Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Wednesday, February 4, 2009

Insan beriman pastikan kesihatan jasmani, rohani seimbang

بسم الله الرحمن الرحيم

KESIHATAN penting untuk memudahkan seseorang beribadah. Setiap manusia mesti menjaga kesihatan jasmani dan rohani. Sihat fizikal membolehkan ibadat dilaksana dengan sempurna, sementara sihat rohani meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Penyakit rohani boleh membawa keresahan hidup manusia seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya manusia dijadikan bersifat keluh kesah, apabila dia ditimpa keburukan, dia keluh kesah dan apabila mendapat kebaikan (harta), dia enggan (bersedekah) kecuali orang yang solat." (Surah al-Ma'arij, 19-22)

Mengikut Islam, penawar kepada penyakit rohani ialah meningkatkan takwa kepada Allah iaitu mendekatkan diri kepada-Nya, banyak mengerjakan amal salih, mentaati perintah Allah dan menjauhi larangannya serta mencontohi sunnah Rasulullah SAW.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Apa yang aku larang jauhi dan apa yang aku perintah kerjakan sehingga batas kemampuanmu. Sesungguhnya Allah sudah membinasakan orang sebelum kamu disebabkan terlalu banyak menuntut dan menentang nabinya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Baginda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Aku lebih menyayangi orang Mukmin yang kuat daripada orang Mukmin yang lemah." (Hadis riwayat Muslim) Kekuatan jasmani dan rohani penting bagi memudahkan melakukan ibadah kepada Allah. Jika salah satunya sakit, seseorang sukar melakukan ibadah yang sempurna kerana tiada keseimbangan dalam kehidupannya.

Ingatan Rasulullah SAW iaitu, 'ingat masa sihat sebelum datang masa sakit' wajar jadi ingatan kepada ummah melaksanakan ibadah kepada Allah.

Sesungguhnya, jasmani dan rohani sihat akan menyumbang ke arah sihat hati, jiwa, mental dan perasaan. Semua ini akan memberikan kekuatan dalam diri manusia untuk melakukan ibadah kepada Allah.

Manusia yang sihat hati akan selamat daripada sebarang tuntutan hawa nafsu yang bercanggah dengan suruhan dan tegahan Allah. Begitu juga jika jiwa sihat akan menyumbang ke arah sentiasa reda dengan ketentuan-Nya.

Sementara sihat mental akan memupuk perasaan, fikiran dan tingkah laku positif dalam diri. Segala ujian dan cabaran hidup di dunia dapat dihadapi dengan tabah dan tenang. Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Penyakit juga adalah ujian Allah bertujuan menghapuskan dosa, memberi keinsafan, menguji kesabaran dan menaikkan darjah seseorang. Penyakit dan kesakitan ada kalanya memang tidak dapat dielakkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengalami kesakitan suatu malam dia bersabar dan reda dengan ketentuan Allah, maka terkeluarlah dia daripada dosa seperti ketika dia dilahirkan ibunya." (Hadis riwayat al-Hakim)

Manusia digalak berusaha mencari ubat dan penawar penyakitnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Bagi setiap penyakit ada ubat, apabila bertepatan ubat dengan penyakit nescaya sembuh dengan izin Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Imam Al-Ghazali mengatakan empat perkara yang boleh menguatkan badan iaitu makan daging, mencium bauan, membanyakkan mandi dan memakai kain kartun.

Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni menjelaskan, 'adakah anda benar-benar inginkan suatu kebahagiaan? Jangan jauh mencarinya, kebahagiaan itu ada dalam pemikiranmu yang indah, dalam khayalmu yang indah, dalam keinginanmu yang optimis dan pada hatimu yang cemerlang penuh dengan kebaikan'.

Penjagaan kesihatan jasmani dan rohani penting dalam kehidupan seharian. Kata hukama, kesihatan ibarat mahkota yang terletak di atas kepada orang yang sihat, tetapi tiada yang dapat melihatnya kecuali orang sedang sakit.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

No comments: