Mari Menunaikan Solat

Hadith Muslim

Campaign

Wednesday, November 12, 2008

Contoh peribadi terpuji dalam al-Quran

بسم الله الرحمن الرحيم

BAGI seorang manusia, tiada yang lebih bernilai kecuali keperibadian terpuji. Al-Quran menerangkan banyak peribadi dan ciri mulia yang boleh dicontohi, antaranya:

Takut hanya kepada Allah.
“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam.” (al-Maidah:28)

Melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” (al-Qasas:24)

Menyembunyikan perasaan marah dan sentiasa bersikap pemaaf.
“Dan orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Ali-Imran:134)

Memberi makan anak yatim yang dalam kelaparan dan kaum kerabat yang miskin.
“Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim dari kaum kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.” (al-Balad:14-16)

Suka bersedekah dengan harta yang disukainya kepada orang yang amat memerlukan bantuan.
“Dan seseorang itu suka mendermakan harta bendanya yang dia amat sukai kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang yang miskin.” (al-Baqarah:177)

Cenderung dan suka kepada perdamaian dan keharmonian.
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya.” (al-Anfal:61)

Tidak meminta-minta.
“Mereka disangka sebagai orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.

Bersabar dalam menempuh dugaan, baik ketika senang mahupun susah.
“Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil.” (al-Baqarah: 177)

Menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.
“Maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (al-Baqarah:283)

Tidak bersifat bakhil dan sanggup membelanjakan harta kepada golongan yang memerlukan.
“Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (at-Taghabuun: 16)

Bersederhana dalam semua perkara. Tidak terlalu boros ketika berbelanja dan tidak kedekut.
“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (al-Furqaan:67)

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Tuesday, November 11, 2008

Taubat bukan sekadar manis di bibir

بسم الله الرحمن الرحيم

Penyesalan ketika ajal hampir menjemput sudah tidak berguna lagi

ISLAM menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan itu, barulah individu Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang diwahyukan kepada kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus." (Surah al-Zukhruf, ayat 43)

Bagaimanapun, dalam kehidupan manusia yang sentiasa berdepan dengan pergolakan dan pancaroba menguji keimanan, ada ketikanya manusia tersungkur dan rebah kerana tergoda ajakan hawa nafsu yang bergelora.

Natijahnya, dia terbelenggu dalam kegelapan, meraba-raba mencari sinar Ilahi yang menerangi hatinya yang tercalit karat dosa. Justeru, Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan dirinya daripada dosa yang membayangi dirinya.

Taubat mempunyai peranan untuk membersihkan dosa. Oleh sebab itulah, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki pengampunan Allah.

Melalui taubat, manusia dapat memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat yang merugikan, seterusnya mempertingkatkan keazaman untuk beristiqamah penuh keikhlasan hanya kepada Allah semata-mata.

Perkara yang lebih penting mengenai taubat ini ialah betapa Allah bersifat Maha Pengasih terhadap hamba-Nya yang tersilap langkah dalam kehidupan sehariannya. Sehubungan itu, Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan dilakukan hamba-Nya kecuali dosa syirik kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar, ayat 53)

Seterusnya, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan atau terpelihara dalam kehidupannya kecuali nabi dan rasul.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah." (Hadis riwayat Darimi)

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Maksud daripada nas suci itu secara jelas mengambil kira kelemahan manusia yang kerdil lagi daif dan sentiasa menghadapi pelbagai tipu daya serta helah yang boleh menyebabkan manusia terbabas dari landasan yang benar.

Tetapi bagi insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah, dia akan segera menyedari serta menginsafi diri terhadap kesilapan dilakukannya. Maka, dia terus bertaubat kepada Allah dengan penuh penyesalan, seterusnya membulatkan keazaman mempertingkatkan amal soleh dalam kehidupannya.

Inilah antara ciri orang yang benar-benar beriman kepada Allah selari firman-Nya yang bermaksud: "Dan (antara ciri orang yang bertakwa itu) ialah apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang dilakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Orang yang demikian sifatnya), balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Surah Ali Imran, ayat 135 - 136)

Perlu diinsafi, taubat tidak memadai hanya sekadar manis di bibir dengan melafazkan ucapan taubat saja. Selepas itu, dia mengulangi semula perbuatan dosanya. Taubat yang sebenarnya menuntut seseorang melakukan lebih daripada itu.

Pertama, dia hendaklah meninggalkan terus perbuatan dosanya itu. Kedua, hendaklah menyesal dan insaf terhadap kesilapan terdahulu di samping menangis mengalirkan air mata sebagai tanda keinsafan.

Ketiga, seseorang itu hendaklah berazam dan bertekad tidak akan mengulangi lagi perbuatan terdahulu dan sebagai gantinya mempertingkatkan keimanan serta keikhlasan dalam merealisasikan segala bentuk ketaatan. Akhirnya, dia juga hendaklah mengembalikan atau memenuhi hak orang yang pernah disakiti.

Dalam erti kata lain, selepas bertaubat, dia dikehendaki meninggalkan terus perbuatan dosa dan menggantikannya dengan amalan soleh. Inilah yang tersirat di sebalik firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Aku (Allah) yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya." (Surah Taha, ayat 82)

Lanjutan itu, betapa perlunya kehidupan Muslim dihiasi dengan amalan muhasabah dan menilai diri agar, mengambil langkah berwaspada dalam menelusuri titian hidup yang penuh onak dan duri. Kemudian, disusuli pula dengan amalan salih yang bakal memperkuatkan ketahanan diri dan menggilap kemantapan jiwanya dalam menepis segala bentuk dugaan dan godaan yang mendatang.

Rasulullah SAW adalah contoh teladan terbaik dan sempurna yang menjadi ikutan umat Islam. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.

Lantas Baginda SAW menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah: "Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalaulah begitu kedudukan Rasulullah SAW yang mendapat keistimewaan pengampunan Allah terhadap segala dosanya, Baginda masih lagi beristighfar dan beramal salih, maka sewajarnya dan lebih sepatutnya bagi setiap insan yang serba kedaifan yang sentiasa terjebak dan terjerumus dalam kancah dosa dan maksiat, melaksanakan lebih daripada apa yang diamalkan Rasulullah SAW.

Menyedari akan hakikat itu, setiap Muslim sewajarnya merebut kesempatan dan peluang hidup keemasan dikurniakan Allah kepadanya di dunia yang fana ini untuk memperbaharui taubat dan seterusnya mempertingkatkan keimanan kepada Allah.

Jangan nanti apabila ajal datang menjemput, barulah mula sibuk hendak bertaubat kepada Allah. Pada masa itu, pintu taubat sudah tertutup dan akhirnya dia akan menyesal tidak berkesudahan. Sedangkan penyesalan itu tidak ada gunanya lagi di sisi Allah.

Tiada lagi alasan dan dalih yang boleh diterima Allah untuk memberikan peluang buat kali keduanya mahupun kesekian kalinya kerana Allah sudah memberikan masa kehidupan yang terlalu lama di dunia ini untuk dia kembali menginsafi diri dan bertaubat kepada-Nya.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Monday, November 10, 2008

Masa depan di tangan sendiri

بسم الله الرحمن الرحيم

HIDUP yang sementara ini, selayaknya diharungi dalam konteks yang tuntas dan berpaksi ajaran Islam dalam membina kehidupan sejahtera dan mendapat keredaan Allah. Orang bijaksana, bukan terlalu bersandarkan ilmu dunia semata-mata.

Sebaliknya, diseiringkan dengan ajaran wahyu atau agama tanpa sangsi kerana pasti kita menginginkan kehidupan tenang dan selesa. Semua itu boleh dicapai asal saja kita berusaha mencari dengan cara diizinkan agama. Ketenangan dan keselesaan hanya dapat dinikmati dengan mendekatkan diri kepada Allah serta memperbanyakkan amalan baik.

Kehidupan ini begitu menakjubkan bagi mereka yang mahu memikirkannya. Allah menjadikan kehidupan untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Namun semua itu bergantung kepada kehendak serta usaha kerana kehidupan terhampar depan mata bukan untuk dipandang sepi sebaliknya direncanakan bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, selayaknya kita menjadi hamba bijaksana mengurus kehidupan seharian. Dengan nawaitu yang tulus, kita membina kehidupan melalui usaha dan kerja yang bersungguh, tanpa mengenal erti jemu.

