Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Sunday, February 8, 2009

Peringatan Rasulullah kepada wanita elak jadi penghuni neraka

بسم الله الرحمن الرحيم

DARIPADA Abdullah Umar katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanita lebih ramai menjadi penghuni neraka”.

Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?

Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu”.

Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?”

Rasulullah SAW bersabda: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada Ramadan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.” (Hadis riwayat Muslim)

Wanita daripada asal kejadian (fitrah) memang diciptakan berbeza dengan lelaki, adanya kelainan atau perbezaan itu tentu ada maksud serta tujuan tertentu.

Lemahnya agama bagi wanita tidak harus dijadikan alasan untuk memadamkan semangat dalam beribadah kerana pada saat seseorang perempuan haid atau nifas, mereka tidak dapat menjalankan solat dan puasa, mereka sebenarnya masih mampu menjalankan amal ibadah lain berpahala serta dapat mendekatkan diri pada Allah.

Kecuali sebaliknya iaitu jika mereka membabitkan diri dalam perbuatan mendatangkan dosa dan sesuatu yang dapat melalaikan bahkan menjauhkan diri daripada Allah.

Perempuan dikatakan kurang (lemah) akal kerana fikiran mereka mudah terpengaruh, tertipu, terpedaya kerana mereka dikurniakan dengan banyak nafsu dan lazimnya mereka tidak berfikir lebih panjang serta bersifat emosional.

Oleh itu, dalam hal pengadilan, Islam lebih mengutamakan lelaki tetapi dalam hal lain, Islam tidak menolak hakikat ketajaman pemikiran wanita yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. Hanya sesungguhnya yang membezakan antara makhluk Allah tidak lain hanya nilai ketakwaan mereka.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Saturday, February 7, 2009

Doa, sabar perisai kemanisan hadapi kesukaran

بسم الله الرحمن الرحيم

Al-Quran terkandung pelbagai hikmah supaya manusia mudah terima hidayah

TAUFIK dan hidayah adalah anugerah Allah ke atas hamba-Nya. Muslim wajib meyakini pintu hidayah sentiasa terbuka di sisi Allah untuk sekalian makhluk-Nya. Hidayah Allah apabila 'mengetuk pintu hati' seseorang, nescaya pasti menjadi lembut dan senang menerima nasihat, teguran serta bimbingan atas dasar agama.

Kisah Saidina Umar yang terkenal dengan sifat bengis sebelum memeluk Islam, bertukar watak sebagai pembela Islam yang agung selepas mendengar bacaan ayat suci al-Quran. Itulah anugerah besar yang tidak dapat dihitung nilainya selepas mendapat hidayah daripada Allah.

Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW untuk panduan seluruh umatnya supaya mereka lembut hati tatkala membacanya, mendengar dan memahaminya. Semua itu terkandung hikmah supaya manusia mudah mendapat hidayah Allah.

Firman Allah bermaksud: "Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (mengenai benarnya dan indahnya) yang berulang (keterangannya dengan pelbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

"Kitab suci itu hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya." (Surah az-Zumar, ayat 23)

Imam al-Mawardy dalam tafsirnya menyatakan orang mendengar bacaan al-Quran atau membacanya, tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah dalam tiga keadaan:

l Apabila mereka membacanya atau mendengarkan bacaan ayat suci al-Quran serta memahami maksud ayat itu yang memberi gambaran janji neraka bagi mereka yang ingkar pada perintah Allah dan khabar gembira dengan janji syurga bagi mereka yang patuh pada perintah-Nya (Imam As-Suddy)

l Terpahat dalam hati perasaan khauf (takut) dan raja' (pengharapan) yang tinggi kepada Allah.

l Tersemat dalam lubuk hati mereka keagungan al-Quran dan lembut hati mereka ketika membacanya.

