasan sempadan Gaza, menghalang penyeludupan senjata dan meminta penduduk Palestin memulakan kembali rundingan damai.

Pertempuran di Gaza tidak menunjukkan tanda akan reda, apabila Israel melancarkan lebih 40 serangan ke wilayah itu sepanjang malam kelmarin hingga semalam dengan mensasarkan terowong, kawasan pengeluaran dan gudang senjata.

Tentera berkata, angkatan darat Israel yang memasuki Gaza seminggu lalu, berbalas tembak dengan pejuang Palestin di seluruh wilayah itu.

Pejuang Hamas melancarkan sekurang-kurangnya tujuh roket ke Israel dan mencederakan dua penduduknya.


WARGA emas yang cedera menahan kesakitan ketika menerima rawatan di hospital Kamal Adwan, semalam.

Sementara itu, ketua negara Arab akan mengadakan sidang kemuncak khas mengenai krisis di Semenanjung Gaza, bersama sidang kemuncak ekonomi di Bandaraya Kuwait pada 19 dan 20 Januari, lapor media tempatan semalam.

Akhbar An-Nahar melaporkan 22 negara anggota Liga Arab menerima tawaran Kuwait untuk mengadakan perbincangan, berikutan kemarahan semakin meningkat di kalangan rakyat Arab berikutan kegagalan kerajaan Asia Barat melakukan sesuatu yang lebih berkesan bagi menghalang kekejaman Israel yang kini memasuki minggu ketiga. - AFP

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Berita seterusnya - 'Israel tingkat serangan'

بسم الله الرحمن الرحيم

LELAKI Palestin membawa seorang kanak-kanak yang cedera akibat serangan Israel ke hospital Beit Lahiya, di utara Gaza, semalam.

Pertempuran askar Yahudi, Hamas masuk minggu ketiga

BANDARAYA GAZA: Israel semalam berikrar meningkatkan tindakan ketenteraannya di Gaza selepas ia melancarkan lebih banyak serangan udara, ketika pertempuran masuk minggu ketiga dan disebalik gesaan agar gencatan senjata diadakan.

Ketika angka kematian meningkat kepada 825 orang, pesawat Israel menggugurkan risalah di seluruh bandaraya Gaza memberi amaran kepada penduduk bahawa ia akan meningkatkan serangan ke atas Hamas dan kumpulan pejuang lain.

Pada pertempuran semalam, bedilan kereta kebal tentera Israel jatuh di pekarangan sebuah rumah di Jebaliya, utara Gaza, membunuh sembilan orang ketika mereka duduk di luar rumah. Dalam satu kejadian berasingan seorang wanita Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar selatan, Rafah.

Sementara itu, Mesir yang disokong Amerika Syarikat, mengetuai usaha mengakhiri pertempuran yang mencetuskan bantahan umat Islam di seluruh dunia, manakala Presidennya, Hosni Mubarak, mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, semalam.

Delegasi Hamas termasuk pegawai kanan dari Gaza yang turut sama untuk kali pertama, selain barisan pemimpin dalam buangan berpangkalan di Damsyik, dijadual mengadakan perbincangan dengan Ketua Perisikan Mesir, Omar Suleiman.


SEORANG kanak-kanak Palestin yang cedera dikejarkan ke Hospital al-Shifa, di Gaza.

Abbas menggesa Hamas menerima pelan Mesir ‘tanpa ragu’ dan selepas berbincang dengan Mubarak berkata, bahawa ‘keadaan yang berlaku tidak membolehkan kita membuang masa’.

“Sesiapa yang tidak menerima pelan itu akan bertanggungjawab terhadap keganasan dan pertumpahan darah yang berterusan,” katanya.

Pelan Mubarak yang dikemukakan Selasa lalu, menggesa gencatan senjata bagi tempoh tertentu, pembukaan semula lintasan sempadan Gaza, menghalang penyeludupan senjata dan meminta penduduk Palestin memulakan kembali rundingan damai.

Pertempuran di Gaza tidak menunjukkan tanda akan reda, apabila Israel melancarkan lebih 40 serangan ke wilayah itu sepanjang malam kelmarin hingga semalam dengan mensasarkan terowong, kawasan pengeluaran dan gudang senjata.

Tentera berkata, angkatan darat Israel yang memasuki Gaza seminggu lalu, berbalas tembak dengan pejuang Palestin di seluruh wilayah itu.

Pejuang Hamas melancarkan sekurang-kurangnya tujuh roket ke Israel dan mencederakan dua penduduknya.

