Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Wednesday, May 20, 2009

Tafakur kejadian alam, diri mantapkan iman

بسم الله الرحمن الرحيم

HIDUP ini adalah perjalanan yang sengaja dirahsiakan hikmah untuk manusia berusaha dan mencari maknanya. Bagi mereka yang berfikir, kehidupan tidak akan dipersiakan, sebaliknya dimanfaatkan sebaiknya demi kebahagiaan dunia serta akhirat.

Berfikir atau tafakur adalah senaman untuk mengaktifkan akal fikiran dikurniakan Allah kepada manusia supaya apa yang dilihat serta ingin dilakukan tidak menyimpang daripada syariat. Al-Hasan pernah berkata: "Bicara yang tidak mengandungi hikmah adalah tidak berguna. Diam tidak berfikir adalah kelalaian. Lihat yang tidak membuahkan pelajaran adalah permainan belaka."

Tafakur, berfikir atau merenung kejadian alam membuahkan pelajaran serta bukti kekuasaan Allah sekali gus menjurus dan mengarah kepada tujuan yang berguna.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya kejadian langit dan bumi dan perselisihan malam dan siang itu ada beberapa bukti bagi orang yang mempunyai fikiran. Mereka mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau berbaring dan memikirkan kejadian langit dan bumi seraya berkata: Hai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau! Kerana itu peliharalah kami daripada seksa api neraka." Surah ali-Imran ayat 190-191)

Pernah diriwayatkan, Nabi SAW menangis dan apabila ditanya mengapa, lalu dijawab Rasulullah SAW bahawa pada malam itu diturunkan ayat daripada surah Ali-Imran bermaksud: "Celakalah bagi orang yang membaca ayat kejadian langit dan bumi dengan tidak memikirkannya."

Firman Allah bermaksud: "Maka tidakkah mereka mahu melihat kepada unta bagaimana dijadikan? Dan melihat kepada langit bagaimana ditinggikan? Dan melihat kepada gunung bagaimana ditegakkan? Dan melihat kepada bumi bagaimana dihamparkan? Maka ingatkanlah, kerana engkau itu hanya seorang pengingat." (Surah al-Ghasyiah, ayat 17-21)

Kekuasaan Allah terukir dan terlukis pada alam. Rahmat dan kasih sayang-Nya ada pada setiap detik kehidupan. Demikian sebahagian bukti kekuasaan Allah. Betapa indah dan sempurnanya setiap ciptaan itu. Al-Quran banyak menyuntik dan mendorong manusia berfikir kerana dengan itu akal tidak dibekukan oleh rutin dan kesibukan, malah memantapkan iman serta menjana kesempurnaan.

Bagaimanapun, berfikir biar pada batas dibenarkan atau yang sanggup dijangkau akal bukan seperti diingatkan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Berfikirlah pada tanda kekuasaan Allah, dan jangan kamu berfikir mengenai zat Allah kerana kamu tidak akan dapat mengukur batasnya."

Suatu hari Nabi SAW menghampiri kaumnya yang sedang bertafakur. Nabi bertanya: "Mengapa kamu diam saja? Mereka menjawab: Kami sedang bertafakur mengenai makhluk Allah. Nabi berkata: Jika demikian, lakukanlah. Fikirkan mengenai makhluk Allah dan jangan fikirkan mengenai Allah."

Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara keterangan itu, diciptakannya kamu daripada tanah kemudian itu lihatlah, kamu menjadi manusia yang bertebaran." (Surah al-Rum, ayat 20)

Demikian bijaksana Allah yang Maha Mencipta mengatur semua itu untuk manusia. Namun, berapa ramai manusia berfikir mengenai penciptaan itu. Bulan dan matahari boleh berpadu walau tidak bersatu. Begitu juga siang dan malam saling bertukar tidak pernah bercakaran.

Bintang berkelipan indah tidak pernah membantah, malah semua itu tidak pernah bertelagah apa lagi menderhaka meminta kedudukan dan kuasa. Tetapi manusia yang bertebaran berterabur dengan perbalahan dan permusuhan.