Hari ini, umat Islam dipaparkan dengan kezaliman yang berlaku terhadap saudara mereka. Penindasan dan keganasan boleh diungkapkan dengan pepatah, 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Doa umat Islam di seluruh dunia dengan iringan tangisan adalah pengorbanan kecil berbanding kesusahan yang dihadapi umat Islam di Palestin. Menangis adalah cara yang boleh melembutkan jiwa dan hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu masuk (melihat) suatu kaum yang ditimpa azab, melainkan engkau menangis (melihat keadaan mereka), apabila engkau tidak mampu menangis, maka hendaklah engkau berpura-pura menangis sebagai kebimbangan (pengajaran) di atas kamu nanti akan ditimpakan musibah (azab yang sama) yang menimpa mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Runtunan emosi perlu diiringi doa supaya Allah sentiasa mencampakkan kemanisan iman dan kesabaran yang terus segar dan harum menghadapi bencana dicipta musuh. Nabi SAW mengajar umatnya meletakkan kesabaran menghadapi kesulitan dan kepayahan angkara musuh.

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam apabila mendapat bala dan seksaan daripada orang lain supaya berdoa. Sabda Baginda yang bermaksud: "Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Mas'ud katanya, aku masih terbayang Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang nabi daripada nabi sebelum Rasulullah yang diseksa (dipukul) oleh kaumnya sehingga berlumuran darah. Dia mengesat darah di mukanya sambil membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam juga diberi peringatan oleh Rasulullah SAW bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan seharian. Allah akan menghapuskan dosa seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Daripada Abu Said dan Abu Hurairah katanya: Tiada seorang Muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenai dirinya melainkan dihapuskan oleh Allah daripada kesalahannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Friday, February 6, 2009

Manusia perlu menghayati hikmah fenomena alam

بسم الله الرحمن الرحيم

SEKALI lagi, baru-baru ini kita diperlihatkan dengan kuasa Allah yang Maha Agung iaitu kejadian gerhana matahari. Matahari yang bercahaya di siang hari penuh purnama secara tiba-tiba hilang cahayanya sedikit demi sedikit sehinggalah tiada lagi cahaya kelihatan.

Begitulah kehebatan kekuasaan Allah yang mampu mengubah segala-galanya di langit dan bumi pada bila-bila masa dan tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat qada dan qadar-Nya.

Allah berfirman dalam al-Quran menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir-Nya. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari, tidak juga bulan dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah al-Fussilat, ayat 37)

Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmah tertentu antaranya memberi peringatan supaya hamba-Nya tidak melampaui batas.

Menurut catatan sejarah, gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiul Awal tahun ke-8 hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari.

Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: "Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang daripada kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu." (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)

Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: Bagaimanakah pandanganmu jika Allah menjadikan malam kepadamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; siapakah selain Allah yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar?

Katakanlah: Apakah pendapatmu jika Allah menjadikan siang kepadamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; siapakah tuhan selain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat? Dan di antara rahmat-Nya, Ia menjadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Qasas, ayat 71-73)

Mudah-mudahan dengan ada rahmat Allah itu, maka dapatlah manusia berterima kasih kerana sudah banyak menerima budi yang patut dibalas. Allah tidak sekali-kali mengharapkan pembalasan tetapi sebagai tanda syukur dan berterima kasih hendaklah manusia memuji Allah setulus dan seikhlas hati tanpa menyengutukan-Nya.

Ahli falak Islam yang masyhur, Imam al-Khawarizmi berpendapat setiap dua jisim yang berdekatan mewujudkan kesan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah tarikan itu. Oleh kerana sewaktu berlakunya gerhana matahari, matahari berada hampir dengan bumi, pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan angin yang memberi kesan kepada cuaca dan musim.

Hal ini juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini.

Imam an-Nasaie meriwayatkan, ummul mukminin Saidatina Aishah berkata: "Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang.

Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: Wahai umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis."