Tidak sukar menghadapi kehidupan dengan syarat kita bersedia menggunakan akal serta kudrat kurniaan Allah kerana Allah menyayangi hamba-Nya yang mahu berusaha dan tidak mensia-siakan peluang diberi. Selepas itu, manusia perlu bertawakal kepada ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui kerana janji Allah adalah pasti asalkan hamba-Nya tidak pernah lupa mensyukuri nikmat diberi. Firman Allah bermaksud: “Jika kamu bersyukur dengan kurniaanku, nescaya akan Kutambahkan rezeki Ku untukmu. Namun, jika kamu kufur, azab Ku amatlah pedih.”

Kehidupan tidak patut dipersiakan. Selagi ada upaya, cari kebaikan seperti disarankan agama. Orang yang kuat ( penguasaan ilmu dan kejayaan hidup) lebih baik daripada mereka yang lemah. Kita perlu mengubah kehidupan supaya menjadi lebih sempurna kerana hanya kita yang boleh menentukan arah tuju masa depan. Firman Allah yang bermaksud: “Tidak akan Ku ubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubahnya sendiri.”

Kesempatan yang masih ada ini, sebaiknya digunakan untuk menjadi manusia bijaksana mengurus kehidupan, selain terus berusaha dan bekerja. Umat Islam mesti mempunyai misi tuntas. Selain usaha dan gerak kerja berterusan, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang menjadikan Islam kuat.

Kekuatan itu bukan untuk menindas orang lain sebaliknya, meningkatkan martabat Islam dalam menyebarkan syiar dan menjelaskan keindahan agama ini kepada dunia. Kekuatan serta kejayaan membolehkan umat melakukan perubahan di bumi ini berlandaskan al-Quran dan sunnah. Islam adalah agama sempurna memberi panduan lengkap untuk manusia melalui kehidupan sempurna kerana setiap makhluk mempunyai tugas serta tanggungjawab bukan saja pada diri, juga kepada makhluk lain.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Sunday, November 9, 2008

Pemuda berakhlak pewaris bangsa tonggak kemakmuran negara

بسم الله الرحمن الرحيم

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah, orang yang jika mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang yang mereka khuatir terhadap kesejahteraannya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan supaya mereka berbicara dengan perkataan yang benar.” (Surah an-Nisa’, ayat 9)

Ayat ini mengajar kita sentiasa mempersiapkan pewaris bangsa atau generasi pemuda yang berkeperibadian tinggi, berakhlak mulia dan sihat.

Apakah ciri yang harus dimiliki generasi muda supaya tidak termasuk golongan lemah. Kriteria pemuda berkeperibadian mulia seperti digambarkan dalam lapan perkara diwasiatkan Lukman kepada anaknya diceritakan al-Quran.

Lapan perkara itu ialah larangan mempersekutukan Allah yakni keimanan yang teguh kepada Allah; berbuat baik kepada kedua orang tua; memperbanyakkan amal kebajikan walau kecil sekalipun; mendirikan solat; menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar; bersabar; tidak sombong dan angkuh serta bersikap sederhana dan lemah lembut dalam tutur kata.

Mempersekutukan Allah adalah dosa besar atau juga disebut sifat zalim yang maha besar. Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni dosa selain itu bagi siapa yang Dia kehendaki.

Pada era ini, pelajar atau mahasiswa sebagai generasi pemuda yang bakal memimpin negara perlu berwaspada terhadap penyusupan unsur pengaburan akidah melalui pelbagai pendekatan.

Paling tidak generasi yang lemah atau dangkal tafsirannya mudah terlena dengan buaian serta umpanan nafsu.

Serangan itu bukan saja melemahkan, malah menjadikan generasi muda meninggalkan kegiatan yang jelas makruf seperti solat, belajar dan perkara positif lain sebaliknya mengutamakan perkara melalaikan serta merosakkan pemikiran. Allah melarang kita tunduk kepada hawa nafsu kerana boleh membawa kepada perbuatan syirik yang akhirnya tertutup daripada hidayah Allah.

Umpan ditabur bukan hanya bertujuan memesongkan akidah dan pemikiran, malah kandangkala memberikan sedikit kekeliruan yang boleh membuatkan generasi muda mulai mempertikaikan nilai Islam, sunnah Rasulullah SAW dan hukum agama yang jelas termaktub dalam al-Quran.