Fudhail berkata: "Tafakur itu cermin kaca yang memperlihatkan padamu kebaikan dan keburukanmu." Justeru, pengembaraan dalam tafakur bukan sekadar memperlihatkan kebaikan dan keburukan tetapi melahirkan kenikmatan serta ketenangan, menemukan hikmah dan makrifah, mengarah pemantapan iman, pembersihan jiwa, memperbanyak amal salih.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Thursday, May 14, 2009

Solat selongkar rahsia kejayaan, keselamatan ummah

بسم الله الرحمن الرحيم

ALLAH mewajibkan solat fardu lima kali sehari semalam sebagai jadual untuk memberi peluang kepada manusia mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat-Nya.

Kekuatan solat menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur kepatuhan syariat Islam. Kelemahan menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.

Solat ialah penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal mulia. Tegak solat bermaksud tegaklah agama dan terabainya solat adalah meruntuhkan agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi ialah kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam digalak memulakan amalan solat ketika berumur tujuh tahun. Apabila 10 tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Jika ingkar, diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.

Firman Allah bermaksud: "Dan perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa." (Surah Thahaa, ayat 132)

Demikianlah tingginya kewajipan seorang Muslim terhadap ibadah solat yang menjadi amanah Allah. Jika kita memelihara solat, nescaya sentiasa dipelihara Allah, manakala jika mengabaikannya kita tergolong orang yang rugi.

Persoalan besar timbul ialah apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat? Antara faedahnya untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia sendiri. Solat ialah benteng daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Ini bermakna, Muslim yang istiqamah solatnya menjadi insan berakhlak mulia, hidup dipenuhi amal salih, bersifat amanah, berintegriti tinggi dan berjiwa tawaduk.

Mereka yang mengabai dan meringankan solat dilihat cenderung menjadi seorang yang rosak akhlak, bergelumang dengan maksiat, kejam dan mengamalkan sifat keji sehingga mengancam kesejahteraan diri serta masyarakat.

Imam Ahmad meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menjaga solat, nescaya solat itu menjadi cahaya, pembela, dan penyelamatnya pada hari kiamat. Sementara mereka yang tidak menjaganya tidak akan mendapat cahaya, pembela dan penyelamat. Bahkan mereka diletakkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubay Khalaf."

Orang meninggalkan solat disebabkan harta dihimpun bersama Qarun, jika disebabkan pangkat akan dihimpun bersama Firaun, jika disebabkan jawatan dihimpun bersama Haman dan jika disebabkan dunia korporat pula dihimpun bersama Ubay, seorang yang cintakan harta dan lupa akhirat.

Semua watak itu boleh menyumbang kepada gejala negatif seperti pecah amanah, salah guna kuasa, pelanggaran kepada perlembagaan dan undang-undang negara, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan bayi, kejadian jenayah, perceraian yang semakin meningkat, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam menghayati fungsi solat.

Melakukan dosa besar bukan saja kerana berzina, mencuri, minum arak, menderhaka ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah serta azabnya dahsyat di dunia dan akhirat. Ini dijelaskan Nabi SAW dalam salah satu gambaran azab ketika peristiwa Israk dan Mikraj, orang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang kali. Selain itu, Allah mencampakkan golongan itu ke dalam neraka Saqar.

Firman Allah bermaksud: "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat." (Surah al-Muddaththir, ayat 43)

Lupakah kita mengenai ingatan Rasulullah SAW supaya tidak mengabaikan solat pada saat akhir hayat Baginda? Begitu juga kisah Saidina Umar al-Khattab, walaupun tidak sihat akibat ditikam Abu Lu'lu'ah al-Majusi, apabila mendengar seruan solat, beliau segera bangun mendirikannya.

Sempena kempen bulan dakwah di seluruh negara, apakah peranan umat Islam sekalian dalam usaha menjadikan kekuatan solat sebagai penanda aras kekuatan kualiti beragama? Justeru, setiap kita perlu saling ingat mengingatkan supaya sentiasa menunaikan solat.

Jangan bersifat lepas tangan. Sumbangan kita menggalakkan solat atau menyediakan kemudahan tempat solat yang selesa dianggap sebagai langkah mendekati Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, melarang berbuat kejahatan; mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Sunday, May 10, 2009

Ibu..