Sementara itu, ketua negara Arab akan mengadakan sidang kemuncak khas mengenai krisis di Semenanjung Gaza, bersama sidang kemuncak ekonomi di Bandaraya Kuwait pada 19 dan 20 Januari, lapor media tempatan semalam.

Akhbar An-Nahar melaporkan 22 negara anggota Liga Arab menerima tawaran Kuwait untuk mengadakan perbincangan, berikutan kemarahan semakin meningkat di kalangan rakyat Arab berikutan kegagalan kerajaan Asia Barat menghalang kekejaman Israel. - AFP


Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Berita - 14 Muharam 1430. 'Jenayah perang Israel'

بسم الله الرحمن الرحيم

RAKYAT Palestin memenuhi pusat bantuan PBB di kem pelarian Shati untuk mengambil makanan di Gaza, semalam.

PBB dakwa Tel Aviv langgar peraturan

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu Israel disiasat atas tuduhan jenayah perang berhubung pengeboman sebuah rumah yang sesak dengan orang awam Palestin yang berlindung daripada bedilan tentera rejim Zionis berkenaan.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Kemanusiaan, Navi Pillay, berkata pengeboman itu mempunyai unsur jenayah perang.

Kenyataan berkenaan menyusuli dakwaan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bahawa Tel Aviv melanggar peraturan perang apabila gagal membantu mereka yang cedera dalam insiden yang sama.

Insiden terbabit berlaku Isnin lalu di Zeitoun, Bandaraya Gaza di mana tentera Israel yang memasuki daerah berkenaan mengetuk pintu rumah puak Samouni dan mengarahkan mereka keluar dan memasuki sebuah bangunan lain.

Kira-kira 24 jam selepas arahan itu diberi bangunan yang sesak dengan ahli puak Samouni itu dibedil oleh tentera Israel, membunuh 30 orang.

Menurut ICRC, selepas pengeboman itu tentera Israel yang berada 90 meter dari bangunan yang dibedil itu langsung tidak membantu mereka yang cedera, termasuk kanak-kanak kecil.

"Ada empat orang kanak-kanak kecil yang terlalu letih untuk berdiri selepas dibiarkan selama 48 jam cuba mengangkat ibu mereka yang sudah mati.

"Mengikut peraturan perang, askar mempunyai tanggung jawab melayan dengan sempurna mereka yang cedera dalam pertempuran," kata ICRC.

Pillay pula memberitahu mesyuarat kecemasan Majlis Hak Kemanusiaan PBB di sini, kecederaan yang dialami penduduk awam Israel disebabkan bedilan roket Hamas memang tidak dapat diterima tetapi ia tidak menjadi alasan kepada sebarang kekejaman yang dilakukan tentera Israel dalam tindak balasnya.

Memberi reaksi kepada insiden Zeitoun itu, Pillay dalam temubual dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berkata kejadian di Bandaraya Gaza itu 'mempunyai semua elemen jenayah perang.'

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, Khamis lalu menyifatkan resolusi Majlis Keselamatan yang mendesak gencatan senjata 'segera' sebagai 'tidak dapat dijalankan.'

Dalam perkembangan berkaitan, sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat, berkata ia bimbang mengenai krisis kemanusiaan di Gaza tetapi meletakkan kesalahan itu di bahu Hamas.

"Ia memang krisis kemanusiaan. Ia zon perang dan keadaan amat sukar. Kami bimbang dengan keadaan yang membabitkan kematian orang tidak berdosa. Namun sekali lagi, keadaan ini disebabkan Hamas," kata jurucakap Rumah Putih, Scott Stanzel.

Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice, turut mempertahankan kezaliman Israel dan berkata 'sukar' bagi tentera Yahudi itu melindungi penduduk awam di Semenanjung Gaza kerana ia amat padat dan Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Jemilah Mahmood yang baru tiba dari Rafah, semalam berkata, tiga daripada 10 mangsa adalah kanak-kanak dan hanya kira-kira 200 pesakit dibenarkan menyeberangi sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, yang 10 peratus daripada mereka cedera parah.

Beliau berharap siasatan bebas dilakukan terhadap pengeboman dua buah sekolah di kem pelarian Jabaliya dan sekolah rendah Asma di Gaza.

"Seramai 21 pegawai perubatan turut terbunuh di Gaza dan 11 ambulans musnah sama sekali akibat serangan yang berlaku," katanya yang berada di Rafah selama 10 hari.

Beliau berkata, Mercy sudah menghantar 45 tan bantuan perubatan bernilai AS$100,000 ke Gaza menggunakan lima trak minggu lalu.