Jangan kerana terpana dengan teori diperkenalkan atas nama Barat dan moden, kita tersesat secara sedar atau tidak. Paling membimbangkan ialah ini boleh menjerumuskan kita kepada syirik yang akhirnya tidak akan mendapat pengampunan Allah.

Satu perbuatan jelas makruf yang diperintahkan Allah adalah berbuat baik kepada kedua orang tua kerana pengorbanan mereka mendidik dan membesarkan kita tidak ternilai harganya.

Setinggi mana pun pencapaian serta kedudukan, kita tentu tidak terlepas daripada sokongan dan dukungan orang tua. Oleh itu, hendaklah berbuat baik, mematuhi nasihat, membahagiakan serta mendoakan ibu bapa walaupun mereka sudah tiada.

Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu memerintah supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan jangan engkau menengking mereka tetapi ucapkan kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Memperbanyakkan amal kebajikan sangat luas maknanya. Bagi remaja, amal paling pokok adalah menuntut ilmu di samping ibadah yang menjadi kewajipan semua seperti solat dan puasa.

Bagi mereka yang mampu, wajib mengeluarkan zakat dan menunaikan haji ke Baitullah. Berdasarkan keilmuan, keimanan dan ketakwaan yang kukuh dan mantap, maka baru generasi muda menjadi pewaris bermanfaat kepada masyarakat. Ditambah apabila kita berbuat sesuatu semata-mata kerana Allah bukan kerana ujub, riak dan takbur, pasti Allah mengangkat darjat seseorang beriman lagi berilmu pengetahuan beberapa darjat lebih tinggi daripada lain.

Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya kepada masjid antara golongan yang mendapat perlindungan Allah di hari kiamat kelak, pada hari itu tidak ada perlindungan kecuali perlindungan Allah. Kenapa Allah masukkan pemuda ini ke dalam golongan istimewa?

Sudah tentu apabila menjadi ahli masjid, mereka akan menjadi jemaah solat lima serta amalan lain seperti belajar agama, al-Quran dan iktikaf. Apabila mereka istiqamah dalam solat, ia mempengaruhi perilaku sekali gus mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Oleh itu, antara pendekatan berkesan membentuk keperibadian baik di kalangan pemuda adalah menjadikan mereka Muslimin dan Muslimat yang istiqamah.

Usaha paling efektif untuk mengubah akhlak pemuda tentu datang di kalangan generasi itu sendiri. Pemuda cemerlang mampu menyampaikan dakwah amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebajikan dan mencegah mungkar) dalam kelompok mereka sendiri.

Menerusi dakwah dan mengingatkan orang lain ke jalan lurus, pendakwah termasuk pemuda memberikan manfaat kepada orang lain. Apabila ini diamalkan, pemuda tergolong sebaik-baik manusia kerana selalu bermanfaat kepada manusia lain.

Generasi pemuda cemerlang juga memerlukan gandingan amalan yang dilaksanakan secara berkelompok atau berjemaah. Gerakan secara berjemaah mewujudkan kesatuan fikiran yang mampu mencorakkan perjalanan generasi muda atas nama iman dan amal.

Kesatuan fikiran bukan saja melahirkan watak dan imej, malah mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi apa juga cabaran. Allah sentiasa menguji keimanan dan ketakwaan seseorang dengan rasa takut, kelaparan dan kekurangan harta. Mereka yang sabar memperoleh rahmat, pengampunan dan petunjuk dari Allah.

Pemuda yang mengamalkan seluruh nasihat Lukman di atas, pasti menjadi tulang belakang pembangunan negara pada masa depan. Semakin banyak pemuda berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, semakin cepat negara menjadi makmur dan sentiasa dalam pengampunan serta reda Allah, insya-Allah.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Saturday, November 8, 2008

Kurniaan rahmat, nikmat tidak boleh dihitung

بسم الله الرحمن الرحيم

Syukuri setiap kelebihan dengan peningkatan amalan, membantu sesama manusia

UMUMNYA, nikmat kurniaan Allah dapat dibahagikan kepada bersifat fitri atau asasi iaitu nikmat yang diterima manusia sejak dilahirkan dan nikmat mendatang yang diterima mengikut keadaan dan waktu.