بسم الله الرحمن الرحيم

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْناً عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Surah Luqman, Ayat 14

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْماً لَّا يَجْزِي وَالِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِ شَيْئاً إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah. Surah Luqman, Ayat 33

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَداً وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. Surah Luqman, Ayat 34

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدتَّهُم وَمَن صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Surah Ghaffir, Ayat 8

اللّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنثَى وَمَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ وَكُلُّ شَيْءٍ عِندَهُ بِمِقْدَارٍ
Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu. Surah Ar-R'ad, Ayat 8

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْراً حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". Surah Al-Ahqaaf, Ayat 15

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالمَلاَئِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍ
Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; - Surah Ar-R'ad, Ayat 23

وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئاً وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. Surah Al-Nahl, Ayat 78

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Surah Al-Israa', Ayat 23

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِناً وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَاراً
"Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!" Surah Nuh, Ayat 28

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
"Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" Surah Ibrahim, Ayat 41

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Thursday, May 7, 2009

Ikhlas muhasabah diri cara berkesan baiki kelemahan ummah

بسم الله الرحمن الرحيم

MUHASABAH adalah perilaku menghitung dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa manusia menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri sentiasa mencela segala kejahatan pernah dilakukan yang boleh menjadi penghalang untuk mendapat keredaan Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Hadis riwayat al-Tarmizi)

Sesiapa yang bermuhasabah diri tidak meninggalkan ruang dan masa melakukan perkara batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia mencela jiwanya atas setiap kesalahan dan kekurangan dilakukannya terhadap Allah kerana takut kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya, mungkin tiada jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie: “Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah.” (Kitab al-Burhan al-Muayyad).

Muhasabah menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah, Rasul-Nya serta makhluk. Melalui muhasabah juga manusia berasa diri tidak diciptakan dengan sia-sia kerana kita pasti kembali kepada Allah apabila sampai waktu. Firman Allah bermaksud: “Setiap yang berjiwa (bernyawa) akan berasa mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia sudah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanya kesenangan yang memperdayakan.” (Surah ali-Imran, ayat 185)

Dalam kesibukan kita mengejar kekayaan dunia, jangan lupa untuk menyibukkan diri dengan mengingati Allah supaya kehidupan baik di dunia dapat dinikmati dan kesejahteraan akhirat tetap menanti.

Firman Allah bermaksud: “Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 50)

Golongan sufi sentiasa mengabdikan diri kepada Allah. Mereka beriman dalam perjalanan musafir ini menuju Allah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati mereka akan kembali kepada Allah pada setiap masa. Firman Allah bermaksud: “Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi Tuhan (Allah) Maha Kuasa. ” (Surah al-Qamar, ayat 55)

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: “Lalai daripada bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat reda nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimkan diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramal dengan apa yang sahih tanpa bertolak ansur terhadap perkara yang salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas.” (Kitab Qawaid al-Tasawuf)

Demikianlah pentingnya muhasabah dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas seseorang sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabah dengan hati terbuka supaya kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelemahan diri sebelum menemui ajal.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Monday, May 4, 2009

Kebahagiaan hanya dapat dicapai melalui iman, takwa, amal salih

بسم الله الرحمن الرحيم

MENCARI kebahagiaan adalah cita-cita dan harapan manusia dalam kehidupan. Bagi mereka berpendapat kebahagiaan terletak kepada kekayaan, maka berjuanglah mereka memperolehnya.

Golongan beranggapan kebahagiaan terletak kepada kekuasaan, berusahalah mereka untuk mencapainya, sementara ada menyangkakan kebahagiaan itu boleh diperoleh menerusi kepuasan seks, lalu berlumbalah mereka melakukannya tanpa segan silu.

Namun, fakta sejarah membuktikan bahawa kekayaan, kekuasaan dan kenikmatan seks bukanlah kebahagiaan sebenar yang dicari dan diperlukan manusia. Tidak sedikit manusia terpedaya dan mengalami kehancuran gara-gara mengejar serta memburu kebahagiaan berdasarkan ketiga-tiga pendapat itu.

Dalam soal kekayaan misalnya, kisah diceritakan al-Quran pada zaman Nabi Musa adalah satu contoh paling tepat membuktikan kekayaan bukan kebahagiaan mutlak.

Qarun dengan usahanya berjaya menjadi orang paling kaya di dunia. Malangnya dalam masa tidak berapa lama kebahagiaan yang dikatakan wujud pada kekayaan itu musnah akibat rasa takbur dan sombong yang tercetus dalam diri Qarun.