Justeru, tinggalkanlah maksiat jika kita sudah terlanjur dan jauhi maksiat sebelum terjebak. Ahmad dan Salamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila berleluasa maksiat di kalangan umatku, nescaya Allah limpahkan azab di sisinya. Aku bertanya: Ya Rasulullah, jika di kalangan mereka itu ada orang soleh? Rasulullah SAW menjawab: Benar! Ummu Salamah bertanya: Kenapa orang yang soleh juga ditimpakan azab? Rasulullah SAW menjawab: Mereka ditimpakan azab bersama manusia yang lain kemudian mendapat keampunan Allah dan mendapat keredaan-Nya."

Hayatilah hikmah di sebalik setiap peristiwa, kejadian dan fenomena alam sama ada bala atau ujian daripada Allah serta teguhkan iman dengan nasihat:

Merfikir dan bertafakur setiap kejadian fenomena alam;

Memperingati nikmat syurga dan azab neraka;

Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Allah;

Menghitung, mempertingkatkan dan memperkemaskan amal kebajikan sepanjang masa; dan

Bersegera memohon taubat kepada Allah atas kealpaan dan keingkaran mentaati perintah-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada tujuan yang benar; Ia menjadikan malam melingkari siang, dan menjadikan siang melingkari malam; dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintah-Nya, setiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni." (Surah az-Zumar, ayat 5)

Khutbah online Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Thursday, February 5, 2009

Kebenaran maklumat sains cungkil rahsia al-Quran

بسم الله الرحمن الرحيم

ADA rasul dan nabi dikurniakan mukjizat iaitu pemberian Allah untuk melakukan perkara luar biasa yang tidak mengikut kaedah sebab musabab. Mukjizat adalah antara bukti kenabian.

Mukjizat terbahagi dua iaitu hissi dan aqli. Mukjizat hissi dalam bentuk yang boleh dikesan pancaindera (dilihat, didengar atau disentuh) dan bertindak secara fizikal seperti tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular atau Nabi Musa menyembuhkan orang buta sejak lahir. Mukjizat aqli hanya mampu difahami manusia dengan akal sihat, bebas daripada emosi dan prasangka serta dengan mata hati yang masih boleh menerima hidayah. Satu-satunya mukjizat aqli ialah al-Quran.

Keagungan dan kebenaran kandungan al-Quran tidak dapat disangkal sesiapa. Hal ini membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kandungan al-Quran tidak mampu dicipta sesiapa selain Allah Maha Pencipta.

Firman Allah bermaksud: "Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran? Kalau sekiranya al-Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka mendapat percanggahan yang banyak di dalamnya." (Surah an-Nisa, ayat 82)

Menurut doktor perubatan Perancis, Maurice Bucaille (1978) dalam bukunya The Bible The Quran and Science, "Sementara ada kesalahan amat ketara dalam Bible, saya tidak mendapati satu kesalahan pun dalam al-Quran."

Bible yang menjadi kitab orang Kristian asalnya diturunkan Allah yang dinamakan Injil. Bagaimanapun, Bible sekarang banyak diubah pendeta Kristian mengikut kemahuan mereka. Tindakan pendeta itu tidak ubah seperti tikus membaiki labu. Semakin banyak diubah, lagi jelas kesalahannya.

Sebagai umat Islam, cukup kita mempercayai Allah pernah menurunkan Injil kepada Nabi Isa tetapi tidak perlu berpegang kepada Bible yang diubah sekarang. Tambahan pula, Injil sudah 'dihapuskan' sebaik turun al-Quran yang lengkap kandungannya dan tidak perlu lagi kitab lain sebagai tambahan.

Perlu diingatkan, ada pihak yang sengaja memesongkan akidah umat Islam dengan menyebut kita wajib mempercayai kandungan Bible sekarang dengan alasan setiap umat Islam wajib percayakan kitab Allah sebagai Rukun Iman yang wajib diyakini.

Biarpun al-Quran sudah diturunkan kira-kira 1,400 tahun lalu, manusia masih belum mampu membongkar semua kandungannya. Semakin banyak dikaji, semakin banyak manusia berasakan tidak mengetahui mengenainya.