Nikmat fitri digambarkan Allah dalam firman bermaksud: "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (Surah al-Nahl, ayat 78)

Manusia dilahirkan dalam bertelanjang bulat tetapi mereka dilengkapi alat yang diperlukan untuk perjuangan hidup iaitu telinga, mata dan akal. Nikmat mendatang ialah kenikmatan, kelazatan atau kebahagiaan yang diterima manusia dalam perjalanan hidupnya. Segala dunia ini bermula daripada tanaman hingga ternakan dan hasil bumi disediakan untuk manfaat manusia.

Keadaan ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: "Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan Kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan dia serta Kami keluarkan daripadanya bijiran, maka daripada bijiran itu mereka makan. Dan Kami jadikan di bumi itu kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air. Ini supaya mereka makan daripada buah-buahannya dan dari sesuatu yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur." (Surah Yasin, ayat 33-35) Sedar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak terlepas daripada nikmat dan rahmat Allah yang tidak terhitung banyak. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang sesiapa pun.

Ini dinyatakan menerusi firman Allah bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiada akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nahl, ayat 18)

Lazimnya, seseorang hanya menyedari berharganya kurniaan Allah apabila nikmat itu hilang daripadanya (diambil kembali oleh Allah). Contohnya mata menjadi rabun, telinga menjadi pekak, kaki patah dan tangan putus. Nikmat kesihatan amat dirasai apabila sakit. Seseorang berkuasa atau berpangkat rasa kehilangan nikmat itu apabila dipecat.

Hartawan apabila miskin dan melarat akan terasa besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya. Oleh itu, pelihara setiap nikmat yang diperoleh dengan tindakan dianjurkan Islam.

Bersyukur kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu dikekalkan-Nya. Syukur dapat diertikan sebagai mengerti semua nikmat pada diri seseorang hamba, lahir atau batin adalah kurniaan Allah. Tanda bersyukur ialah apabila seseorang menggunakan nikmat Allah untuk melakukan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya dan sentiasa memperbanyakkan ucapan syukur. Mereka mengerjakan ketaatan kepada Allah dan membesarkan nikmat yang kecil sekalipun.

Sikap syukur semata-mata untuk keuntungan manusia, Allah tidak mendapat sedikit pun keuntungan dengan perbuatan syukur hamba-Nya. Allah juga tidak rugi sedikit pun dengan sikap kufur dan ingkar ditunjukkan manusia.

Firman Allah bermaksud: "Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukur itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah." (Surah al-An'am, ayat 40)

Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih. Dia bertambah dekat kepada Allah dan semakin sedar nikmat adalah kurniaan Ilahi yang perlu digunakan untuk kebaikan sesama manusia.

Seseorang yang memperoleh kekayaan perlu menggunakan kurniaan itu untuk menolong fakir miskin. Orang berpangkat pula perlu melakukan kebaikan kepada orang bawahannya atau masyarakat umum.

Sesungguhnya bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehnya semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Menyedari pentingnya sikap ini, maka syukuri segala nikmat kurniaan Allah besar atau kecil. Mudah-mudahan, nikmat itu kekal dan hidup diredai Allah di dunia serta akhirat. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Firman Allah bermaksud: "Oleh itu, makan (wahai orang beriman) dari sesuatu yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya." (Surah al-Nahl, ayat 114)

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Friday, November 7, 2008

Remaja Muslim perlu perkukuh semangat, berilmu

بسم الله الرحمن الرحيم


ORANG Islam yang dipandang hebat ialah yang perkasa fizikal dan minda, juga yang urusannya dengan Allah, manusia serta alam dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Lebih-lebih lagi, bagi generasi muda, mereka perlu mengambil peluang ketika usia muda untuk menjadi hebat kerana mereka masih perkasa.

Keperluan generasi muda masa kini untuk menjadi seorang yang hebat ialah mereka mesti berilmu, iaitu jika bercakap, berfikir dan bertindak, mestilah berasaskan ilmu, bukannya emosi dan ketidakstabilan jiwa menjurus kepada bicara penuh fitnah dan adu domba.

Mereka juga perlu adil, iaitu amanah dengan tanggungjawabnya kepada Allah serta manusia dan alam. Jika tidak amanah, mungkin mereka tidak ragu-ragu untuk berdusta dan memusnahkan hak orang lain.