Qarun bersama harta kekayaannya ditelan tanah seperti firman Allah bermaksud: "Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidak ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri." (Surah al-Qasas, ayat 81)

Kemudian ada beranggapan kebahagiaan itu terletak pada kekuasaan. Maka berjuanglah mereka untuk memperolehnya dengan pelbagai cara. Contoh jelas dalam soal ini ialah kisah Firaun yang berlaku pada zaman Nabi Musa.

Betapa besar kekuasaannya di bumi Mesir, sehingga dia mengaku dirinya Tuhan, tetapi kebahagiaan dikecapi berdasarkan kekuasaannya itu tidak sampai ke mana. Akhirnya Allah menenggelamkan bala tentera termasuk dirinya ke dalam laut ketika mengejar Nabi Musa.

Hal ini dijelaskan Allah dalam firman bermaksud: "Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya." (Surah al-A'raaf, ayat 136)

Seterusnya ada pula beranggapan kebahagiaan itu terletak pada kenikmatan seks jadi berusahalah mereka mencari kepuasan itu. Hal itu terjadi pada zaman Nabi Luth di mana kaumnya cuba mencari puncak kepuasan itu dalam keghairahan seks.

Ternyata sekali mereka tidak menemuinya pada wanita yang seharusnya menjadi pasangan mereka. Akhirnya mereka beralih mencari pasangan sejenis. Akibat perbuatan terkutuk itu akhirnya mereka dihancurkan.

Bagaimana pula pandangan Islam mengenai kebahagiaan sebenar? Dalam Islam kebahagiaan hanya boleh dicapai dan diperoleh pada jalan beriman, bertakwa dan beramal salih. Malah iman mutiara paling agung dalam peribadi Muslim.

Allah berfirman bermaksud: "Sebenarnya Allah jugalah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan memimpin kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang yang benar." (Surah al-Hujurat, ayat 17)

Lantaran itu tidak hairanlah jika kebahagiaan orang mukmin hasil daripada keimanan dan ketakwaan meliputi dua alam iaitu alam dunia yang sementara itu dan akhirat, kekal buat selama-lamanya.

Firman Allah bermaksud: "Ketahuilah! Sesungguhnya wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita (wali Allah itu ialah) orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan akhirat. Tidak ada (sebarang) perubahan pada janji Allah, yang demikian itulah kejayaan benar." (Surah Yunus, ayat 64)

Kebahagiaan sebenar dalam Islam bukanlah berdasarkan kekayaan, kekuasaan dan kepuasan seks, sebaliknya menerusi keimanan, ketakwaan dan amal salih. Namun, Islam tidak melarang umatnya daripada berikhtiar dan mencari harta kekayaan, ilmu serta pangkat.

Firman Allah bermaksud: "Dan tentulah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Tetapi harta kekayaan, ilmu dan pangkat bukan menjadi tujuan utama sebaliknya sebagai alat dan syarat kehidupan di dunia sementara ini.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Thursday, April 30, 2009

Penyakit jiwa binasakan batin, peribadi manusia

بسم الله الرحمن الرحيم

Hati perlu bersih daripada sifat mazmumah dengan hayati ajaran al-Quran

MANUSIA yang waras sering berdepan dengan pelbagai persoalan dalam kehidupan, sama ada ringan atau berat. Sesungguhnya keadaan itu sudah menjadi lumrah hidup seorang manusia. Masalah itu mungkin saja kerana banyak melakukan dosa, kezaliman, kehilangan sesuatu yang disayangi, ditimpa kerugian dalam perniagaan dan sebagainya. Akibatnya manusia mengalami gangguan jiwa seperti resah, gelisah, dukacita, putus asa, ketakutan, kemarahan, kebencian, suka termenung dan tidak lena tidur serta menyalahkan takdir Ilahi. Semua itu memberi kesan hidup tidak selesa dan jiwa tidak bahagia atau tenang.

Ada sebilangan besar masyarakat meleraikan kekusutan jiwa tanpa pertimbangan akal sihat dan panduan agama. Contoh bersukaria, menikmati muzik, berkaraoke, menari, mengambil ubat penenang, mengambil dadah, minum arak bahkan ada yang sanggup membunuh diri. Ketenteraman yang diperoleh cara demikian sesungguhnya tak lebih hanyalah bersifat sementara dan sekadar anggapan belaka.