Banyak maklumat sains dalam al-Quran dibongkar dan diakui kebenarannya oleh pakar termasuk bukan Islam. Mereka mengakui kandungan dalam al-Quran bukan direka Nabi Muhammad SAW. Tidak mungkin maklumat setepat al-Quran dapat dicipta atau dikarang manusia.

Perkara yang dijelaskan dalam al-Quran mengenai sains wajar dijadikan pemangkin supaya umat Islam mencari lebih banyak pengetahuan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan manusia. Sesungguhnya Islam amat mementingkan ilmu pengetahuan termasuk berkaitan sains.

Sebenarnya dalam Islam, segala ilmu penting untuk kebaikan. Manusia lebih mengenali Maha Pencipta apabila mengetahui lebih banyak mengenai ciptaan-Nya. Encyclopedia Britannica edisi kesembilan mencatatkan Islam tidak pernah memisahkan antara ilmu sains dengan ketuhanan.

Islam menyuruh umatnya memanfaatkan seluruh kejadian alam dan ini hanya dapat dilakukan jika dilakukan dengan ilmu. Jika Islam menolak sains, pasti hal berkaitan sains tidak dimasukkan dalam al-Quran.

Sebenarnya tidak ada agama selain Islam yang turut mencatatkan kejadian alam semesta, malah ada kira-kira 750 rujukan berkaitan ilmu dalam kandungannya.

Ayat berkaitan kosmologi (mengkaji asal-usul, proses, dan struktur alam semesta) menyebut mengenai langit dan bumi sebanyak 29 ayat; planet, bintang dan orbit (15), musim (25), penerbangan angkasa lepas (lima), tahi bintang (empat), kehidupan di angkasa lepas (59) dan angkasa lepas (lapan).

Selain sebagai ilmu, kandungan al-Quran berkaitan sains mengajak manusia memperteguhkan tauhid mengesakan Allah. Banyak ayat al-Quran mengajak manusia berfikir serta mengkaji dan memahami tabii alam.

Firman Allah bermaksud: "Maka apakah kamu tidak menggunakan akal?" (Surah al-Anam, ayat 32)

Mengagumi kandungan al-Quran menjadi inspirasi kepada sarjana Islam dulu yang berjaya menemukan banyak ilmu sains yang menjadi asas kepada ilmu sains dan teknologi sekarang.

Mereka berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan Islam sebagai agama yang syumul. Nama seperti al-Biruni, Nazir, al-Dinb, Ibnu Sina, Muhammad Ibnu Musa al-Khuwarizmi, Ibnu Yunus dan Habsah al-Hasib mencungkil dan mengemukakan teori sains mereka berdasarkan pengetahuan asas yang diperoleh daripada al-Quran.

Penguasa atau pemerintah umat Islam pada era kebangkitan Islam dulu memberi kedudukan tinggi kepada ahli sains. Pakar sains dalam sesuatu bidang ditugas melakukan kajian untuk manfaat umum.

Contohnya, kumpulan ahli astronomi diketuai Muasa ibn Shaki diarahkan Khalifah al-Mamum mengukur lilitan bumi. Mereka dapat mengira lilitan bumi di Khatulistiwa sepanjang 40,253.4 kilometer. Anggaran dibuat pada hari ini ialah 40,068 kilometer. Perbezaannya ialah 185.4 kilometer atau 0.46 peratus.

Perintah itu berdasarkan hakikat bahawa bumi itu bulat, maka ia ada ukur lilitnya. Maklumat mengenai bumi bulat banyak dijelaskan dalam al-Quran, biarpun tidak secara khusus.

Banyak ayat al-Quran menjelaskan mengenai bumi dan setiap satu mempunyai kaitan yang jika dikaji secara menyeluruh menemukan maklumat lebih tepat mengenai bumi serta cakerawala lain.

Perkara itu dilakukan ilmuwan Islam dulu. Mereka mengumpul setiap maklumat termasuk yang ditemui atau diperkatakan ahli sebelumnya dan dipadankan pula dengan apa yang dijelaskan dalam al-Quran. Hasilnya, mereka mendapat satu keputusan lebih tepat dan menjadi rujukan ahli dalam bidang berkenaan sehingga ke hari ini.

Tidak dapat disangkal bahawa asas ilmu atau penemuan dilakukan ilmuwan Islam menjadi pencetus kepada kajian seterusnya oleh ilmuwan Barat. Semua kajian itu bermula daripada apa yang dijelaskan dalam al-Quran.

Christopher Columbus (1451 - 1506 Masihi) mengakui naluri atau dorongan kuat untuk belayar ke arah barat dari Eropah sehingga menemui benua Amerika berdasarkan rujukan tulisan ilmiah kitab geografi Ibn Rushd.

Justeru, umat kini perlu bangkit untuk meneruskan apa yang pernah dicapai tokoh ilmu sains Islam dulu. Masih terlalu banyak kandungan dalam al-Quran memerlukan penelitian untuk dimanfaatkan.

Sekarang kandungan al-Quran semakin banyak dikaji pakar sains bukan Islam. Mereka mendapati apa terkandung dalam al-Quran adalah benar. Ada antara mereka yang menganut Islam selepas mengkaji kandungan al-Quran. Sedangkan sebahagian yang lain hanya menjadikan al-Quran bahan kajian, juga tidak mampu untuk menolak kebenarannya.

Jika bukan Islam berminat terhadap kandungan al-Quran, mengapa umat Islam tidak mengambil kesempatan itu. Orang Islam kini hanya membaca al-Quran, tetapi tidak cuba mencungkil rahsia di sebalik setiap isi terkandung dalam 6,666 ayat itu.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Wednesday, February 4, 2009

Insan beriman pastikan kesihatan jasmani, rohani seimbang

بسم الله الرحمن الرحيم

KESIHATAN penting untuk memudahkan seseorang beribadah. Setiap manusia mesti menjaga kesihatan jasmani dan rohani. Sihat fizikal membolehkan ibadat dilaksana dengan sempurna, sementara sihat rohani meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Penyakit rohani boleh membawa keresahan hidup manusia seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya manusia dijadikan bersifat keluh kesah, apabila dia ditimpa keburukan, dia keluh kesah dan apabila mendapat kebaikan (harta), dia enggan (bersedekah) kecuali orang yang solat." (Surah al-Ma'arij, 19-22)

Mengikut Islam, penawar kepada penyakit rohani ialah meningkatkan takwa kepada Allah iaitu mendekatkan diri kepada-Nya, banyak mengerjakan amal salih, mentaati perintah Allah dan menjauhi larangannya serta mencontohi sunnah Rasulullah SAW.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Apa yang aku larang jauhi dan apa yang aku perintah kerjakan sehingga batas kemampuanmu. Sesungguhnya Allah sudah membinasakan orang sebelum kamu disebabkan terlalu banyak menuntut dan menentang nabinya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Baginda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Aku lebih menyayangi orang Mukmin yang kuat daripada orang Mukmin yang lemah." (Hadis riwayat Muslim) Kekuatan jasmani dan rohani penting bagi memudahkan melakukan ibadah kepada Allah. Jika salah satunya sakit, seseorang sukar melakukan ibadah yang sempurna kerana tiada keseimbangan dalam kehidupannya.

Ingatan Rasulullah SAW iaitu, 'ingat masa sihat sebelum datang masa sakit' wajar jadi ingatan kepada ummah melaksanakan ibadah kepada Allah.

Sesungguhnya, jasmani dan rohani sihat akan menyumbang ke arah sihat hati, jiwa, mental dan perasaan. Semua ini akan memberikan kekuatan dalam diri manusia untuk melakukan ibadah kepada Allah.

Manusia yang sihat hati akan selamat daripada sebarang tuntutan hawa nafsu yang bercanggah dengan suruhan dan tegahan Allah. Begitu juga jika jiwa sihat akan menyumbang ke arah sentiasa reda dengan ketentuan-Nya.