"Minggu depan, AS$100,000 lagi bantuan perubatan akan dihantar ke Gaza bersama empat ambulans lengkap alatan rawatan intensif. Selain itu, Mercy juga sudah menempah Bank Darah bergerak kerana kami tahu mereka benar-benar kekurangan stok darah," katanya.

Mercy menerima sumbangan berjumlah RM5.2 juta dan RM339,000 diterima daripada sumbangan orang ramai. Terbaru Petronas menyalurkan sumbangan bernilai AS$300,000 kepada rakyat Palestin menerusi Mercy.


Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Saturday, January 10, 2009

Blog kaedah terbaik realisasi misi dakwah dalam masyarakat

بسم الله الرحمن الرحيم

SUATU masa dulu media elektronik seperti televisyen dan radio adalah antara medium utama serta efektif untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Hari ini, inovasi internet juga dilihat mampu mengambil tempat serta menjadi saluran terbaik yang cukup berpengaruh melaksanakan misi dakwah.

Aliran hari ini melihat blog semakin popular dan menjadi gaya hidup masyarakat moden yang mesra teknologi maklumat (IT). Hal ini membuka dimensi baru kepada dunia penulisan digital atau maya dan sudah tentu memberi peluang luas kepada proses transformasi dakwah Islam.

Pemikir dan pelopor gerakan dakwah terkenal seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, al-Maududi dan lain-lain dalam banyak tulisan serta ucapan mereka konsisten menyatakan medan dakwah terlalu luas untuk direntasi dan diceburi.

Pendakwah perlu bijak, kritis dan kreatif melaksanakan tanggungjawab serta amanah itu. Dalam keadaan dan realiti hari ini, mungkin aplikasi blog wajar dijadikan kaedah terbaik merealisasikan misi dakwah dalam masyarakat.

Secara umumnya, laman blog seperti mana diketahui ialah catatan seharian yang ditulis dalam laman web tertentu secara talian yang disediakan secara percuma dan amat mudah memiliki serta mereka bentuknya mengikut cita rasa masing-masing.

Aplikasi blog hari ini berperanan sebagai interaksi yang membolehkan himpunan makalah ilmu, pemikiran, perkongsian dan maklum balas dilakukan pada alam maya tanpa ada hubungan secara langsung.

Menurut Ibnu Ahmad al-Kurauwi dalam tulisan beliau, Berdakwah Melalui Blog, pengaruh blog dalam masyarakat negara ini semakin mendapat perhatian dan ulama dalam perkara ini berijtihad bahawa aplikasi blog adalah inovasi teknologi yang diharuskan menurut perspektif Islam.

Ia kerana Islam tidak pernah menghalang teknologi seperti itu asalkan tidak bertentangan dengan syariat dan besar pula manfaatnya kepada masyarakat Islam itu sendiri.

Keadaan dunia dan realiti kehidupan yang serba mencabar serta kepelbagaian kerenah sosiobudaya masyarakat hari ini, memerlukan metodologi dakwah massa serta semasa harus dipelbagaikan kaedah penyampaiannya.

Dakwah bukan saja melalui kuliah atau ceramah kerana menggunakan aplikasi blog segala kuliah dan ceramah boleh dirakam serta dimuat turun oleh pendengar, ilmu dan pemikiran boleh dimanfaatkan orang ramai tanpa had, tempat, setiap masa dan ketika.

Kemajuan dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini secara langsung membuka ruang kepada ulama dan pemikir besar Islam seperti Dr Yusof al-Qaradhawi, Dr Wahbah al-Zuhayli, Dr Muhammad Said Ramadan al-Buty dan lain-lain turut berdakwah melalui alam dakwah siber ini.

Tokoh ini walaupun berada di dunia berbeza mampu memberi pandangan, kritikan, fatwa dan sebagainya terhadap sebarang permasalahan agama disebabkan kecanggihan dunia siber ini.

Oleh itu, dunia Islam di seluruh dunia harus mengambil sempatan daripada kemudahan ruang maya dilihat mampu membina jaringan dakwah yang kuat, fleksibel dan sistematik. Pelayar internet atau sasaran dakwah pula tidak mengira bangsa dan agama boleh mengikuti kemudahan ini kerana internet boleh diakses dari seluruh dunia.

Berdakwah melalui laman blog misalnya lebih mudah dan pantas kerana pengguna boleh mengakses internet tanpa mengira masa atau tempat. Ia juga peluang terbaik untuk menjadikan blog rujukan ilmiah berkenaan Islam dan induk kefahaman Islam sebenar kepada seluruh masyarakat dunia.