Bagi orang beriman, walau sebesar mana persoalan hidup yang melanda pasti akan dihadapi dengan sabar, tabah dan jiwa yang tenang. Lantaran, dengan memiliki ketenangan jiwa menyebabkan seseorang itu dapat menjalani kehidupan dengan teratur dan sewajarnya mengikut kehendak syariat Islam serta mampu beribadat dengan sempurna, melaksanakan tanggungjawabnya terhadap keluarga atau masyarakat. Kesimpulannya segala tindak-tanduk yang dilakukan mengikut rentak jiwa. Hal ini pernah disentuh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya bermaksud: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu maka jahatlah manusia. Ketahuilah itulah hati" (HR Bukhari dan Muslim)

Bagi meraih ketenangan hakiki, perlu seseorang itu mengamalkan cara yang ditunjukkan oleh agama. Sesungguhnya berpegang kukuh kepada agama sangat penting lantaran menjadikan seseorang itu selalu berada dalam keadaan tenang.

Kita sangat tertarik dengan ungkapan Ahli Falsafah dan Psikologi Amerika Syarikat, William James, yang berkata "Iman, adalah ubat paling mujarab dalam menyembuhkan tekanan. Antara kita dan Tuhan ada hubungan yang tidak terputus. Jika kita meletakkan diri di bawah naungan kekuasaan Tuhan dan berserah diri kepada-Nya, semua harapan dan angan-angan kita akan wujud. Pada masa sama, gelombang kesulitan hidup dan tekanan kehidupan tidak akan mampu menggoyahkan ketenangan dan kestabilan jiwa manusia yang memiliki iman kepada Tuhan".

Pendapat beliau selari dengan pandangan Dr Yusof Al-Qardhawi dalam bukunya Al-Iman Walayah yang menyebut, "Ilmu, kesihatan, kepuasan nafsu, kekuatan, harta kekayaan tidak dapat menjana kebahagiaan. Hanya iman kepada Allah, hari akhirat dapat menjana kebahagiaan dan ketenangan"

Begitulah yang diajarkan Islam bahawa seseorang yang berpegang dengan agama secara benar bermakna selalu ingat kepada Allah SWT dalam pelbagai kesempatan atau peluang baik duduk, berdiri mahu pun berbaring, yang akhirnya membuahkan ketenangan jiwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram" (Surah Ar-Ra'd: 28)

Dalam ayat lain kita menemui penjelasan Allah mengenai orang yang benar-benar beriman tetap memperoleh keamanan dan ketenteraman. "Orang-orang yang beriman dari tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk" (Surah al-An'am: 82)


Kita juga perlu yakin dengan pertolongan Allah. Sebab seperti yang kita ketahui bahawa dalam usaha untuk mendapatkan sesuatu yang diimpikan sering kali terpaksa menghadapi masalah dan rintangan. Ini semua boleh menimbulkan rasa putus asa, takut dan kebimbangan. Bila ada keyakinan bahawa Allah akan menolong orang beriman (baik orang-orang terdahulu, sekarang dan akan datang) yang bersungguh-sungguh berusaha dan berjuang, menyebabkan jiwa menjadi lapang dan tenteram. Firman Allah SWT bermaksud:

"Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Surah Al-Anfal: 10)

Senada dengan itu di lain ayat Allah menjelaskan: "Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerana-Nya dan kemenanganmu itu hanyalah daripada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah Ali Imran: 126)

Islam juga mengajar kita agar selalu bersyukur kepada Allah. Nikmat yang Allah anugerah kepada kita amatlah banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Kendatipun nikmat atau rezeki itu kecil, tetap diterima dengan penuh reda dan kesyukuran menyebabkan jiwa sentiasa lapang. Selanjutnya dia yakin bahawa Allah akan menambah nikmat itu sebagaimana dapat kita fahami daripada kenyataan al-Quran yang bermaksud: "...Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu, demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras" (Surah Ibrahim: 71)

Namun jika tidak ingin bersyukur, tatkala mendapat rezeki sedikit pasti akan terus menjadi resah, memberontak, putus asa dan dengki terhadap orang yang mendapat rezeki lebih daripadanya. Hal ini boleh kita lihat ayat suci yang bermaksud: "Dan Allah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah; Kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian (meliputi tubuh badan mereka), kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat" (Surah An-Nahl: 162)