Generasi muda juga mesti berani, kerana mereka tidak akan berjaya jika tidak memulakan sesuatu tanpa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, tentulah mereka akan memulakan langkah pertama untuk mencipta kejayaan lain dan menjadi ikutan kepada yang memerlukan model ikutan.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita, sedangkan impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh mengubah kehidupan, cita-cita juga menjadikan seseorang itu berjasa kepada agama dan negara.

Tetapi cita-cita perlukan hasrat dan tekad yang tidak terhingga, azam dan sokongan berterusan kerana jika tiada seperti yang disebutkan, orang muda akan tetap boleh berjaya atas keyakinan kepada kuasa Allah yang Maha Pengasih dan Pemurah.

Satu contoh yang boleh dijadikan ikutan golongan muda hari ini ialah Usamah bin Zaid bin Haritsah bin Syarjil bin Ka'ab bin Abdul 'Izzy al-Kilaby. Nama panggilannya ialah Abu Muhammad sementara gelarannya ialah Hibburrasul yang bermaksud 'kecintaan Rasul' atau Ibn Hibburrasul.

Beliau digelar demikian kerana Rasulullah SAW sangat menyayangi dan menyintainya seperti Baginda menyintai cucunya, Hasan dan Husain. Beliau lahir ketika Rasulullah SAW sedang dalam kesusahan kerana tindakan kaum Quraisy menyakiti Baginda dan sahabat.

Kesulitan dan kesusahan berdakwah menyebabkan Baginda SAW sentiasa harus bersabar dan dalam keadaan seperti itu, Baginda dikhabarkan dengan berita gembira, iaitu kelahiran anak kepada Zaid bin Harithah (anak angkat Baginda) dan Ummu Aiman.

Selepas Usamah bin Zaid meningkat remaja, sifat dan pekerti yang mulia kelihatan pada dirinya, menjadikannya kesayangan Rasulullah SAW. Beliau cerdik dan pintar, keberanian luar biasa, bijaksana dan pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya, tahu menjaga kehormatan, sentiasa menjauhkan diri daripada perbuatan tercela, pengasih dan dikasihi orang, takwa, warak dan mencintai Allah.

Ketika Perang Uhud, Usamah dan kawan sebayanya ingin sekali ikut berjuang di jalan Allah. Namun Rasulullah SAW tidak mengizinkannya kerana mereka masih terlalu muda. Ini menyebabkan Usamah menangis dan berasa sedih kerana tidak terpilih untuk berjuang di medan perang. Ketika Perang Khandaq, beliau bersama kawan sebayanya sekali lagi meminta izin Rasulullah SAW untuk ikut berperang dan kali ini Rasulullah memberi keizinan kerana umur mereka sudah mencapai 15 tahun.

Pernah berlaku dalam Perang Hunain, tentera Muslim sudah terdesak sehingga barisan tentera mereka menjadi kacau bilau. Tetapi Usamah bin Zaid tetap bertahan bersama 'Abbas, Sufyan bin Harits dan enam sahabat lain.

Usamah turut berperang di bawah pimpinan ayahnya, Zaid bin Haritsah dalam Perang Mut'ah di Rom pada 629 Masihi bersamaan 5 Jamadil Awal 8 hijrah ketika umurnya kira-kira 18 tahun.

Usamah menyaksikan sendiri, bapanya syahid di medan tempur tetapi beliau langsung tidak takut, malah terus bertempur dengan gigih di bawah panglima Ja'far bin Abi Thalib, sehingga Ja'far pula syahid di depan matanya.

Sehingga akhirnya, sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Baginda menyusun satu angkatan tentera untuk berhadapan dengan tentera Rom. Rasulullah SAW melantik Usamah bin Zaid sebagai pemimpin bala tentera Muslim.

Antara sahabat yang terpilih untuk menjadi tentera Muslimin untuk ke medan jihad ialah Saidina Umar Al Khattab. Namun, ketentuan Allah mendahului segala-galanya, sebelum tiba tarikh keberangkatan tentera, Allah menjemput kekasih-Nya, iaitu Rasulullah SAW kembali ke sisi-Nya.

Kewafatan Baginda Rasulullah SAW meninggalkan jutaan kenangan buat umat Baginda. Usamah pernah menceritakan bahawa pada suatu ketika, "Tatkala sakit Rasulullah SAW bertambah parah, aku bersama beberapa sahabat menghadap Rasulullah. Kemudian aku masuk kepada Baginda. Aku mendapati Baginda diam tidak berbicara sama sekali. Hal itu disebabkan sangat parahnya penyakit Rasulullah SAW. Tiba-tiba Rasulullah SAW mengangkat tangannya ke langit kemudian meletakkannya di dadaku, aku mengetahui bahawa beliau mendoakanku."