Sementara sihat mental akan memupuk perasaan, fikiran dan tingkah laku positif dalam diri. Segala ujian dan cabaran hidup di dunia dapat dihadapi dengan tabah dan tenang. Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Penyakit juga adalah ujian Allah bertujuan menghapuskan dosa, memberi keinsafan, menguji kesabaran dan menaikkan darjah seseorang. Penyakit dan kesakitan ada kalanya memang tidak dapat dielakkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengalami kesakitan suatu malam dia bersabar dan reda dengan ketentuan Allah, maka terkeluarlah dia daripada dosa seperti ketika dia dilahirkan ibunya." (Hadis riwayat al-Hakim)

Manusia digalak berusaha mencari ubat dan penawar penyakitnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Bagi setiap penyakit ada ubat, apabila bertepatan ubat dengan penyakit nescaya sembuh dengan izin Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Imam Al-Ghazali mengatakan empat perkara yang boleh menguatkan badan iaitu makan daging, mencium bauan, membanyakkan mandi dan memakai kain kartun.

Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni menjelaskan, 'adakah anda benar-benar inginkan suatu kebahagiaan? Jangan jauh mencarinya, kebahagiaan itu ada dalam pemikiranmu yang indah, dalam khayalmu yang indah, dalam keinginanmu yang optimis dan pada hatimu yang cemerlang penuh dengan kebaikan'.

Penjagaan kesihatan jasmani dan rohani penting dalam kehidupan seharian. Kata hukama, kesihatan ibarat mahkota yang terletak di atas kepada orang yang sihat, tetapi tiada yang dapat melihatnya kecuali orang sedang sakit.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Tuesday, February 3, 2009

Melanggari amanah bererti mengkhianati agama

بسم الله الرحمن الرحيم

Tanggungjawab diberi perlu dilaksana sebaik mungkin untuk wujudkan keamanan, keselamatan

AMANAH berasal daripada perkataan Arab, amana, bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang atau badan yang diamanahkan dengan melaksanakan tuntutan yang ada dalam kepercayaan itu.

Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang atau pihak yang dipercayai dapat melaksanakannya seperti dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya atau badan yang diamanahkan itu berada dalam tenteram, aman, selamat dan harmoni serta diberkati atas Allah SWT dalam urusan yang bersahamkan agama.

Pecah amanah atau mengabaikan amanah yang diberikan adalah suatu kesalahan yang amat berat di sisi Islam, sehinggakan ia tidak dapat ditebus sekalipun dengan pengorbanan seseorang yang berjuang pada jalan Allah SWT.

Dalam hal ini Rasulullah SAW menjelaskan kedudukan amanah dan tanggungjawab mereka yang memikul amanah itu seperti sabdanya yang bermaksud 'Menyertai perang fisabilillah akan menghapuskan segala dosa kecuali amanah. Amanah itu ada dalam solat. Amanah juga ada dalam percakapan. Maka amanah yang paling berat adalah menyimpan sesuatu yang diamanahkan.' (Riwayat Abdullah Mas'ud).

Secara umumnya, terlalu banyak amanah yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan kita. Sama ada sebagai pekerja, pengurus mahupun majikan. Kita hendaklah sentiasa ingat mengingati di antara kita bahawa apa juga bentuk amanah dipikul oleh kita, nescaya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar nanti.

Memusnahkan amanah atau tidak berlaku amanah pastinya akan mengundang musibah, bukan saja terhadap diri pelakunya, bahkan terhadap masyarakat dan negara umumnya.

Mereka yang diamanahkan untuk menjadi pengurus hendaklah membuat perancangan secara lebih strategik dengan daya fikiran lateral, jelas dan misi yang jitu. Pelaksanaannya pula hendaklah secara optimistik dengan menerap nilai yang murni di atas teras akauntabiliti, kualiti dan amanah.