Sesungguhnya apabila jiwa tidak tenang bermakna jiwa sudah dihinggapi penyakit yang pasti akan membinasakan keperibadian seseorang itu. Lantaran penyakit itu mencerminkan hanya keburukan saja sebagaimana dijelaskan Dr Hamzah Ya'qub dalam bukunya Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin, bahawa sifat buruk dan merosak dalam batin manusia yang mengganggu kebahagiaan, merintangi peribadi daripada memperoleh keredaan Allah dan sikap mental yang cenderung mendorong peribadi melakukan perbuatan buruk dan merosak"

Seandainya penyakit jiwa menguasai diri mengakibatkan ghairah beramal jadi melemah, semangat untuk maju dalam kebaikan terpadam, malas untuk bekerja, lalai mengingat Allah, sukar menerima kebenaran dan tumpul daya fikir Allah SWT menjelaskan: "Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada." ( Surah Al-Hajj: 46)

Oleh yang demikian, sebagai seorang Islam yang mahukan kebahagiaan dan ketenangan sebenarnya dan berpanjangan, hendaklah sepanjang hidupnya membersihkan hati daripada sifat mazmumah dengan cara menghayati ajaran al-Quran dalam kehidupan serta meneladani keperibadian Rasulullah secara istiqamah. Dengan itu, orang Islam akan jadi lebih terpuji, produktif dan cemerlang.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Wednesday, April 29, 2009

Buat Pizza..

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum w.b.t

Tuk..tuk..tuk.. iskk..xder org ker rmh nieh?.. b'habuknyer..smpah b'terabur..haiii..
huhu sorry2 ya rmah..lma xjenguk..stlh hbs exam 3mggu yg lalu..dan sblm ia b'mula kmbli..bru skrg ada hati nk sapu smpah..hehe..bkn apanyer..kring idea agaknya..coz' addict kuiz kt fb..aiiyahh. nk bca bku pn dh hbs smua bca..nk order lgi..tpi xtahu plak bku apa yg menarik..sapa2 bleh kongsi?..buku2 sejarah dan perjuangan Nabi best, novel Islamik ker.., tpi skrg tgh survey tshirt muslimah.. dh email..tpi blm da respon..huhu tggu jer lah..

ermm ptg klmrn ada lah print resepi pizza daging, xniat pn nk bt smlm, tpi adik aku laparlah plak..ader ker tnya kek mlm2..huh..jwpnnya hari jumaat nielah..sbb dh jnji ngan mak..pas 2 ku sbut pizza..dia pn apa lgi..okay jer..tpi bhan2 xder lah plak..sruh dia blilah..tlislah brg..haii mna nk cri daging cincang mlm2 niehh..dia nk hotdog..sory lah xmkn..tkr lain2?ha daging burger..cantikk.. bgi kertas bhan n duit..jam dh 9.1+ , smntra dia g cri, aku ptong lah sgala bhan yg ada utk di bt inti atsnya..ubi kntang pn ada..bleh saja..dh adik blik.. bru start uli2..smtra tggu tpg 2 naik.. tumislah, msuk dging burger skali..sos tomato tggal suku jer nk hbs dri sebotol 2..haha..sdap jer.. tgk tpg mcm dh naik, (mak kta tggu sejam 2..)aiiyah kalu mcm 2 bla bleh mkn.. xkira dh naik 2 kra jdi lah..apa lgi bhgi 2..leperkn dlm 2 bkas.. ltak lah inti tdi.. msuk oven 2 2bkas skali.. yess slesai kerjaku.. smbil2 bsuh blik bkas yg dh gna.. bkas pizza 2 ku alihkn jgk ats bwh..sbb tak bka api ats tkut hgus ats..so nk bgi balance tukar lah ats bwah.. oven 2 bunyi jer ketingg.. apa lagi siap..woaaha pnas2 sdap nieh..pgiil mak mkn skali..siap requests bt kt adik2 aku nk blik xb'apa hri lagi nehh..hoho.. mnjdi lah pizza 2.. xsmpat plak nk amik gmbr keke..nnti cri bhan secukupnya..bleh lah mreka smua mkn..alhamdulillah..pgi nie pn mkn pizza lgi..1 bkas dh licin.. sbb smlm pn dh separuh lebih dh hbs.. jdi pgi nie clear..alhamdulillah.

اللّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقاً لَّكُمْ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنْهَارَ
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Surah Ibrahim, Ayat 32


Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com