Tentera Usamah akhirnya mencapai kejayaan gemilang dalam 40 hari. Kemenangan ke atas wilayah kekuasaan Rom itu memberikan kesan politik yang penting terhadap negara Islam. Ia menyedarkan kaum yang ingin menyerang Madinah bahawa masyarakat Islam bukan mudah diugut atau digugat.

Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukan politik dan keselamatan umat Islam kerana tentera Usamah bin Zaid ditugaskan untuk menjaga keselamatan Madinah.

Justeru, orang muda perlulah mengatur langkah yang lebih gagah, usah peduli rasa rendah diri yang membantutkan usaha memajukan agama, bangsa dan negara. Mereka juga perlu setia kepada pemimpin yang tidak menzalimi rakyat.

Generasi muda perlu menjadi guru kepada diri sendiri, dengan menurut kata hati yang tidak melanggar hukum dan adat serta optimis, dengarlah kata orang lain, terutama ibu bapa yang tidak pernah berniat menjadikan anak mereka pengkhianat agama.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini penuntut Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang, Universiti Keele, United Kingdom.

Sumber

Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com

Thursday, November 6, 2008

Lima panduan berkesan elak tergelincir landasan Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

KITA hidup dalam zaman yang penuh dengan pelbagai cabaran. Kehidupan manusia seakan-akan tidak mencukupi masa 24 jam untuk mengejar nikmat dunia dan membolot khazanahnya demi kehidupan yang menyenangkan.

Dalam pada itu, umat Islam tidak boleh lalai dan cuai untuk sentiasa merenung diri dan selalu ingat akan pesanan Nabi SAW supaya berwaspada tipu daya nikmat dunia. Oleh itu, sewajarnya kita mengingati lima pesanan Rasulullah SAW demi menjaga diri, keluarga dan masyarakat supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam.

Pertama, memperbanyakkan menyebut Allah kerana tidak dinafikan menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji orang yang berbuat baik kepada kita hingga ada kalanya terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sendawa. Pujian begini hanya di lidah saja tidak meresap ke lubuk hati.

Kata Al-Imam Ibnu Qayyim: "Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang dari siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya."

Kedua, memperbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia kerana dunia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan akhirat. Seribu tahun di dunia sama dengan sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat.

Hanya orang yang berfikiran pendek sibuk memikirkan wawasan dunia hingga terlupa wawasan akhirat. Manusia yang cerdik ialah mereka yang sibuk merancang wawasan akhiratnya. Saham amanah dunia tidak penting, tapi yang paling penting ialah saham amanah akhirat yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda.

Oleh itu perlu diperbanyakkan menyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat. Dengan menyebut dan ingat kehidupan akhirat akan menyemarakkan semangat untuk berbuat amal ibadat sebagai bekalan.

Ketiga, memperbanyakkan menyebut dan mengingat hal kematian daripada kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tetapi jarang memikirkan bekalan hidup ketika mati. Memikirkan mati adalah sunat untuk menginsafi diri.

Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Jika tidak diusahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.

Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali mengenai kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa.

Keempat, jangan menyebut kebaikan diri dan keluarga kerana syaitan memang sentiasa hendak memerangkap dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat serta menyebut kebaikan yang dilakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya.

Satu kebaikan yang dibuat, ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Tetapi kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan itu sudah menimbulkan satu penyakit hati, iaitu ujub yang boleh merosakkan pahala kebajikan dibuat.

Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riak atau bangga diri yang mana Allah memberi amaran sesiapa yang memakai sifat riak tidak akan mencium bau syurga. Riak adalah satu unsur dari syirik kecil. Nabi SAW pernah berpesan: "Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil iaitu riak."

Kelima, jangan menyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain.

Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata orang tua-tua, "kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tidak kelihatan."

Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tetapi empat lagi menuding ke arah diri.

Oleh sebab itu, biasakan melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Islam menggariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan padanya.

Lihatlah kejahatan pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara itu kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan manusia ke dalam api neraka.

Sumber


Beach custom comment codes for MySpace, Hi5, Friendster and more - ImageChef.com