Pengurusan kewangan yang bijaksana, cekap, fleksibel dan amanah adalah prasyarat bagi menjamin kedudukan kewangan yang kukuh. Islam mempunyai falsafah dan pendekatan sebagai garis panduan dalam melahirkan insan yang mempunyai sifat akauntabiliti, berkualiti dan amanah.

Mereka yang bertanggungjawab dalam menguruskan amanah, terutama berkaitan dengan aspek kewangan jangan mengambil mudah berhubung dengan amaran Rasulullah SAW agar amanah yang diberi tidak dikhianati. Mereka yang diamanahkan mesti bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan tanpa rasa angkuh, sombong dan riak dengan perjawatan itu.

Mereka juga tidak boleh semata-mata mengejar keuntungan di dunia berselindung di sebalik perjawatan dan kuasa mereka. Mereka yang mempunyai sahsiah itu mesti ingat bahawa segala urusan di dunia akan dihisab di akhirat seperti mereka menghitung keuntungan yang diperoleh di dunia melalui mainan catur kepintaran dan kecekapan mereka.

Laporan, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan juga adalah amanah dan perlu diucapkan atau direkodkan secara betul tanpa dipengaruhi emosi atau kepentingan diri. Antara lain perkataan laporan hendaklah bersih dan telus. Perbuatan menyembunyikan fakta dan rekod tertentu juga pengabaian terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pengurusan dan pekerjanya.

Menyembunyikan fakta sebenar bertujuan mempertahankan imej dan personaliti majikan amat dilarang kerana kadang-kalanya ia boleh 'membunuh' terutama apabila rahsia tidak dapat disembunyikan lagi.

Justeru, jangan sekali-kali mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya kerana amanah adalah suruhan dan larangan bagi agama dan melanggarnya bererti mengkhianati agama. Sesungguhnya orang yang mengkhianati amanah akan dituntut oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak, supaya memulangkan hak kepada ahlinya.

Soal menjaga kewangan, terutama berkaitan pengurusannya amat diberi perhatian dalam Islam. Sejarah ada menceritakan bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz begitu sensitif terhadap perkara itu.

Beliau, yakni khalifah cukup terkenal dengan sikapnya yang berhati-hati menguruskan amanah dan menjaga amanah yang diberikan. Salah satu contoh yang dapat dijadikan pengajaran ialah kisah yang diceritakan oleh Amru Bin Muhajir. Pada suatu malam, ketika beliau didatangi oleh anaknya sendiri di pejabat khalifah, Umar terlebih dulu berkata: "Adakah kamu datang untuk urusan Muslimin atau urusan keluarga?"

Selepas anaknya menjawab untuk urusan keluarga, lantas Umar memadamkan lampu pejabatnya. Bila anaknya bertanya tindakannya itu, Umar menjawab: "Lampu ini adalah milik negara, sedangkan kamu datang untuk urusan keluarga". Lalu Umar pun menyalakan lampu miliknya sendiri. Inilah ketinggian amanah pada diri khalifah Umar Bin Abdul Aziz dalam menjaga dan menguruskan harta kaum Muslimin.

Sebahagian daripada mereka yang diberi peluang untuk mentadbir dan mengurus amanah beranggapan bahawa mereka boleh melakukan apa saja kerana kuasa yang ada di tangan mereka. Mereka bebas bertindak, berbelanja atau bebas menentukan gaji yang berhak diterima sedangkan apa yang diperoleh tidak setimpal dengan khidmat dan kebolehupayaan dalam pengurusan, melainkan mengambil peluang daripada jawatan itu.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com
بسم الله الرحمن الرحيم


nie plk dpt mail kna g wisma uep on 2 feb 2009 after 1 year the merger..da briefing realligning of term & conditions..g pgi 2 pkul 10pg bru kluar dri ofis, dh smpai silap la plk..g msuk wisma consplant..sptutnya elok dh jam smpai..pas 2 dk dpn subang parade ofismate cal ofismate yg dh p'g tnya instruction, jln lgi smpai summit..cal lgi..pas 2 bru jmpa t4 itu..blik mlm 2 elok2 sblm pkl 12..