Ciri interaktif yang menawarkan aplikasi video, gambar, suara dan bunyi lebih menepati kehendak serta minat pengunjung laman blog terutama generasi muda. Di sini kita dapat memaparkan keindahan dan kedamaian Islam serta menunjukkan kepada masyarakat luar bahawa Islam tidak jumud atau ketinggalan zaman.

Web portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) misalnya menyediakan pelbagai kemudahan seperti rujukan tafsir al-Quran daripada Pimpinan ar-Rahman, himpunan hadis daripada Mastika Hadis, e-Fatwa, e-Hadis, kemusykilan agama, Iqra', Portal Halal, aduan awam, khutbah online dan banyak lagi yang mampu menarik perhatian ramai untuk mendalami serta mengenali Islam secara lebih dekat.

Melalui laman blog juga kita mampu menangkis segala serangan minda serta propaganda musuh Islam seperti gerakan intelektual Barat dan orientalis yang sentiasa mencari jalan mengelirukan umat Islam.

Jika sebelum ini musuh Islam menggunakan blog untuk mencemar nama baik Islam, menghina Nabi Muhammad SAW dan sebagainya, maka umat Islam perlu memiliki laman blog masing-masing untuk menjawab segala tuduhan atau tohmahan itu.

Di samping itu, salah faham terhadap ajaran Islam dapat diperbetulkan serta menjadikan blog sebagai medan diskusi dan dialog antara bukan Islam atau sesiapa saja yang berminat dengan agama suci ini.

Oleh itu, adalah menjadi kemestian kepada ahli dan pentadbir agama seperti mufti, pendidik, ulama dan setiap umat Islam umpamanya mempunyai blog sebagai medan dakwah digital di negara serta seluruh dunia.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Berita seterusnya - 'PBB henti agih makanan di Gaza'

بسم الله الرحمن الرحيم

PENDUDUK Palestin membawa guni tepung yang didapati dari pusat pengedaran makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Israel halang, tembak pekerja bantuan jadi punca

BAITULMAQDIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah menghentikan penghantaran makanan selepas Israel bertindak menghalang bantuan perubatan dihantar kepada penduduk Gaza selepas askarnya menembak pekerja bantuan badan dunia itu.

Dalam keadaan keganasan masih berlarutan di Gaza, negara Arab utama dan kuasa Barat mencapai kata sepakat kelmarin mengenai elemen tertentu dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar kedua-dua pihak mengadakan gencatan senjata segera dan bertahan lebih lama.

Israel dan Hamas bagaimanapun tidak terbabit dalam perjanjian itu dan masing-masing menolaknya, sekali gus bermakna pertempuran bakal berlarutan.

Pertempuran itu menyebabkan beratus-ratus ribu rakyat Palestin di Gaza semakin memerlukan makanan, air, minyak dan bantuan perubatan, dan keadaan dijangka menjadi lebih teruk apabila pekerja sukarela juga turut menjadi mangsa dalam pertempuran.

Daripada 1.5 juta penduduk Gaza, 70 peratus daripada mereka menyokong untuk menggunakan mata wang 'Howey.'


SEORANG pelajar Lubnan membawa sepanduk meminta masyarakat antarabangsa membantu Palestin di Gaza.

Menurut Simon Horner dari jabatan bantuan Suruhanjaya Eropah, kira-kira 60 peratus penduduk Gaza yang seramai 1.4 juta orang tidak mempunyai bekalan elektrik dan semakin kurang orang mendapat bekalan air bersih setiap hari. Sistem pembetungan juga berada dalam keadaan diancam kegagalan, yang boleh membawa kepada kejadian penyakit, sementara perkhidmatan perubatan juga sudah berada dalam keadaan tekanan teruk.

"Ketidakupayaan PBB untuk menawarkan bantuan dalam krisis kemanusiaan ini tidak dapat diterima," kata jurucakap PBB, Michele Montas.

Di GENEVA, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata, ia akan mengurangkan operasi
bantuannya sekurang-kurangnya sehari selepas salah satu konvoinya ditembak Israel di laluan Netzarim.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, 21 pekerja perubatan Palestin terkorban dan lebih 30 lagi cedera sejak Israel melancarkan serangan.

Tentera Israel tidak memberi ulasan segera mengenai kejadian askarnya menembak kenderaan bantuan PBB.

Jurucakap PBB, Adnan Abu Hasna, berkata trak itu menuju ke lintasan Erez untuk membawa balik bekalan baru dengan Israel.

"Kami sepatutnya menyelaraskan mereka dengan lebih baik, tetapi petugas kami terus dibunuh," kata Chris Gunness daripada agensi PBB, UNRWA. - AP


Sumber


Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com